Faheem bergegas keluar dari kereta. Laju langkah diatur, bimbang lewat. Awalnya memang dah berjanji nak ambil Paie dari rumah sewanya tapi sebab Ogy nak guna kereta, Paie minta kawan serumahnya hantar ke Restoran Pattaya dan dia pula Ogy drop dalam perjalanan dia ke IOI Mall. Mujurlah restoran yang dipilih Paie cuma tepi jalan saja. Turun kereta dah depan pintu masuk.
"On time!" tegur Paie. Tangan Faheem ditarik dan disalam hormat. Faheem tayang senyum tipis.
"Paie rindu sangat-sangat dekat abang! Abang makin kacaklah! Agak-agak tulang rusuk abang tu, sesuai tak dengan Paie?" usik Paie dengan tawa kecil.
Tawa Faheem terburai sama. Hamboi. Bukan main lagi tulang rusuk bagai.
"Tak payah nak tulang rusuk sangatlah, Paie. Apa barang doktor hebat macam Paie nakkan make-up artis cabuk macam abang ni. Dunia kita tak sama."
"Statement biased gila, okey? Apa? Ingat doktor sekarang sejenis yang spek mata tebal ke?" balas Paie, tak mahu kalah.
"Memanglah tak, tapi tetap hebat. Paling tidak otak geliga, kuat membaca. Term pelik-pelik yang tergeliat lidah nak sebut tu semua dalam kepala. Bukan macam abang ni. Malas membaca. Rajin menconteng muka orang aje."
"Okeylah. Okeylah. Paie dah tahu dah. Dari dulu sampai sekarang abang memang selalu nak rendahkan diri abang yang tinggi lampai tu. Kita pesan makanan dulu boleh, kan? Paie laparlah!"
"Okey. Boleh. Tapi, kejap!" Mata Faheem tak lepas dari memandang ke arah sudut tepi restoran itu. Matanya tak berkerdip sejak tadi sambil kening berkerut memikir gerangan tuan punya susuk tubuh yang sedang termenung sendiri sambil merenung telefon bimbitnya. Sesekali wajah polos itu mencebik dan kemudian tersengih. Langsung tidak dia perasan dirinya jadi perhatian.
"Paie, tunggu sekejap, ya?! Paie pesan aje apa-apa. Abang bayar. Make it two."
"Alaaa, abang ni. Abang nak pergi mana pula ni?" rengek Paie, manja. Tak sampai 5 minit, dah nak bangun? Rindu belum kebah lagi ni kut! Selama ni dia duk dengar suara dalam telefon, telek gambar dalam komputer riba aje. Mana cukup!
"Sekejap aje. Abang nak jumpa orang. Paie pesan makanan dulu, ya?" pesan Faheem yang sudah siap sedia berdiri. Mata tak lekang memerhati. Confirm, dia tak salah orang. Memang dia!
"Paie bukan orang, ya?"
"Paie..."
"Yalah-yalah," balas Paie sambil mencebik tapi tak diendahkan dek Faheem. Laju aje kakinya melangkah ke arah meja berhampiran tingkap itu.
"Duit?" soal Faheem tanpa salam pembuka bicara. Tangan duk elok ditadah depan muka yang tercengang memandang ke arahnya.
"Ni nak merompak ke apa ni?" soal si gadis sambil memerhati ke arah sekeliling. Tak ada pun konco-konco pakai sarung kepala hitam ke apa. Yang pakai helmet pun tak ada. Nampak tenang aje semuanya. Merompak versi baru ke ni? Terang-terangan tanpa hijab. Senjata pun tak ada.
"Pernah ke jumpa perompak handsome macam ni?"
Handsome? Lara pandang atas bawah berkali-kali.Handsome ke? Jambu aje lebih! Confirm bukan perompak ni. Muka pun tak ada muka perompak. Putih, mulus. Flawless gitu! Kalah muka dia sendiri yang kadangkala gunung berapi datang tak diundang. Tapi kan, jambu-jambu pun kumis nipis dia tu mengancam! Eh? Apa ni? Apa ni? Lara, istighfar!
"Apa pandang-pandang? Hutang bila nak bayar?" sergah Faheem.
"Ooo, awak ni along ke? Ingatkan perompak tadi. Eh, adik-beradiklah tu," balas Lara spontan.
Faheem buntangkan mata, rasa tak percaya. Along dikatanya aku? Kurang asam gelugur punya minah.
"Haah. Saya along pada empat orang adik perempuan. Puas hati? Eh, dahlah. Jangan banyak bunyi la, cik kak. Bayar aje hutang awak tu sekarang. Lepas ni, saya pun tak adalah rasa nak tegur atau jumpa awak lagi. Kita habis dekat sini aje, senang. Awak bayar aje, saya terus tutup buku. Sadakallahulazim."
YOU ARE READING
MUA MOST WANTED
Ficción GeneralPENULIS: AIFA BATRISYA TAJUK: MUA MOST WANTED TERBITAN: MEI 2017 MUKA SURAT : 560 HARGA : RM23 (SM)/RM26 (SS) Pernah tak anda mengalami situasi begini? 1) Sudah makan di kedai tapi bila nak bayar baru sedar yang dompet tertinggal? 2) Cuba call rakan...