SEBAIK sahaja Zuhayr meninggalkan dia, Ayuni segera menutup pintu pagar. Dia hendak masuk. Dalam sedih dengan sepasang mata yang berkaca, dia tundukkan wajah sambil berjalan. Tanpa sedar dia terlanggar sesuatu.
"Mata kau di mana, cik kak oi?"
Ayuni terkejut.
"Syira? Apa kau buat kat tengah pintu ni? Bukan tadi kau dekat dapur ke?"
"Aku tengok kaulah, beb! Nak tengok muka kawan baik aku yang kena tinggal dengan suami dia pada hari dia sambut anniversary. Kesian dia, tau!"
"Nak buat macam mana, beb. Dah nasib aku." Ayuni elak renungan Insyirah.
"Apa yang kau fikir sampai jalan menunduk macam tu? Kau sedih sebab Zul pergi ke rumah mama dia, ya?"
Sebak mendengar soalan itu, Ayuni toleh pandang pokok bunga.
"Eh, kau masuklah. Aku nak jirus pokok bunga aku kejap."
"Tunggu! Kau mari sini, Ayu. Aku nak cakap."
"Cakap ajelah.
Ayuni masih tak menoleh ke arah Insyirah.
"Ayu, kau menangis, ya? Sebab itu kau tak nak tengok muka aku. Kau takut aku nampak, kan?"
Ayuni geleng.
"Taklah, Aku tak menangis."
Insyirah sudah berdiri di hadapan Ayuni.
"Yang kau nak bohong aku ni, apasal? Mata kau dah merah. Kalau tak menangis, tu apa? Masuk habuk?"
"Aku sedih sikit aje. Tak ada apa-apalah. Jangan risau."
"Ini yang aku rasa macam nak maki aje suami kau tu. Langsung tak reti nak jaga hati dan perasaan kau. Yang dia tahu, sikit-sikit mama dia. Sikit-sikit mama dia. Kalau dia berhenti lama tadi, memang aku nak mengamuk dah. Bukan apa, aku nak sedarkan dia yang langsung tak tahu nak hargai diri kau. Kau tu bukan orang lain. Kau isteri dia kut!"
"Entahlah, Syira. Aku tadi pun tak sempat nak bercakap dengan dia. Lepas aku masukkan mangkuk tingkat tu dalam but kereta, dia terus blah."
"Suami kau tu dah masuk kumpulan mangkuk ayun, Ayu."
"Kau ni kalau pasal nak gelarkan orang... Dah, dah! Jom masuk! Bahaya sembang kat luar dengan pintu pagar tak berkunci sekarang ni. Orang jahat banyak berkeliaran, tahu tak? Karang tak pasal mereka nampak kita kat sini, mereka terus datang nak samun kita. Eee, nauzubillah. Takut aku! Jom!" Ayuni segera menolak badan Insyirah untuk masuk. Laju daun pintu ditutup dan dikunci. Berasa lega setelah berada di dalam rumah.
Insyirah tahu yang Ayuni sengaja beralih topik kerana tidak mahu dia mengutuk Zuhayr. Namun, hatinya belum puas. Melihat Ayuni menangis tadi, dia berasa geram benar dengan lelaki itu.
"Selalu ke Zul balik ke rumah mak bapak dia, Ayu?" Insyirah sudah tidak sabar-sabar hendak tahu.
"Sekarang ni memang kerap. Kadang-kadang, dia singgah di sana dulu baru balik ke rumah ni. Siap dinner dengan mama dan papa dia pula tu."
"Dah kenapa pula macam tu?"
Ayuni jongket bahu.
"Kau tak marah Zul? Kau biarkan aje dia makan malam dengan mama dan papa dia? Yang kau dekat sini makanlah dengan Eisya aje. Kau ni dah macam akulah pula. Macam ibu tunggal!"
"Syira!"
"Bersuaralah sikit. Tegur suami kau tu..."
"Gila kau? Macamlah kau tak tahu hubungan aku dengan mama Zul tu. Nanti kalau dia tahu aku halang Zul pergi ke rumah dia, mengamuk lagilah dia dengan aku."
YOU ARE READING
DI TAMAN LARANGAN
General FictionTajuk: Di Taman Larangan Penulis: Ana Sofiya Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-04-5 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Cinta yang disangka manis dan indah pada mulanya bertukar pahit apabila usia p...