Seseorang berkerudung penuh berwarna hitam menghampiri sel penjara yang dihuni Hayyat sebelum Badang teleport keluar dari penjara ini. Dia berhenti di pintu sel dan memandang tepat tompokan darah merah yang masih segar di permukaan lantai berlumut.
Di sebalik kerudung kepala. Bibirnya mengukir senyuman yang amat sinis.
"Baru anak kau tahu macam mana rasanya bila bapanya kena bunuh," ujarnya sebelum perlahan-lahan berundur ke dalam bayang-bayang hitam.
Tapi, dia tak tahu yang anak-anak Hayyat tak mengenali ibu bapanya apatah lagi merasai kasih sayang dari mereka.
○○○
Ketika malam menginjak larut, Tyara dan Algojo sedang duduk-duduk di luar kem pertahanan sambil berbual mesra. Kelihatan Tyara sedang bergelak-tawa dengan celoteh dari si lelaki bertopi hitam itu.
Hari berganti hari, hubungan mereka berdua semakin rapat kerana Tyara sering menghabiskan masa bersama Algojo. Bagi Tyara, dia hanya selesa dengan Algojo berbanding kesatria-kesatria yang lain. Kebanyakan kesatria Raja Sirius berlagak dingin, tak pandai senyum, tidak boleh diajak bergurau dan angkuh. Ada lah seorang dua panglima yang dia kenal, yang lain biarlah. Tak kenal pun tak apa.
"Awak tahu tak yang perangai awak ni sama macam seseorang yang saya kenal dulu," ujar Tyara.
"Wooo siapa tu?" Algojo menyoal sambil melingkari tangannya di belakang Tyara. Sengaja mencuri peluang.
"Mungkin awak tak kenal dia. Tapi, dia adalah orang yang paling diinginkan oleh Raja Sirius,"
"..." Algojo terdiam. Mindanya berputar ligat memikirkan siapa yang dikatakan oleh Tyara. Selang ketika, riaknya bertukar seperti baru memperoleh jawapan. "Yang paling diinginkan atau paling diburu?" soalnya semula bersama senyuman sinis setelah merasakan jawapan yang bakal diberi mungkin tepat.
"Awak kenal dia?"
"Macam awak cakap, saya tak kenal dia. Tapi, mungkin saya tahu siapa dia,"
Algojo tersenyum. Kalau benarlah tekaannya ini, pasti namanya akan semakin mahsyur di kalangan askar.
"Jadi, siapa nama pemilik kuasa magis alam tu?" tanya Algojo tanpa berselindung.
Tyara terdiam. Alang-alang dah berpaling tadah, apa salahnya bocorkan rahsia 'musuh' yang diketahui olehnya. Tapi, dia ingin bermain tarik tali dahulu dengan Sang Algojo.
"Awak boleh baca minda saya ke?"
"Tak. Kenapa?"
"Macam mana awak boleh tahu dia pemilik kuasa magis alam?"
Algojo menghembus nafas sebelum memberi jawapan. "Mengikut ramalan, cuma ada beberapa manusia sahaja yang mampu menewaskan Raja Sirius dan salah satunya adalah pemilik kuasa magis alam yang masih diburu Raja Sirius. Malah semenjak belasan tahun dahulu lagi kami sudah mencari di setiap pelusuk Tanah Malagemalai, tapi gagal. Dan awak juga ada cakap yang dia adalah orang paling diingini Raja Sirius. Awak tahu sebabnya? Mitos ada mengatakan yang kuasa magis alam adalah kuasa paling hebat di dunia dan sangat-sangat jarang muncul. Ada yang kata setiap seribu tahun, waris kuasa magis alam akan lahir dan menentang kebatilan.."
"Awak tak takut jika sebenarnya awak berada di pihak yang salah?" celah Tyara.
"Hahaha. Kalau sudah begini takdir saya, saya terima. Lagipun apa guna jadi baik jika dipijak-pijak,"
Mulut Tyara terkunci untuk membalas kata dari Algojo. Dia hanya mengelus jari-jari runcingnya sambil membuang nafas.
"Tyara," panggil Algojo.
YOU ARE READING
Tanah Magis Malagemalai (Edit)
FantasiaMona, seorang gadis muda yang terpaksa memimpin sepasukan askar pemberontak bernama Revolusi setelah kematian ayahnya. Dia juga telah diamanahkan untuk menjaga Muda, seorang remaja lelaki yang bakal menggegar tanah Malagemalai akan datang. Pelbagai...