HARI sudah beransur petang. Tak dapat tidak, matanya mesti sentiasa ke arah jam. Jam dinding, jam tangan malah jam pada telefon bimbit tak berhenti menjadi sasaran. Sekejap tengok, sekejap intai. Sehingga akhirnya dia jadi bosan dan enggan merenung lagi.
Perutnya asyik berbunyi minta diisi. Perlahan-lahan dia bangkit dan bergerak ke arah dapur. Mencari pinggan untuk diletakkan sedikit nasi. Tak betah lagi menunggu suami untuk makan bersama-sama. Suami yang nampaknya asyik tak jumpa jalan nak balik ke rumah mereka sejak kebelakangan ini.
"Makan sikit ajelah dulu. Karang kalau dia balik dan dia belum makan, boleh aku makan sekali lagi," gumamnya sambil mula menyuap nasi ke dalam mulut.
Digagahkan diri untuk mengunyah. Selera memang dah mula tawar sejak dia menerima panggilan telefon daripada mama mentuanya. Sudah seminggu berlalu namun setiap patah kata masih lagi terngiang-ngiang di telinga.
Yang nyata, bukan seleranya sahaja yang terganggu malah tidurnya juga sudah mula dihiasi mimpi ngeri. Ditambah dengan reaksi pelik Zuhayr, dia jadi semakin kusut. Entahlah, sejak lelaki itu pulang, Zuhayr jadi diam dengan dia. Malah dengan Eisya pun lelaki itu dah kurang bercakap. Apa lagilah nak ajak anak mereka bermain. Memang tidaklah.
"Mungkin betul cakap Syira. Agaknya racun dah mula menyerap masuk dalam kepala suami aku tu kut."
Selepas makan, dia ke ruang tamu. Memandang kosong ke arah televisyen yang tidak dipasang. Sepertimana skrin televisyen itu yang gelap, hatinya juga seperti itu. Mula terasa hambar apabila sendirian tanpa anak dan suami.
Anak!
Teringat kepada Eisya, telefon dicapai. Dia mahu tahu bila Insyirah nak hantar Eisya balik. Kalau boleh, dia mahu Insyirah hantar Eisya sekarang juga. Dia rindu.
"Uit, kenapa telefon aku ni?" Soalan Insyirah menyapa telinga.
"Assalamualaikum, Syira. Bila kau nak hantar Eisya balik?"
"Waalaikumussalam, Ayu. Lain macam aje suara kau. Apasal?"
"Aku rindukan Eisyalah. Kau hantar dia sekarang boleh?"
"Sekarang?"
"Ya, sekarang. Bolehlah, ya."
"Apa hal kau ni, Ayu? Kau kelahi dengan Zul ke?"
"Tak."
"Kita kawan dah lama, weh. Aku tahu kau tu tengah sedih sekarang. Shoot! Cerita kat aku apa masalah kau tu."
Sejak lama, hanya Insyirah seorang yang ambil berat tentang dia. Jadi, apabila sekali lagi Insyirah jadi insan prihatin, Ayuni tak bertangguh. Laju saja dia luahkan apa yang mengganggu fikirannya. Tentang kata-kata pedas ibu mentua dan tentang suami yang langsung tak mahu bercakap dengan dia sampai sekarang.
"Aku dah cakap. Kalau dah Si Zul tu asyik ulang-alik ke rumah mama dia, mesti fikiran dia kena racun punya." Insyirah dah melenting.
"Selalu Zul tak pernah tak bercakap dengan aku, Syira. Kali ni lain pula. Dia asyik diam."
"Kalau dia diam, kau tak ada mulut nak tanya kenapa?"
"Karang dia marahkan aku tak pasal-pasal."
"Lebih baik kena marah daripada kahwin dengan orang bisu, tahu tak?"
"Kau ni, Syira! Bercakap dengan kau boleh buat aku lebih stres tahu tak?"
Insyirah ketawa di hujung talian.
"Okey, untuk hilangkan stres kau, ni aku nak bagi tahu. Aku nak bawa budak-budak pergi tengok Star Wars. Kebetulan, jiran aku tinggalkan anak-anak dia orang, Si Nini dengan Andy untuk aku jaga malam ni. Mereka pun nak ikut sekali."
"Weh, tengok yang pukul berapa?"
"Pukul 9.00, beb."
"Beraninya kau?"
"Kami ada escortlah."
