bab 7

190 25 0
                                    

MALIQ tiba-tiba bangkit berdiri. Turak yang kehairanan, berpaling daripada hamparan peta kepada Maliq di hadapannya. Telinga lelaki itu bergerak-gerak.

"Mereka sudah bergabung," tutur Maliq.

Riak Turak berubah sinis.

"Apa masalahnya jika mereka bergabung. Terang-terang kita lebih kuat daripada mereka."

Maliq mula mundar-mandir sebelum duduk semula di kerusinya. Dia dapat merasa ketakutan mula menyapa. Sedikit sebanyak menggusarkan hatinya.

"Aku tahu itu. Tapi, tugas kita adalah membawa kepala Gambit kepada jeneral. Kau sudah lupa? Dia yang membuat Kelembai dan Algojo cedera. Erman pun tewas dengan dia."

Anak mata Maliq mula tidak statik. Bayangan memori ketika dia dibantai dengan teruk semasa amukan Gambit, membuatnya gerun. Masih jelas di ingatannya, kuku dan taring tajam hampir sahaja merobek badannya. Bagaimana Gambit yang bertukar serigala jadian, menyapu bersih seluruh askar bawahannya. Dan, mampu memberi tentangan hebat kepada dua kesatria terkuat Raja Sirius serta berjaya memancung Erman, yang turut kesatria kegelapan. Semua itu dilakukan oleh Gambit seorang sahaja.

"Hmmm... kalau kau takut baik pulang sahaja," usul Turak. Maliq membentak.

"Aku tak takut dia! Aku cuma takut...".

"Mati," celah Turak lalu berpeluk tubuh memandang Maliq yang terdiam.

"Kau kena ingat Maliq. Semenjak dahulu lagi kematian sentiasa berlegar berhampiran kita. Cuma nasib dan peluang yang menafikan ajal tersebut. Maliq, setiap kali kau berjaya pulang ke rumah dengan jantung yang berdegup, itu peluang paling bagus. Tapi, bila yang pulang hanya nama atau jasad kaku, ianya penghormatan tertinggi untuk setiap askar. Untuk apa jadi askar kalau takut mati. Kau sudah boleh kemas pakaian kau dan balik semula kubu."

Maliq hanya merenung tajam Turak sebelum keluar dari khemah dan berjumpa Gogel di dalam khemah yang dikawal ketat oleh Askar Maut.

"Tunjukkan aku di mana kem Gambit!" jerkahnya seperti dirasuk amarah.

"Sabar tuan. Perjalanan kita akan bertambah sukar pada waktu malam. Esok subuh, hamba sendiri akan mengetuai pasukan tuan memerangi bangsat-bangsat itu." jawab Gogel yang mendongak dari meja.

Frouq di sudut khemah hanya membatukan diri bersama aura gelap menyelubunginya.

"Alasan!"

Gogel melepaskan keluhan. Dia bukan sengaja mahu melambat-lambatkan pencarian ini. Deria mengesannya berkurangan pada waktu malam kerana bulan membuatkan magisnya terbatas.

"Cepat! Tunjukkan aku di mana Gambit. Aku mahu kepala dia!!" Maliq mengeluarkan pedang lalu melibas meja sehingga terbelah dua. Keadaan bertukar riuh sekelip mata. Beberapa askar menerjah masuk sebelum terkaku memandang Maliq yang mengacu pedang kepada Gogle. Dia merenung tajam seperti hendak membunuh lelaki gemuk tersebut.

Keriuhan yang terhasil tidak menarik minat Frouq untuk masuk campur.

"Aku cakap... tunjukkan aku di mana Gambit. Aku..ergh." Tanpa sebarang isyarat, Maliq tersungkur mencium tanah setelah belakang kepalanya dihentak seseorang dengan kuat.

"Aku minta maaf sekiranya dia mengganggu waktu berehat kau," ucap Turak.

"Tak apa." balas Gogel selamba.

"Bukan kau!" jerkah Turak lalu memandang Frouq yang kekal di penjuru khemah.

"Mindanya sedang tertekan. Aku biarkan dia berehat dengan secukupnya sebelum perang esok. Harap kau tidak terkilan Frouq. Gogel, sebelum subuh, aku sendiri akan kejut kau bangun pergi perang. Mona dan Gambit sudah bergabung. Baik kau bersedia." Turak memikul Maliq dan melangkah keluar dari khemah diiringi askar lain.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now