"Wauuu wiii. Bau manyak sedap. Kau masak apa ni, Bam?"
Faheem jeling sekilas ke sisi sambil tayang muka malas nak melayan. Dalam hatinya sudah melangit kutukan bila melihatkan pakaian Ogy waktu tu. Singlet biru kosong, seluar bermuda dah cukup elok. Yang pi lilit bulu-bulu ayam pink dekat tengkuk tu dah kenapa?
"Seriusnya muka. Takut mak nak tegur kau, Bam! Sorrylah. Mak bau something tadi. Ingat kau masak. Tak masak tak apalah. Nak pergi sambung lepak dekat tingkap hijau. Daaa..." balas Ogy sambil terkedek-kedek mahu melangkah masuk semula ke dalam biliknya.
"Ni berapa ekor ayam jadi korban kau ni?" soal Faheem, serius.
"Ayam?" soal Ogy, keliru. Tak jadi dia nak terus melangkah.
Faheem tak menjawab. Cuma kening saja terjongket mengesahkan soalannya.
"Bila masa mak cakap pasal ayam ni? Tak ada pun," balas Ogy bersahaja sambil sebelah tangan melekap elok di pinggannya. Sebelah lagi tangan tongkat dagu.
"Baju dah siap jahit ke belum ni?" soal Faheem lagi. Ubah soalan bila soalan awalnya langsung tak berjawab. Malas nak terus bertanya bila Ogy pura-pura tak faham maksudnya. Tiba-tiba Ogy jadi jurus selurus pembaris.
Ogy geleng. Rambut yang menutupi matanya dikuis-kuis dengan hujung jari runcingnya.
"Sikit aje lagi. Dekat pelipat lengan tu hah. Iron aje dokoh. Siap!"
"Dokoh dekat pelipat lengan? Kau biar betul, G?! Siapa nak tengok dokoh dekat situ? Bising mak cik tu nanti. Diviralkan satu FB, masak kita, G," provok Faheem sambil selak buku kecilnya. Boleh tahan juga penuh aktiviti minggu ni. Majlis kahwin ada empat. Fashion show ada dua. Photo shoot iklan lagi. Alhamdulillah, lega sikit hatinya bila melihat planner penuh terisi.
"Viral? Beranilah dia nak viralkan. Idea ngok tu, idea dia juga. Nak nampak rare sangat kononnya. Dokoh dekat pelipat lengan. Labuci dekat ketiak. Kau rasa? Memang ada dua tiga wayar dalam otak dia tu tertukar fius agaknya. Kau jangan risau Bam, mak siap tangkap video lagi permintaan dokoh dia tu. Kalau dia nak kecoh atau meroyan ke hape, haaa kita keluarkan bukti. Biar dia malu!"
Faheem melongo seketika. Dokoh dekat pelipat lengan dah cukup tak boleh diterima akal. Labuci dekat ketiak? Apa faedahnya sorok labuci dekat situ?
"Okey. Apa-apa sajalah. Haaa kalau tinggal sikit aje, pergilah siapkan cepat. Esok pagi-pagi dah nak gerak. Tengah hari nak guna untuk resepsi tu. Kalau tak siap, aku tak nak pergi. Lagipun, bukan aku yang mekapkan anak Datin Dadidu tu."
"Yalah. Yalah. Kejap lagi aku siapkanlah. Kau ingat senang ke nak menjahit ni, Bam? Susah tau! Naik kematu jari-jemari runcing adik ni," adu Ogy sambil muncung-muncung.
Faheem cebir bibir. Mamat ni, kan! Kejap mak, kejap adik. Kecelaruan identiti sungguh.
"Tak payah nak adik-adik sangatlah, Ogy oi. Adik aku ada ramai dekat kampung tu hah. Tiga orang perempuan. Tak kuasa aku nak menambah lagi seorang adik yang keliru jantina macam kau ni la," tembak Faheem bersahaja.
Ogy gelak mengekek.
"Serius sangat kau ni, Bam! Aku gurau ajelah! But its okay. I loike you 1, 2, 3, 4, 5. Aku masuk office dululah settlekan kerja. Bam, aku tak makan ya malam ni. Diet. Spare tayar dah makin mengembang."
"Yalah. Yalah. Whatever," balas Faheem acuh tak acuh bila mana matanya sudah tertancap elok menyambung bacaannya pada majalah Female di hadapannya. Tapi belum sempat lagi muka surat seterusnya diselak, telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat.
"Assalamualaikum, abang!"
"Waalaikumussalam," balas Faheem pendek. Ada senyum kecil terukir di hujung bibirnya bila suara ceria itu kedengaran di corong telefon.
"Abang Aem sihat?"
"Alhamdulillah. Paie?"
"Paie sihat. Ummi sihat. Walid pun sihat juga. Abang Alan pun sama."
Abang Alan? Mendengarkan nama itu, pantas sahaja keluhan kasar dilepaskan. Bibir ditarik senyum paksa walaupun tiada siapa yang nampak reaksinya waktu itu.
