SYAKILA dan Zuhayr sedang duduk berdua-duaan di atas buaian di luar rumah. Suasana sepi di antara mereka ketika ini. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Ketika mereka saling memandang, mata seakan-akan berkaca. Rupa-rupanya ingatan sepi itu terlontar ke arah peristiwa dan orang yang sama. Kepada wanita yang pernah menjadi seseorang yang penting dalam hidup mereka satu masa dahulu.
"Kalau boleh abang tanya... Macam mana hidup Ella, aunty dan uncle tanpa Azi, Ella?"
Syakila tajamkan renungan ke wajah lelaki itu.
"Abang rasa?"
Zuhayr tatap wajah Syakila dalam-dalam.
"Ella ajelah yang ceritakan pada abang. Boleh?"
Syakila tarik nafas panjang. Mengingat arwah kakaknya ibarat membuka luka lama. Yang menyakitkan. Yang memeritkan.
"Ella pernah bencikan abang. Pernah rasa marah sangat-sangat pada abang. Disebabkan abanglah, Kak Azi kemalangan dan meninggalkan Ella sekeluarga. Disebabkan abang, kami kehilangan seorang yang sangat-sangat kami sayang, bang. Semua disebabkan abang!"
Sesak nafas Zuhayr mendengar tuduhan Syakila itu.
Kisah lama kembali menyentuh ingatan. Kisah antara dirinya dengan Azilah. Kisah cinta yang berbelit-belit. Sekejap cinta ada, sekejap cinta itu pergi. Begitulah mereka.
Satu waktu, mereka amat saling mencintai. Entah bagaimana, Azilah curang. Kerana sakit hati, Zuhayr mendekati Ayuni. Dalam diam dia tahu bahawa Ayuni meminatinya. Malah, dia dapat rasa yang Ayuni jatuh cinta kepadanya.
Pada masa sama, Zuhayr masih berharap agar Azilah memohon maaf daripadanya. Kalau Azilah sanggup minta maaf, dia sanggup terima Azilah semula. Malangnya, Azilah degil. Azilah enggan meminta maaf sebaliknya Azilah beritahu semua orang, Zuhayr yang curang. Malah Azilah cabar dia supaya kahwin dengan Ayuni.
Disebabkan ego, Zuhayr sambut cabaran Azilah itu. Ayuni dilamarnya. Waktu itu dia memang nekad. Apa jadi sekalipun, dia tetap akan menikah dengan Ayuni. Dalam hati, dia hanya mahu menyakiti hati Azilah saja.
Pada mulanya Azilah tak peduli. Begitupun, semakin dekat dengan hari nikahnya dengan Ayuni, Azilah mula berubah. Azilah asyik menelefon dan menghantar pesanan di aplikasi WhatsApp. Azilah merayu kepadanya. Azilah memohon maaf kepadanya tetapi dia tetap tidak endahkan. Dia tetap dengan keputusannya. Dalam hati, Zuhayr fikir dia sedang mengajar Azilah erti setia. Dia hanya mahu Azilah dibebani rasa bersalah kerana mencurangi dirinya.
Seminggu sebelum majlis nikah Zuhayr dan Ayuni berlangsung, keluarga Azilah berpindah ke England. Kedegilan Zuhayrlah yang menjadi punca perpindahan itu. Semua orang marahkan dia malah marahkan Ayuni dan keluarganya juga. Terutama mama dan papanya. Sehingga tak mahu mengaku Ayuni menantu mereka.
Zuhayr kecewa sebenarnya. Dalam hatinya masih lagi ada cinta untuk Azilah tetapi dia sudah memilih Ayuni. Lagipun, dia tak mahu egonya runtuh. Walaupun dia tak cintakan Ayuni, dia terpaksa berpura-pura demi menjaga egonya.
Bagaimanapun, apabila Azilah meninggal dunia, kesalnya tak terungkap. Rasa bersalah sentiasa menghantui. Dan kini, Syakila kembali untuk mengingatkan dirinya kepada dosa silam itu.
"Abang tahu, berapa ribu kali abang minta maaf pun, belum tentu Ella, uncle dan aunty akan maafkan abang. Tapi apa lagi yang abang boleh buat, Ella?"
"Isteri abang dah musnahkan Kak Azi, bang. Dia juga hampir-hampir musnahkan Ella, mummy dan daddy."
"Bukan salah dia, Ella."
Syakila angkat muka tatap wajah Zuhayr. Pandangannya mencerlung.
"Memang salah dia. Dia goda abang sampai abang berubah hati dan tinggalkan Kak Azi."
YOU ARE READING
DI TAMAN LARANGAN
Ficción GeneralTajuk: Di Taman Larangan Penulis: Ana Sofiya Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-04-5 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Cinta yang disangka manis dan indah pada mulanya bertukar pahit apabila usia p...