"Ayah!"
Muda terjaga dari tidur setelah mengalami mimpi buruk. Jeritannya tadi membuatkan Mona dan Kencana menerobos masuk ke dalam bilik dengan riak yang risau.
"Kenapa, Muda?" Mona melabuhkan punggung di atas katil milik Muda.
"Muda mimpi seorang lelaki kena bunuh. Dia kena tikam," ujar Muda dengan anak mata yang tidak statik. Mona sedikit tersentak, perasaan kurang senang mula menjentik. Ditambah lagi dengan belum pulangnya mereka yang menyelamatkan Gambit dan Hayyat, membuatkan hati Mona semakin gundah.
"Dah, dah. Meh sini akak peluk,"
Muda meletakkan kepala di bahu Mona sambil Mona membelai perlahan rambut remaja itu. Muda berasa tenang dan selamat tatkala berada di dalam pelukan Mona. Untuk sementara dia dapat merasakan kasih yang dicurah oleh Mona kepadanya dan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi.
Seketika mereka berkeadaan begitu, sehinggalah Muda kembali lena di dalam pelukan Mona. Wanita berhati waja itu perlahan-perlahan meletakkan kepala Muda di atas bantal. Dia mengusap ubun Muda sebelum mengucup lembut dahinya.
"Tidur lena ya," bisik Mona sebelum dia dan Kencana berlalu keluar dari bilik.
○○○
"Arghhh!"
Saga yang berada di tingkat bawah, tersentak dan bingkas berlari menuju ke bilik Mawar di tingkat atas setelah terdengar jeritan nyaring dari gadis itu. Dia menolak daun pintu dan menerpa kepada Mawar yang sedang duduk memeluk lutut.
"Mawar, kenapa ni?" soalan Saga tidak dijawab, sebaliknya Mawar terus memeluk datuknya.
Saga menepuk-nepuk perlahan belakang Mawar sambil membelai rambutnya. Setelah seketika, Mawar meleraikan pelukannya dan memandang wajah Saga.
"Tadi, Mawar mimpi seorang lelaki kena tikam dekat perut," ujar Mawar.
"Mawar kenal lelaki tu?"
"Tak, tapi dia berulang kali minta maaf kat Mawar dengan abang,"
"Takpe, mimpi je tu,"
Saga merapi rambut Mawar yang agak serabut. Dia memegang ke dua pipi cucunya. "Mawar jangan fikir bukan-bukan ya. Ni, berani ke tak nak tidur sorang-sorang?" soalnya.
"Hehehe, ini Mawarlah. Mawar berani,"
Saga tersenyum. "Tidur cepat. Atuk teman kat sini," ujarnya sambil membaringkan Mawar dan mengalunkan dodoian sehingga gadis sunti tersebut lena.
○○○
Lian yang berkerudung kelabu mencelah laju di dalam banjiran manusia yang berjalan memasuki karnival yang dianjurkan oleh pihak kerajaan. Karnival yang dinamakan bersempena nama kota, bergemerlapan dengan pelbagai lampu yang merintang di atas. Karnival ini hanya diadakan setahun sekali, dan telah menarik ramai pengunjung dari pelbagai wilayah, telah menambahkan lagi bilangan pengunjung yang datang bagi memeriahkan aktiviti karnival. Dan itu yang diinginkan Lian. Lebih ramai, lagi bagus.
Langkah wanita itu semakin laju sambil mengelak susuk-susuk manusia yang berjalan agak perlahan. Matanya meliar ke beberapa tempat sebelum memandang sisi kanannya. Atau lebih tepat ke arah Qiang yang sedang berdiri memandangnya di atas bumbung. Dia menoleh ke hadapan semula seiring tangannya dinaikkan separas dada.
Qiang melihat isyarat Lian. Wanita itu mengeluarkan tiga jari serentak, menggenggam tangan dan dibuat seperti sedang meneropong dan meletakkan ibu jari di leher. Lian mengerling sekilas kepadanya, dia membuat isyarat 'OK' dan memandang atas.
Kelihatan tiga Askar Maut yang berkawal di tiga tempat berbeza dengan senjata yang mampu melihat dan membunuh dari jarak jauh. Qiang perlu menghapuskan ke tiga-tiga askar itu sebelum mereka dapat mengesan kehadiran dia dan Lian.
Sebelum ini, mereka berdua dan beberapa lagi ahli Organisasi Tawan telah menyamar sebagai Askar Maut untuk mencari pelbagai informasi yang boleh diguna pakai untuk menewaskan Raja Sirius dan orang kuatnya. Tapi, selepas pulangnya Kong dan rombongan dari barat di Kota Shinsin. Tembelang mereka pecah dan menyebabkan beberapa ahli mereka ditangkap dan mungkin telah dibunuh. Nasib baik ketika operasi penangkapan, dia dan Qiang tidak berada di kubu utama. Dan terima kasih juga kepada seorang ahlinya yang berjaya menyelamatkan diri dan memberi amaran tentang operasi pembersihan pengkhianat oleh Askar Maut.
