Faheem baru sahaja melabuhkan punggungnya di atas sofa berhampiran balkoni sebelum Ogy terkocoh-kocoh datang dengan kain putih panjang diselimutkan di tubuhnya. Rambutnya pula diikat tocang banyak-banyak. Muka putih melepak ditepek bedak sejuk.
"Ya Allah, G. Lain kali boleh tak jangan buat macam ni? Nasib baik aku tak melompat tadi. Boleh tak kain putih tu tinggal aje dalam bilik?" marah Faheem sambil urut dada. Ogy ketawa mengekek.
"Kau debar ya, Bam? Gegirl juga kau rupanya. Mak pun kau nak seram."
"Gegirl otak kau. Dah berselimut putih macam ni. Muka tepung gomak. Lepas tu tiba-tiba aje muncul, siapa pun boleh terkejut. Haaa dah kenapa ni? Aku letihlah. Malaslah nak tolong pegang kain ni sementara kau nak potong. Kau tebar aje la depan TV tu," balas Faheem malas. Orang baru nak relaks hilangkan letih seharian melayan kerenah client pagi tadi dengan Smule, dia datang pula bawa kain minta tolong pegang.
"Bukanlah! Ni Abam, pelakon pujaan kau call aku tadi. Duk mengadu dekat aku, kau tak angkat langsung call dia. Ya ke, Bammm?"
Faheem hanya mengerling sekilas dengan wajah tanpa riak.
"Kau biar benar, G? Pelakon pujaan aku dah lama meninggal," balasnya bersahaja.
Ogy menganga sebelum tangannya ditarik lembut menutup bibirnya.
"Ya Allah, Ya Allah. Dia hidup lagi la, Bam. Kau ni, tak baik tau. Orang duk sihat wal afiat lagi, kau kata meninggal. Mulut tu, very the nak kena sagat dengan pengukur kelapa. Jahat tau."
"Marah pula. Tan Sri P. Ramlee dah lama meninggal kut."
Ogy ketap bibir. Geram! Dia buat lawak pula!
"Mak cakap pasal Fynn la. Bukan pujaan yang itu. Bijak!" marahnya. Punggung dilabuh di atas kerusi sebelah. Bila Faheem buat-buat malas nak layan, memang lama la gayanya dia kena buat penjelasan. Kalau dipandang enteng aje masalah ni, job pun lari nanti. Very the vouge the vass client ni! Rugi kalau terlepas!
Dahi Faheem berkerut panjang. Fynn?
"Fynn Jamal tu bukan penyanyi ke? Dia ada urusan apa nak call aku?"
Ogy tepuk dahi sendiri. Tocang di kepalanya pula ditarik berkali-kali menahan geram sebelum dia terjerit sendiri. Eee dia ni, kan! Very the Faheem sangat!
"Eee... Geram tau! Geram! Geram! Tadi P. Ramlee, lepas tu Fynn Jamal pula. Fynn pelakon tu la. Hadfina! Hadfina! Haaa, kan. Dah terkeluar suara jantan mak. Saje aje kan, kau ni Bam. Nak kasi panasss aje!"
Faheem gelak mengekek sambil geleng kepala. Dah tentu-tentu dalam IC tulis jantina lelaki. Takkan nak keluar suara gadis ayu.
"Ooo... Hadfina. Cakaplah awal-awal. Ha, kenapa dia?"
"Kan mak dah cakap tadi. Dia murka. Dia call kau banyak kali, kau tak jawab. Kau tak nak job ke, Bam? Minah tu dari hujung tahun lepas dok riki kau, kau tolak. Bam, sesak-sesak macam ni terima ajalah. Bukan kau nak kena kahwin dengan dia pun! Tolong jadi assignated MUA dia jerrr!"
Faheem buang keluhan panjang. Tubuh disandar perlahan. Hilang mood nak Smule lagi malam ni.
"Kau yang kata macam tu. Tapi kau tak tahu, agenda di sebalik assignated MUA dia tu," balas Faheem serius.
"Ya, Bam. Mak faham. Mak tahu sangat dah dengan pandangan mata dia pada kau tu. Macam nak terkam! Baju pun macam tak cukup benang aje bila jumpa kau. Tapi itulah, kan. Kau kena faham, keadaan kita sekarang ni, Bam. Job asyik kena caras. Rumah ni nak kena bayar. Kereta tu pun sama. Perut kita pun nak kena isi. Ni, barang mekap mak ni pun dah habis. Sebab tu mak pakai bedak sejuk aje buat ganti mask. Kau tak sedih ke, Bam? Sedih, kan? Kesian mak."
YOU ARE READING
MUA MOST WANTED
General FictionPENULIS: AIFA BATRISYA TAJUK: MUA MOST WANTED TERBITAN: MEI 2017 MUKA SURAT : 560 HARGA : RM23 (SM)/RM26 (SS) Pernah tak anda mengalami situasi begini? 1) Sudah makan di kedai tapi bila nak bayar baru sedar yang dompet tertinggal? 2) Cuba call rakan...