KELOPAK mata Dao-yu terpejam rapat di sebelah Kong yang sudah mengambil-alih semula tugasnya daripada Cargas. Kong sekadar mengikut arahan daripada Dao-yu bagi melarikan diri daripada dijejak.
"Lagi dua puluh kilometer, kita akan sampai," tutur Dao-yu.
"Aku ingat dekat lagi, jauh rupanya markas si Gambit ni," keluh Cargas yang sedang baring dibumbung pedati. Dia memandang gunung diselaputi salji dikejauhan.
"Itu Gunung Rao kan?" soalnya lagi. Kong di bawah hanya mengiakan.
"Kong, Cargas, ada yang menghampiri kita!" tutur Dao-yu bernada memberi amaran.
Perjalanan yang sedari tadi tenang bertukar kacau. Satu ledakan kuat di hadapan caballus membuat haiwan tersebut mula hilang kawalan. Meronta-ronta sambil berdengus kasar. Tindakan Kong membuka engsel kekuda yang ditambat pada haiwan tersebut menyelamatkan mereka. Jika tidak, pasti akan ada yang tercedera sekiranya dipacu haiwan gila.
Setelah pasti keadaan selamat. Kong melompat turun dan membantu Dao-yu turun dari pedati. Diikuti Cargas yang melompat lalu tertoleh kiri dan kanan. Feng keluar dari pedati dengan riak hairan.
"Apa benda tadi?" soal Feng, Cargas menaikkan bahu.
"Baring!" Kong merempuh ketiga-tiga rakannya sehingga jatuh menghempas tanah. Selajur satu serangan cahaya hijau tepat mengenai pedati sebelum meledak. Sekaligus menghancurkan kenderaan yang dinaiki mereka berempat.
Kong menghasil magis pelindung hemi sfera di atas mereka. Serpihan kayu pedati sekadar menghentam pelindung. Dada Dao-yu berombak laju dengan kejadian yang berlaku di hadapan mata. Kalau mereka lewat sedikit sahaja turun dari pedati, pasti maut sudah datang menjemput. Pelindung dilesapkan Kong seraya bangkit berdiri. Diikuti Cargas dan Feng. Dao-yu dibantu Feng untuk bangun secara perlahan-lahan. Rasa terkejut masih berbekas.
"Ss-siapa yang serang kita?" soal Dao-yu yang sedikit mengeletar.
Serangan hijau menerpa lagi. Kong menaikkan tangan serentak pelindung lutsinar terhasil dari gerakan tangannya. Letupan kuat menghasilkan retakan pada permukaan pelindung. Dia melesapkan pelindung seraya melangkah.
"Jangan jadi bacul. Keluar!" jerkah Kong dengan bebola angin di hasilkan pada telapak tangan.
Tidak membuang masa, dua individu misteri mendarat secara kasar di hadapan mereka bersama deruan angin kencang. Tanah retak seribu lalu pecah menjadi blok-blok batu kecil. Kepulan debu mula menutupi kawasan sekitar.
Kong tetap berdiri tegak, berwaspada dengan sebarang tindakan. Matanya tajam memincing kepulan asap. Cargas mengeluarkan dua pedangnya. Dao-yu kelihatan teragak, barangkali masih terkejut. Feng macam biasa, tangan dalam kocek.
Beberapa sfera hijau meluru keluar dari kepulan asap dengan kelajuan penuh. Kong melepaskan bebola-bebola angin menuju serangan musuh. Bebola angin menyerap sfera hijau sebelum dibawa terbang tinggi lalu kedengaran bunyi letupan berkali-kali di udara. Kepulan asap semakin hilang. Dua susuk di hadapan semakin jelas identitinya. Kong sedikit tersentak. Cargas turut tersentak lalu menutup muka dengan topeng.
"Kau berdua rupanya yang mengikuti kami. Apa yang kau mahu?" soal Kong dengan suara parau.
Xara dan Algojo tersenyum sinis. Tidak menjawab pertanyaan, Algojo melompat lalu ghaib. Dia muncul di hadapan Kong yang tiada riak takut atau terkejut di wajahnya. Belum sempat Algojo menyerang dengan pedangnya, satu tumbukan padu terasa mengenai perut sehingga melepaskan lingkaran pada belakang tubuh.
Algojo tersedak. Matanya membulat luas memandang Kong yang bengis. Sesaat kemudian dia terus terjunam laju menghentam beberapa batang pokok sehingga patah dua.
YOU ARE READING
Tanah Magis Malagemalai (Edit)
FantasyMona, seorang gadis muda yang terpaksa memimpin sepasukan askar pemberontak bernama Revolusi setelah kematian ayahnya. Dia juga telah diamanahkan untuk menjaga Muda, seorang remaja lelaki yang bakal menggegar tanah Malagemalai akan datang. Pelbagai...