Jika ditanya siapa namanya, akan bangga dijawab.
"Saya Sang Cinta, Ai Nou." Senyuman manis dengan limpahan gula dan tumpahan madu mengasyikkan sesiapa yang tertanggap dengan kemanisan itu. Tidak kurang juga ada yang terpukau tidak terkutik.
Jika bersama dengan atuk, Ai Nou menjadi seorang Ainur. Atuk, satu-satunya insan yang memanggilnya Ainur. Jika ditanya mengapa? Senyuman kasih diberi bersama segaris jawaban penyejuk hati. Ain dan Nur. Mata dan cahaya. Itu bayi kecil yang bercahaya sekali matanya setiap kali di gendongan atuk. Hingga menggamit Sang Tua memanggil Sang Cinta dengan gelaran Ainur. Mana mungkin cinta Ai Nou tidak tertumpah pada Sang Tua ini. Dia adalah segalanya buat Ai Nou. Kata-katanya sentiasa manis dan tulus hingga mengajar Ai Nou tentang cinta! Cinta seorang Cinta.
Hidup Ai Nou hari ini kerana dipungut tangan tua itu. Dia dididik menjadi insan mulia biarpun hina sekali kelahiran Ai Nou. Tidak sedetik pun Ai Nou lupakan kisah yang dibacakan semula oleh atuk bagaimana keadaan ibunya saat melahirkannya. Anak kecil yang baru berginjak umur lima tahun memasuki alam tadika, tidakkah musnah dan hancur berkecai hati yang sedia rapuh. Tapi pendekatan atuk dengan cinta dan kasih sayangnya menerbangkan Ain Nou dari kekecewaan. Ai Nou yang hina dibesarkan dengan cinta dan kemuliaan. Hingga Ai Nou tidak lagi merasa rendah diri malah sangat berkeyakinan diri waima sentiasa sedar diri siapa dia. Kata atuk.
"Kebenaran yang pahit jangan biarkan ianya terus berasa pahit dibibir. Ambillah madu dicampur dengan perahan lemon. Pasti enak kombinasi masam manis itu! Tidak pula kombinasi itu mengundang kelat di bibir, malah senyuman manis terukir kerana asyik dengan keenakkannya. Itu analogi sebuah kehidupan.
Kebenaran perlu kita tahu agar kita tahu asal usul kita. Sebagai peringatan agar berhati-hati di masa depan. Pahit yang lalu, mana mungkin mahu diulangi semula menjadikan kepahitan itu dorongan agar tidak akan berulang lagi perkara yang sama. Kerana itu, atuk ajarkan cinta kepada Ai Nou. Balaslah kepahitan dengan madu. Balaslah kekecewaan dengan cinta. Orang yang penuh cinta, bahagia sentiasa milik dia. Tidak perlu melupakan. Itu menipu diri sendiri namanya. Tidakkah dikejar ngeri masa silam jadinya jika terus ingin melarikan diri.
Jadi, cintailah. Teruskan bercinta dan mencintai."
Itu atuk. Insan yang mengajarkannya Cinta!
"Cinta!"
Namun...
Jika cinta disebut oleh orang yang betul. Ai Nou terasa disayangi dan dicintai menggamitnya ingin menyayangi dan mencintai. Tetapi apabila cinta disebut oleh organisma kaum dari keturunan Adam, hati Ai Nou sakit. Sakit kerana menyeret Ai Nou kepada kisah bagaimana berlakunya kelahiran hina seorang Ai Nou.
Lelaki..
Meninggalkan benih buat ibunya. Gadis genit persis Ai Nou yang sekarang.
Lelaki..
Penyebab liarnya gadis seperti ibu. Keluarga yang porak peranda kerana ayah yang tidak bertanggungjawab. Dadah, rokok dan arak. Perkara biasa yang menjadi peneman ibu sedari kecil.
Lelaki..
Bijak mencuri peluang. Kerana kurangnya kasih dan perhatian seperti gadis senaif ibu. Janji manis ditabur. Belaian dan pujuk raju terus-terusan di bisik. Benteng yang rapuh, terkulai juga ibunya yang kasihan itu. Mengubah keayuan kepada hidupan liar. Arus negatif terus menghanyutkan tanpa ada yang peduli. Hatta seorang ayah!
