Bab 2

1.5K 37 2
                                    

Lapan tahun kemudian...

AYUNI melambaikan tangan sehinggalah kelibat bas sekolah yang dinaiki Eisya, anaknya, hilang daripada pandangan. Hajat hati nak terus jirus pokok bunga di laman namun memikirkan suami yang masih belum ke tempat kerja, dia batalkan niat itu. Dia melangkah ke dalam rumah dan menghala ke bilik. Daun pintu ditolak sedikit untuk mencari kelibat Zuhayr.

"Abang." Dia memanggil.

Zuhayr yang sedang bersiap, merenung isterinya.

"Nak apa?"

"Abang balik pukul berapa hari ini?"

"Ah, lupa nak cakap. Habis kerja abang nak ke rumah mama. Mama ajak dinner di rumah dia."

"Mana boleh! Abang kena balik ke sini malam ni."

"Eh, apa hal awak ni, Ayu? Mama suruh abang balik sana, abang akan ke sanalah. Yang nak paksa-paksa abang balik ke sini tu, apasal?"

Wajah suami ditatap penuh hiba. Nampaknya, sekali lagi Zuhayr lupa tarikh hari ini. Seperti selalu, dia seorang sahajalah yang ingat.

"Kenapa buat muka monyok tu?"

Wajah suami direnung.

"Saya sedih."

"Sedih? Sedih kenapa?"

"Sebab abang lupa hari ini hari apa."

Zuhayr yang sedang membetulkan tali leher merenung wajah isterinya.

"Apa hal pula ni? Cakap abang lupa bagai. Lupa apa?"

Ayuni mendekat. Tangan Zuhayr ditepis perlahan dan dia sendiri mengemaskan tali leher yang dipakai suaminya.

"Cuba ingat betul-betul, bang. Hari ini hari apa?" omelnya.

"Hari Khamis malam Jumaat."

Hampa sungguh mendapat suami yang tak pernah ambil kesah tentang dia. Kalau suami orang lain, entah dah bertimbun hadiah diberi. Entah sudah berapa banyak kad ucapan yang diterima. Entah sudah berapa kali pergi berbulan madu. Tapi tidak dengan Zuhayr. Sikap tak endah Zuhayr ini sering menimbulkan soalan yang satu itu.

Kenapa Zuhayr kahwin dengan dia?

"Dah lapan tahun kita kahwin tapi abang asyik lupa tarikh lahir saya. Asyik lupa tarikh ulang tahun perkahwinan kita!" ujar Ayuni sedikit membentak. Dia menjauhkan dirinya dari encik suami.

Zuhayr kaku di tempatnya. Otak ligat mencerna. Mencongak. Mengira. Baru dia tersedar. Hari ini, 7 hari bulan Januari ialah hari ulang tahun kelahiran Ayuni dan juga hari ulang tahun perkahwinan mereka. Namun dia enggan disalahkan. Baginya, tak ada apa yang hendak dihebohkan sangat. Tarikh aje kut!

"Abang tak lupalah. Cuma, abang tak suka nak ingat benda remeh-temeh ni. Apa ada pada tarikh lahir? Nak beritahu yang kita makin tua. Gitu?"

"Sampai hati abang cakap macam tu. Salah ke nak ingat bila kita dilahirkan?"

"Eleh, tak ada faedahnya nak sambut tarikh lahir tu. Bukannya awak makin muda pun."

"Yalah, cakap abang ajelah yang betul. Habis, yang anniversary kita pula, kenapa abang tak ingat?"

"Anniversary... Hesy! Kan dah banyak kali abang cakap. Mama dengan papa tak pernah raikan ulang tahun perkahwinan mereka pun. Tengok, dah dekat 40 tahun mereka hidup bersama. Bahagia aje!"

Ayuni tewas lagi. Kecewa sungguh dengan sikap tak peduli suaminya. Namun wajah suami ditatap juga kerana ada perkara yang dia ingin beritahu.

"Errr... Tapi saya dah masak banyak."

DI TAMAN LARANGANWhere stories live. Discover now