BAB 15

1.6K 31 8
                                    

PAGI menjelma lagi. Hari baru yang disambut dengan penuh rasa syukur. Hari baru yang menitipkan kegembiraan dalam hati.

Ayuni melihat hidangan di atas meja. Nasi goreng dan roti telur sudah tersedia untuk sarapan pagi dia dan suaminya. Cuma Milo panas saja yang belum dibancuh. Zuhayr suka minum air panas-panas. Jadi, dia perlu menunggu Zuhayr keluar dari bilik dahulu sebelum menuang air yang menggelegak itu ke dalam muk.

Penat menunggu, Ayuni masuk ke bilik semula. Bulat matanya melihat Zuhayr yang sedang terbongkang di atas katil.

"Abang, abang ni tidur balik atau tak bangun solat subuh tadi?" soalnya sambil menarik selimut dan menutup alat penyaman udara. Itu saja cara untuk mengejutkan Zuhayr.

Terpisat-pisat Zuhayr.

"Apa hal ni, Ayu? Buka balik air cond tu. Abang mengantuk lagi ni."

"Abang tahu tak dah pukul berapa sekarang? Dah pukul 10.00 pagi, tahu!"

"Habis tu? Kenapa kalau pukul sepuluh?"

"Abang tak bangun solat subuh ke tadi?"

"Alah, nanti abang qada. Bisinglah Ayu ni!"

"Suka hati abanglah. Saya nak sarapan. Kalau abang nak sarapan sekali, baik bangun. Kalau tak nak, sambunglah tidur tu semula."

Ayuni mengeluh mengenangi sikap Zuhayr. Begitu selamba lelaki itu cakap nak ganti solat subuh yang ditinggalkannya tadi. Kepala digeleng penuh kesal kerana mendapat suami yang suka benar mengabaikan tiang agama itu. Zuhayr bagaikan tidak punya rasa bersalah sama sekali meninggalkan solatnya.

"Apa nak disedihkan, Ayu. Itulah suami yang kau pilih. Lelaki yang memang sejak kau kenal dia, dia jarang solat. Suami kau tu memang suka meringan-ringankan suruhan Allah."

Sebak rasa dada.

Tiba-tiba menerpa wajah ibunya. Seketika itu juga dia teringat kepada pesanan wanita itu pada saat dia mahu dinikahkan. Waktu itu ada lebih kurang sejam sebelum akad nikah. Mereka berada di dalam bilik dan dia sedang bersiap sebelum mereka bergerak ke masjid tidak jauh dari rumah.

"Dah jadi isteri orang nanti, hidup baik-baik dengan suami kamu. Cinta, cinta juga tapi kalau ada silap dia, kamu mesti tegur. Terutama kalau dia tak solat."

"Kena tegur ke, umi?"

"Mesti! Wajib!"

"Nanti dia marah Ayu. Tak naklah."

"Dengar cakap umi ni, Ayu. Kalau suami tak solat, jadi tugas kamu sebagai isteri untuk tegur dia. Untuk nasihat dia. Insya-Allah, waktu di akhirat nanti, kamu tak perlu bersoal jawab dengan malaikat tentang tanggungjawab kamu yang sudah kamu tunaikan."

"Macam berat aje tanggungjawab jadi isteri, ya umi?"

Ibunya tersenyum.

"Dah kamu nak kahwin sangat, kamu tanggunglah nanti."

"Alah umi ni! Umi buat Ayu takutlah."

Tangannya digenggam erat. Anak matanya di dalam pandangan tunak Mak Siah.

"Tanggungjawab kamu tak seberat tanggungjawab Zul sebagai suami. Umi tak nak cakap pasal tanggungjawab dia tapi umi nak ingatkan kamu yang kamu mesti jadi isteri yang baik. Jadi isteri yang sentiasa jaga maruah suami. Jangan sesekali bercerita hal suami kepada orang lain terutama hal dalam kelambu."

"Hesy, apalah umi ni?"

Terasa pipinya pijar benar ketika itu.

"Yang penting, kamu mesti jaga solat. Bila kamu solat, solatlah dengan betul dan dengan sabar dan mesti solat di awal waktu. Allah dah janji orang yang menjaga solatnya, insya-Allah urusan hidupnya akan terjaga. Sebab solat itu kunci kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Solat, perkara pertama yang akan ditanya pada hari pembalasan. Kalau baik solatnya, beruntunglah nasib orang itu di akhirat. Ingat tu!"

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 03, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

DI TAMAN LARANGANWhere stories live. Discover now