"Escort? Mesti lelaki, kan? Beb, kau dah ada boyfriend ke? Kenapa aku tak tahu pun? Kenapa kau tak beritahu aku?" Bagai bertih jagung mulut Ayuni bertanya.
"Nanti-nantilah aku cerita kat kau."
"Alah!"
"Ayu, sabarlah. Esok-esok, aku story dari A sampai Z tentang dia." Insyirah memujuk.
"Janji?"
"Aku janji. Sumpah."
Ayuni juihkan bibir.
"Tapi kalau dah pergi tengok wayang, lepas tu beramai-ramai kat rumah kau, mesti Eisya tak nak balik lagi. Betul tak?"
"Ya, cik kak. Jadi, tolong bertahan, ya? Anak kau tak balik malam ni."
"Itu kau cakap boleh hilangkan stres aku?" Suara Ayuni dah naik tinggi. Geram kena main dengan Insyirah. Makin tak tahan sebab Insyirah dah mengekek di hujung talian.
"Relaks, beb. Kau mesti hilang stres punya malam ni."
"Yalah tu!"
"Weh, dengar! Bila Zul balik nanti, kau buatlah sesuatu."
Dahi Ayuni dah berkerut.
"Sesuatu tu apa?"
"Itu pun aku nak kena ajar juga? Beb, kalau Zul balik nanti, kau berdua aje dengan dia, kan? Tacklelah dia. Tarik perhatian dia. Goda dia. Buatlah apa pun termasuk projek memikat suami. Aku benarkan."
Ayuni yang mula faham akhirnya mengekek mendengar idea Insyirah.
"Ingat, Ayu. Kau nak rumah tangga kau dengan Zul bahagia, kan? Jadi, kau kena usaha keras goda Zul sampai hati dia cair. Kalau kau berjaya, tak ada apa yang mama dia cakap dan buat, yang boleh gugat kasih sayang dia pada kau. Ingat tu."
"Insya-Allah, aku ingat nasihat kau ni."
"Jangan lemah, Ayu. Kau tak boleh lemah dan tak boleh mengalah dengan mama Zul."
"Ya, Syira. Terima kasih, Syira. Ada apa-apa lagi kau nak cakap, Syira?"
"Wei, perli aku nampak! Aku tak hantar Eisya balik esok, baru tahu."
"Janganlah!"
Akhirnya berjaya juga Insyirah mendengar tawa Ayuni. Dia berasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya, kawan baiknya ini masih mampu ketawa. Kalau tidak, memang dia terjah ke rumah Ayuni. Bersama-sama dengan Ayuni, dia akan tunggu Zuhayr balik. Biar dia yang bahasakan lelaki itu nanti.
Ayuni kembali ceria, terima kasih kepada Insyirah. Di dalam kepalanya timbul berbagai-bagai idea. Salah satu, dia mahu pakai baju tidur yang dihadiahi oleh Insyirah hari itu. Biar terbeliak biji mata Zuhayr apabila melihat dirinya yang seksi nanti.
Buat masa ini, dia mahu menyediakan diri untuk berjumpa dengan Sang Pencipta. Dia mahu luahkan kerisauan yang memberati diri kepada Dia. Kerana...
Hanya Dia yang mengerti.
Hanya Dia yang mendengar.
Hanya Dia tempat Ayuni ingin mengadu dan meluah duka yang bermukim dalam hatinya.
Ayuni tak sedar bila dia terlena. Ketika dia terjaga semula, jam sudahpun menunjukkan pukul 3.30 pagi. Waktu itulah dia mendengar bunyi kereta masuk ke anjung rumah. Bungkam hatinya.
"Pukul 3.30 pagi baru dia sampai di rumah? Ke mana dia pergi? Dengan siapa? Apa yang dia buat sampai selewat ini baru nak balik?"
Kalau hendak diikutkan hati yang geram, mahu saja dia bangkit dan serang Zuhayr dengan soalan-soalan itu. Tapi kalau dia buat begitu pasti mereka akan bertengkar. Kalau bertengkar, orang keliling akan dengar. Siapa yang malu nanti? Dia juga! Jadi...
"Diam-diam sudahlah, Ayu. Esok ajelah kau marah dia." Dia menasihati diri.
YOU ARE READING
DI TAMAN LARANGAN
General FictionTajuk: Di Taman Larangan Penulis: Ana Sofiya Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-04-5 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Cinta yang disangka manis dan indah pada mulanya bertukar pahit apabila usia p...