"Abang, Paie rindu sangat dekat abang. Kita jumpa, ya?" rengek Paie, manja seperti biasa.
"Paie kan dekat USM Kubang Kerian sana tu. Nak jumpa macam mananya?"
"Paie dah lama habis belajar la, abang. Tengah housemanship sekarang ni dekat Hospital Serdang. Lupalah tu! Ni nak merajuk ni."
Faheem tarik senyum sendiri sebelum dahinya jadi mangsa tepuk tangan sendiri. Dah habis belajar? Ya ke? Sekarang bukan tahun 2016 ke? Allahu! Yalah! Bukan tahun lepas ke...
"Itulah. Hari tu Paie ajak pergi konvokesyen Paie, abang tak datang. Sampai hati!"
"Abang busy la, sayang. Tapi abang ada hantar bunga, kan?"
Ada dengusan kasar kedengaran di hujung talian.
"Ya. Memanglah ada bunga. Tapi langsung tak sama kalau abang ada sama," rajuk Paie bersambung lagi. Dah hampir 6 bulan pun masih dengan rajuknya lagi. Faheem yang dia kenal, kalau bukan kita yang memulakan memang jangan haraplah akan dia hubungi. Busy sentiasa.
"Alan kan ada?"
"Huh, Abang Alan tu. Dia bukan kesah pun. Sama macam walid. Tak sudah dengan masak-masaknya. Tak sudah dengan business. Macamlah kafe tu boleh tutup kalau sehari dua dia tak ada."
"Jadi, masa tu?"
"Yup. Girls day. Ummi, ibu dengan adik-adik abang aje yang ada masa konvo Paie hari tu."
Faheem terkedu seketika. Laaa kisahnya. Hailah. Ayah memang tak pernah berubah sejak dulu. Business nombor satu. Anak-anak nanti-nanti kira.
"Ooo, ya ke? Maaf. Abang betul-betul tak dapat datang. Abang minta maaf, ya?"
"It's okay. Paie faham. Tapi kan, Paie nak mengaku sesuatu dekat abang. Paie sebenarnya cemburu sangat-sangat dengan adik-adik abang," luah Paie lagi.
"Hmmm? Cemburu?"
"Yalah. Cemburu. Walau sesibuk mana pun abang, abang tetap ambil masa untuk balik setiap bulan menjenguk. Dua hari sekali abang call ibu. Paie cemburu sangat! Kalaulah Abang Alan tu macam abang kan bagus? Kadang-kadang Paie rasa macam Paie ni anak angkat aje tau. Walid bukannya selalu borak dengan Paie. Abang Alan pun sama. Paie lagi banyak borak dengan abang dari abang Paie sendiri. Sedih tau, bila duduk serumah tapi macam..."
"Dahlah. Janganlah cakap macam tu, ya? Walid dengan Alan kan tengah sibuk sekarang. Untuk Paie dengan ummi Paie juga, kan?"
"Alahhh. Macam dia orang aje sibuk. Orang lain tak sibuk? Ni Paie housemanship pun dia orang tak ambil tahu. Hari tu Abang Alan pergi bawa pekerja kafe yang kemalangan pun terkejut nampak Paie dekat hospital. Sedih, kan? Abang sendiri tak tahu apa-apa," luah Paie, sayu.
"Okey. Dah. Dah. Tak mau sedih-sedih. Abang janji. Malam esok kita jumpa, ya?"
"Malam esok? Betul ni? Abang tak tipu, kan?" soal Paie ceria. Di sebelah sana dia dah terlompat-lompat gembira. Mana nak sangka umpannya kali ni mengena. Selalunya memang susah nak jumpa Faheem. Kalau dia balik cuti semester pun belum tentu Faheem balik sama.
"Ya, sayang."
"Waaa. Ini yang buat Paie makin sayang abang ni. Nanti abang ambil Paie boleh, kan? Roadtax kereta Paie dah mati la. Nak renew pun, gaji belum masuk lagi."
"Tak apa. Esok abang bagi duit, ya? Nanti Paie renew."
"Okey, abang. Sayang abang! Nanti Paie WhatsApp dekat abang location rumah sewa Paie, ya?"
Dan perbualan mereka berakhir bila Paie minta izin untuk tidur dulu. Katanya esok dia bertugas awal pagi. Pukul 6 pagi dah kena ada. Masuk pukul 6 pagi dan habis 6 petang.
Dan akhirnya Faheem hanya mampu tersenyum sendiri. Nama aje ada 3 orang adik perempuan tapi gayanya macam ada empat saja.
YOU ARE READING
MUA MOST WANTED
Fiksi UmumPENULIS: AIFA BATRISYA TAJUK: MUA MOST WANTED TERBITAN: MEI 2017 MUKA SURAT : 560 HARGA : RM23 (SM)/RM26 (SS) Pernah tak anda mengalami situasi begini? 1) Sudah makan di kedai tapi bila nak bayar baru sedar yang dompet tertinggal? 2) Cuba call rakan...