"Abang, kita balik terus rumah abang, ya?!" pesan Paie sewaktu Honda CRZ milik Faheem meluncur keluar dari Tol Lekas Mantin ke arah Pekan Mantin.
"Hmmm, ni mesti ada apa-apa ni. Paie ada janji apa dengan Dila? Nak tengok wayanglah tu, kan?" tebak Faheem.
Paie sengih.
"Adalah. Rahsia."
"Eleh. Macamlah abang tak tahu rutin mingguan kau orang dari zaman sekolah dulu. Walaupun dulu abang jarang balik, segala aktiviti abang pantau tau!"
"Yalah tu. Haaa dah sampai. Tak payah parking dalam la. Kita parking tepi kereta ibu, ya?"
Faheem cuma menurut tanpa banyak bertanya. Memandangkan dia cuma balik semalaman, hanya bag pack kecil dari tempat duduk belakang saja yang ditarik keluar dari kereta lalu digalas sambil menuju ke pintu pagar rumah teres dua tingkat yang separuh terbuka.
"Surprise!!!"
Tak jadi Faheem nak terus melangkah bila dia diserbu di hadapan pintu pagar yang dipenuhi dengan belon dan macam-macam hiasan lagi.
"Apa ni? Surprise?" soalnya kehairanan sambil buang pandangan ke arah Paie di sisinya.
"Happy birthday, abang! Moga panjang umur dan dimurahkan rezeki selalu. Paie sayang abang sangat-sangat!" ucap Paie sambil peluk mesra lengan Faheem yang tampak masih kebingungan.
"Amboi kau, Paie. Bak kata Abang Ogy, kau ni very the over chikki. Jangan lebih-lebih eh, ni abang kami tau!" bebel Dila sambil tarik tangan Faheem lalu disalaminya.
"Entahnya Kak Paie ni. Beria-ia tau. Dijah yang bongsu ni pun tak manja macam tu dengan abang. Jealous ni. Jealous!" sahut Dijah pula. Mendengarkan luahan tak puas hati tu, laju saja lengan Faheem dilepaskan sebelum dia tersengih malu.
"Alaaa sorry. Sorry. Kita share la, ya? Share. Ayah kau orang, ayah Paie juga, kan? Jadi, abang kau orang, abang Paie juga la. Bukan macam tu ke?" soal Paie, mesra.
"Apa hal? Tak cukup lagi ke ayah kami kau kebas? Abang kami pun kau nak sapu sekali? Apa pasal kau tak suruh kami tukar aje Abang Aem dengan Abang Alan kau tu?" tegur Iqa yang duduk di atas kerusi malas berhampiran kolam ikan. Serentak itu semua yang ada sama langsung berpaling ke arah Iqa yang hanya tayang muka tak bersalah.
"Iqa, apa cakap macam tu? Tak baik tau! Orang duk gurau-gurau aje tadi tu dia buat serius pula. Kan Paie, kan?" tegur Dila sebagai kakak yang sulung. Tapi teguran Dila disambut dengan senyuman sinis Iqa.
"Apa yang tak baiknya, Kak Dila? Akak lupa ke? Sebab abang dialah along jarang balik sini. Sebab abang dia juga, along tak suka sambut hari jadi dia sendiri dan hari ni, dia pandai-pandai organize birthday party along. Baik ke semua tu?"
"Iqa, apa ni? Dia, dia. Dia tu siapa?" tegur ibu yang baru sahaja turun dari tingkat atas diikuti oleh ummi di belakangnya.
Laju sahaja Faheem atur langkah menghampiri kedua-duanya dan bersalaman tanda hormat.
"Ah, malaslah Iqa nak cakap. Kalau Iqa cakap pun, bukan ada sesiapa yang nak faham pun," balas Iqa sambil berlari-lari anak ke tingkat atas. Melihatkan keadaan itu, Dila langsung tersenyum pada ummi dan ibunya sebelum paksa diri tertawa bagi meredakan keadaan tegang sebentar tadi.
"Agaknya Si Iqa tu PMS, kan? Tak apa, kita abaikan saja hal tadi tu, ya? Jom kita makan. Makanan dah siap terhidang dekat dapur tu," ajak Dila.
"Errr... Tak apa. Semua makan dulu, ya? Along naik atas sekejap, ajak Iqa makan sekali," balas Faheem sambil berlari-lari anak menaiki tangga tanpa mengendahkan panggilan Paie yang beria-ia mengajak dia tiup lilin atas kek hari jadinya.

ANDA SEDANG MEMBACA
MUA MOST WANTED
Fiksi UmumPENULIS: AIFA BATRISYA TAJUK: MUA MOST WANTED TERBITAN: MEI 2017 MUKA SURAT : 560 HARGA : RM23 (SM)/RM26 (SS) Pernah tak anda mengalami situasi begini? 1) Sudah makan di kedai tapi bila nak bayar baru sedar yang dompet tertinggal? 2) Cuba call rakan...