Bab 1

4.4K 90 2
                                    

Prolog

Pagi itu dia hanya berkemeja putih polos, seluar khaki paras lutut sambil beg hitam kesayangannya diikat pada pahanya. Kalau yang lain selesa berbeg galas, dia lebih gemar begitu. Tak nampak serabut nak kena usung beg merata tempat. Dan apa yang lebih penting baginya, biar penampilan nampak kemas. Kemeja terletak elok. Tak tertarik sana sini. Di dalam begnya pun hanya barangan penting sahaja yang ada. Buku planner, wallet, pen, kalkulator. Senang.

Usai sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi, pesanan makanan dibuat. Cukup sekadar roti nan cheese garlic dan juga teh O suam. Dia lebih gemar begitu dari bersarapan berat nasi lemak dan yang sewaktu dengannya.

Sambil menunggu pesanan sampai, buku plannernya diselak sebelum dengusan kasar dilepaskan.

Job makin kurang bulan ni nampaknya dan dia tahu puncanya apa. Tak lain angkara si kembar yang lahir sama hari dengannya. Ah, tak mengapa. Itu pandailah nanti dia nak uruskan macam mana. Lagipun, kaki sailang ni biasanya tak ke mana. Rezeki sempit di kemudian harinya!

Siap sahaja dia menyimpan buku planner di dalam beg kakinya, telefon bimbit pula dikeluarkan. Sayangnya, skrin telefon bimbitnya gelap.

Ah, sudah. Kenapa pula dengan telefonnya ini? Habis ke baterinya? Seingatnya, baru malam tadi dicaj bateri dan sekarang dah habis? Biar benar?

Telefon bimbit diangkat tinggi. Sesekali ditelek ke kiri dan ke kanan. Mana tahu kalau silau dek cahaya lampu yang agak terang di dalam restoran itu walaupun pada siang hari. Tapi ternyata memang gelap jelaga langsung tidak menyala. Sekali lagi keluhan dilepaskan sebelum telinganya mendengar butir-butir perbualan dari meja di belakangnya.

"Alamak! Purse aku! Macam mana ni? Ini mesti tertinggal dekat atas almari kasut. Jerry la ni. Orang nak keluar, dia nak ikut sekali. Beria-ia sangat tadi nak halau dia masuk, haaa ambik. Mendapat! Alaaa... Macam mana ni? Nak bayar macam mana? Takkan nak kena cuci pinggan kut?" rungut suara di belakangnya.

Faheem tarik senyum. Tanpa menoleh melihat untuk siapa gerangannya, dia bingkas bangun dan menuju ke arah kaunter bayaran.

"Anney, resit. Kasi dua, ya? Meja saya dengan meja belakang. Saya bayar," ucapnya sambil tersenyum.

Pesan ibu, kalau kita mudahkan urusan orang yang dalam kesusahan, mungkin Allah akan permudahkan urusan kita pada kemudian hari.

Tapi siapa pula nak menyangka, kalau satu hari nanti dia jodoh yang dicari selama ini?

Eh macam berpantun pulalah, sama sahaja bunyi di hujungnya! Ah, mengarutlah kau, Faheem. Hendak tolong, buat cara hendak tolong. Tidak payahlah hendak berkira!


Bab 1

Lara pandang sekeliling berkali-kali. Sekejap dia toleh ke kiri, sekejap lagi ke kanan. Rasa cuak dalam diri dah tahap maksima, tak boleh nak kata apa. Ini kalau tahu dek peminat dia, mau hijau muka. Penulis yang agak terkenal seperti dia pergi turun sarapan pagi tapi tak bawa purse. Malu siut! Kalau kena viral dengan Blog hebat macam Pensel Merah ke, Naracantik ke, dijamin double malu dia dibuatnya.

Lara Amani minum maple tapi berhutang!

Lara tekup muka dengan tangan. Omooo. Tak sanggupnya rasa haih kalau terbaca headline gitu dekat mana-mana Blog. Lagikan pula kalau berita itu dikongsi dekat web muka buku dan kemudiannya jadi viral. Malu sey!

Untuk ke sekian kalinya, mata ditala ke sekeliling restoran itu. Tapi hampa bilamana semua wajah yang ada kala itu seorang pun tak ada yang menyerupai jiran setingkat ke apa. Allah, lupa! Hari ni kan hari kerja. Dah tentu-tentu semuanya keluar berkerja dan rata-rata yang ada di restoran sekarang ni tak lain kalau pekerja bangunan UOA Bangsar atau kawasan sekitar.

MUA MOST WANTEDWhere stories live. Discover now