Hutan Laka-Laka, Wilayah Emas.
MAHLUK besar yang menyerupai babi hutan dan berjalan dua kaki, menyeringai di hadapan beberapa manusia yang tenang memandangnya. Keadaan sekeliling gelap. Tertutup dengan cahaya bulan. Namun pandangan mereka tetap jelas terhadap mahluk hodoh yang memecah kesunyian hutan dengan jerkahan nyaringnya.
"Jom kasi tumbang ini gorgon." Seorang lelaki berambut kerinting mencecah bahu mengacu ke hadapan pedang ungu di genggaman kanan.
Gorgon adalah mahluk beast yang dikawal Raja Sirius. Beliau mampu menggunakan pandangan gorgon mengikut kehendaknya untuk memerhati segala aktiviti yang mencurigakan di dalam hutan atau diceruk kawasan yang sukar dimasuki manusia.
"Aku dengan kau, Molot." Lengan Molot ditepuk seorang remaja. Zahirnya kelihatan seperti anak muda yang sentiasa bersemangat.
"Kau jangan susahkan kami pula, Caki," celah dua gadis serentak.
"Bisinglah kau berdua. Nak mengolok sahaja kerjanya." Partikel-partikel berwarna hitam muncul pada telapak tangan Caki. Sekelip mata sebilah keris panjang muncul dan dilibas pada udara.
"Memang kau suka buat hal kan." Gadis berambut hitam yang ditocang dua menjuihkan mulut. Tidak puas hati.
"Samalah dengan kau, Dara. Masa tu siapa yang pengsan lepas nampak pontianak? Cakap yek yek, tapi hampeh." Caki memulangkan semula buah paku keras.
"Kau pun masa tu terkencing," celah seorang gadis berambut ikal yang memegang katana.
"Ayu, Ayu. Okay apa kencing. Boleh basuh. Pengsan? Nak kena angkatkan-"
"Guuarghhh!"
Dalam mereka bertekak, gorgon menjerkah dengan kuat. Mengejutkan mereka bertiga yang terdongak secara serentak menghadap gorgon.
Molot bingkas mara lalu melibas pedang. Aura ungu gelap melengkung seperti sabit meluru melepasi sasaran sekelip mata. Tubuh gorgon langsung terbelah dua. Lambat-lambat, separuh badannya menggelongsor jatuh diikuti separuh lagi menghempas tanah.
Mereka bertiga hanya terpempan memandang darah membuak keluar serta cebisan organ dalaman beast yang bersepai di atas tanah.
"Dah habis?" soal Ayu dengan riak tidak berpuas hati.
"Dah Ayu. Dah mati pun gorgon tu," ujar Caki. Keris hitam masih lagi berada di genggaman.
"Kau memang teruklah, Molot. Kita orang belum sempat beraksi, kau dah bunuh binatang tu." Dara membungkam. Mulutnya mencebik sambil memeluk tubuh sebagai tanda protes.
"Dah korang nak bergaduh sahaja. Baik aku settle terus. Baru tak ada gangguan korang nak perang mulut." Molot mencangkung bersebelahan gorgon. Leher mahluk itu dikelar sehingga putus.
Mereka bertiga hanya mampu menelan perlian Molot dengan wajah masam. Bulatan magis muncul di bawah beast. Api merah lantas menjulang tinggi membakar bangkai gorgon menjadi debu.
"Guys, biasanya gorgon dalam kawanan kan?"
Ayu mengangguk menjawab soalan Caki.
"Tapi kenapa kita jumpa seekor? Mana kawanan dia yang lain?"
"Dah, jom gerak." Molot melempar karung berisi kepala kepada Caki. Dia seperti dapat menghidu sesuatu yang kurang baik jika mereka berlengah dari meneruskan perjalanan yang terbantut.
MOLOT dan Caki merupakan adik-beradik angkat yang gemar merantau. Mereka berminat mengenali budaya dan cara hidup di tempat orang. Diatas faktor itu, sudah banyak kawasan mereka jelajah demi memuaskan nafsu mengembara mereka.
YOU ARE READING
Tanah Magis Malagemalai (Edit)
FantasyMona, seorang gadis muda yang terpaksa memimpin sepasukan askar pemberontak bernama Revolusi setelah kematian ayahnya. Dia juga telah diamanahkan untuk menjaga Muda, seorang remaja lelaki yang bakal menggegar tanah Malagemalai akan datang. Pelbagai...