Lelaki..
Sudah bosan. Gadis yang memuaskan nafsu entah berpuluh-puluh lelaki tanpa kenal, kerana benih yang ditinggalkan entah juga milik siapa, ibu Ai Nou dibiarkan terkapai-kapai tanpa ada yang sudi menghulur tangan ingin bertanggungjawab. Malah dijeling penuh hina seolah-olah yang salah itu ibunya!
Mujur ada atuk, jiran yang bersebelahan. Sangat tahu luar dan dalam kisah keluarga ibu. Jiran yang baik. Tapi, tidak disukai ayah kepada ibu biarpun kebaikan sentiasa ingin dihulur.
Ibu dijaga biarpun jijik dan hina kondisinya dihantar lelaki yang tidak punya cinta dalam dirinya membiarkan keadaan ibu yang terdedah tubuhnya mengetuk pintu rumah tapi tidak dibuka. Atuk yang mendengar menghulur kasih Sang Tuanya kepada ibu. Memenuhi keperluan ibu secukupnya walaupun tahu ibu berbadan dua. Tidak langsung mengambil kesempatan kerana kemanusiaan yang utuh dalam diri. Kerana kebapaan yang subur di hati. Malah diminta kepada setiausahnya untuk menjaga ibu, mama susuan Ai Nou.
Ibu yang naif dengan cinta lelaki. Tidak tahan, lelaki itu dicari. Ibu menghilangkan diri tanpa pengetahuan atuk mahupun mama. Puas dicari tapi tidak ditemui.
Lelaki..
Tidak punya hati dan kemanusiaan. Setelah berbulan-bulan kehilangan ibu, akhirnya ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Buncit perutnya berlari tanpa seurat benang dalam kelam malam jauh dari kota raya. Yang ada cuma sekumpulan lelaki bermotor bermain-main dengan ibu yang merayu mohon dikasihani. Atuk yang baru pulang dari mesyuarat dengan pelanggannya hampir melanggar ibu yang sarat. Mengenali wajah ibu, kumpulan bermotor diusir dengan ugutan kepada Sang Polis.
Tuhan lebih mengetahui betapa dendam dan benci sangat subur tumbuh di hati Ai Nou mendengarkan semua itu. Jika tidak kerana kasih sayang dan cinta yang ditanam, iman kepada Tuhan yang dididik sempurna, pasti Ai Nou sangat keras dan pembenci orangnya. Benci yang maha dahsyatnya!
Takdir Tuhan.
Keajaiban dan malapetaka bersatu. Ibu meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital. Namun, nyawa Ai Nou terus berdenyut biarpun ibu telah pergi meninggalkan dunia. Rahsia Tuhan. Mengubah kehidupan insan yang tandus dengan cinta kepada kehidupan insan yang melimpah dengan cinta. Ibu dan Ai Nou. Pinta Ai Nou pada Tuhan, doa yang tak pernah putus. Janganlah dihukum ibunya yang naif itu. Tolonglah! Tuhanku! Ibu tidak salah. Yang salah itu..
Lelaki..
"Cinta!" Arjuna lagi. Ai Nou yang terasa sangat bosan dengan lelaki, tidak langsung tersentuh saat dirinya digelar Cinta oleh Arjuna. Dari kecil hingga sekarang. Cinta. Itu panggilan Arjuna kepada Ai Nou saat mengetahui Ai itu Cinta dan Nou itu gadis. Gadis Cinta. Tiada yang pernah memanggil Ai Nou dengan panggilan Cinta selain Arjuna. Namun, tidak sekali Ai Nou berasa dirinya istimewa kerana yang memanggilnya Cinta itu juga seorang..
Lelaki..
YOU ARE READING
CINTA dan Lelaki (COMPLETED)
RandomCinta..? Sebut pasal cinta mesti dalam kepala berderet-deret lelaki yang menyapa minda. Siapa yang layak?Jika yang wajahnya tidak kena dihati dijentik keluar dari list of the year. Sedangkan Cinta..? Seorang aktivis ditembak...