prolog

863 79 47
                                    

1134 T.P, Malagemalai

RUANG angkasa penuh hitam gelap. Sepi, kosong, tanpa kerdipan bintang dek terhalang gugusan awan hitam. Pancaran-pancaran kilat menerangi alam semesta sesaat. Diselangi dentuman guruh memecah kesunyian malam. Deruan angin bertiup deras, menampar dedaunan sehingga tertanggal. Gulungan badai kian rakus memukul dinding rumah-rumah penduduk yang berselindung sambil memohon agar badai ini pantas berlalu.

Sejalur pancaran kilat memanjang dari langit menjunam tanah dengan kelajuan cahaya. Menerangi keadaan hutan yang samar dalam kegelapan bersama dentuman kasar yang menggegarkan.

Di dalam kegelapan hutan, bunyi derapan berat kuda yang dipacu laju serta suara jerkahan manusia sayup kedengaran di antara celahan pepohon besar yang tumbuh melata di lantai hutan. Suara-suara itu keras dan tidak berhenti. Malah ianya semakin mendekat.

Derapan langkah kuda masih laju. Sesusuk tubuh berjubah yang mengawal pacuan kudanya dengan baik dalam mengelak dahan serta akar yang berselirat pada lantai hutan. Untuk sebentar dia menoleh belakang, meninjau pengawal berkuda yang masih setia mengejar sambil mengarahnya untuk berhenti.

"Berhenti Hayyat! Kau takkan boleh lari jauh!!"

"Raja Sirius pasti akan buru kau!!"

Hayyat yang terlindung di sebalik jubah kelabu terus memacu laju ke tengah hutan. Sehingga tiba di satu kawasan lapang yang tidak dilindungi sebarang pepohon hutan. Dia sempat meneliti sepintas lalu, sebelum berhenti.

Sepuluh pengawal yang mengejar turut berhenti mendadak di belakang. Hayyat melompat turun lalu membisikkan sesuatu pada kuda tersebut. Kuda tersebut mendengus sambil menghentak kaki seolah memprotes. Hayyat terus membelai sambil bersentuhan dahi sesama mereka. Untuk seketika kuda tersebut mendengus sebelum berlari meninggalkannya.

"Nampaknya kau sudah tahu bahawa malam ini adalah pengakhiran buat kau," tutur salah seorang daripada kelompok tersebut lalu ketawa besar.

Hayyat mendiamkan diri. Kekal berdiri dalam posisi membelakangkan kelompok manusia yang sentiasa mengambil peluang untuk mencabut nyawanya. Cahaya merah memancar pada telapak tangan kiri lalu memanjang menjadi sebilah pedang cahaya.

"Lepas bunuh pemberontak ini. Kamu semua boleh sambung berseronok semu-"

Pancaran kilat dan dentuman guruh langsung mematikan percakapan lelaki seperti ketua dengan baju perisai dan topi besi yang melindungi tubuhnya. Anak buah di belakang turut terkaku seketika.

Selajur itu, beberapa titisan air jernih mula menghempas tanah. Untuk seketika si pengejar tetap terkaku. Hayyat tetap berada dalam posisi yang sama. Hujan beransur lebat dan terus lebat mencurahkan isinya yang tersimpan. Langsung membasahi tanah dan melopakkan daratan. Alam seperti tahu bahawa tanah ini bakal tercemar dengan darah manusia yang saling bertingkah sesama sendiri.

"Tunggu apa lagi! Nyahkan si bangsat itu!" arah si ketua dengan bengis.

Lima dari sepuluh pengawal mara bersama kuda tunggangan. Mereka berkobar-kobar ingin menewaskan musuh yang membelakangi mereka.

Seperti pasrah dengan ajal yang mendekat, Hayyat tidak berkutik walau seinci ketika dirinya dipagar dengan pengawal dalam bentuk bulatan yang mengelilingi. Mereka menafikan sebarang peluang untuknya melepaskan diri. Pintu untuk melarikan telah tertutup. Hayyat terpagar. Seorang pengawal lekas menyerbu sambil menaikkan pedang setinggi udara.

Hayyat memejam mata lalu menunduk. Serentak, libasan pedang daripada pengawal sekadar melepasi belakang kepala. Dia merendahkan tubuh lalu melompat melepasi kepala lawan. Sempat memerhati ke bawah, kepada lima pengawal yang terdongak dek tindakan tidak dijangka itu.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now