Tujuan mereka ke sini hanya untuk bertemu dengan Lord Kota Shinsin sebelum Lian akan menggerakkan saki baki askar Organisasi Tawan menuju tempat persembunyian yang jauh dari wilayah timur. Ada amanah yang ingin disampaikan oleh Lord kota kepadanya.
Qiang lesap dan muncul di belakang askar yang berkawal. Belum sempat askar tersebut bertindak, tengkuknya sudah patah akibat dipulas Qiang dengan pantas. Senjata yang digunakan askar musuh bertukar pengguna. Kini, Qiang sedang membidik dua lagi musuh. Tak sampai 15 saat, ke dua-dua askar berkawal sudah mati.
"Dah bersih,"
Kedengaran suara Qiang di gegendang telinga Lian. Dia melirik ke atas. Susuk Qiang sudah tidak kelihatan di mana-mana tapak kawalan. Suara-suara peniaga yang menjual makanan dan minuman, dan kedai permainan yang dipenuhi pengunjung menghasilkan keriuhan yang menyesakkan dirinya. Langkahnya semakin laju sehingga tiba di hadapan khemah biru. Kain yang memisahkan ruang luar dan dalam diselak. Lian terus melangkah masuk.
"Kau pasti tak ada yang nampak kau masuk ke sini?" soal seorang lelaki berkerudung hitam yang terdapat tiga lagi susuk berkerudung berdiri di belakang lelaki itu.
"Tak. Aku yakin," jawab Lian.
"Mari ikut aku,"
Lian membuntuti lelaki tersebut sambil diiringi tiga susuk di belakang. Tirai emas diselak lelaki itu, dia mempelawa agar Lian turut memasuki ruangan tersebut. Di luar, nampak sahaja khemah, tapi hiasan di dalam ini seperti berada di ruangan beradu diraja. Mewah dengan katil bersalut emas, set sofa bertatah berlian dan terdapat almari kaca yang agak besar di satu sudut.
"Ha, Lian. Dah lama aku tunggu kau," ujar seorang lelaki tua yang muncul di sebalik tirai. Lelaki tua itu segak dengan suit berwarna hijau tua dan rambut pendeknya.
"Lord," ucap Lian seraya menunduk sedikit. Bibir lelaki tua itu tersenyum.
"Kau boleh keluar, Cheng," ujar Lord.
Lelaki berkerudung hitam menunduk dan lesap di sebalik tirai emas.
"Mari sini,"
Lian menghampiri Lord kota dan duduk di sofa empuk setelah diperlawa oleh Lord.
"Apa yang aku nak bagi selepas ini adalah amanah. Amanah yang perlu disampaikan kepada waris sebenar pemimpin Malagemalai. Hmm, mungkin ini kali terakhir kita bertemu, jadi aku berharap sangat supaya kau dapat menjaga amanah ini dengan seluruh jiwa,"
"Baik Lord,"
Lord bangun dan mengambil sebuah peti kecil di dalam almari lalu dibawa ke sofa yang dihuni Lian.
"Ini. Ini lah amanahnya. Amanah yang diberi sendiri oleh baginda Raja Merah kepada aku. Dan, sekarang kau pula yang akan menjaga amanah ini sebelum diserahkan kepada pemilik asalnya,"
"Siapa, Lord?"
"Waris keturunan diraja,"
"Baiklah,"
Lian bangkit berdiri dan meminta izin untuk beredar. Namun terhenti tatkala namanya dipanggil oleh Lord.
"Nah. Kau ambil ni, mana tahu nanti ianya berguna,"
Pisau belati yang dihulur Lord, disambut dengan hormat. Lian berterima kasih dan berjalan semula ke tirai emas. Namun sekali lagi dia terhenti kerana Lord memanggilnya.
"Ingat. Pasakkan dalam hati, amanah itu bukan hak kau, jangan sesekali mencabulinya dengan membuka peti itu melainkan pemilikinya sendiri," pesan Lord.
Lian mengangguk dan terus lolos keluar dari khemah. Susuk Qiang yang berdiri tidak jauh, dihampiri olehnya.
"Jom. Kita ada banyak benda nak buat," ujar Lian yang terus melepasi Qiang.
"Dan kita ada perang besar yang sedang menanti. Ayuh!"
...
Watak Lord dalam bab ni tak sama dengan watak Lord sebelum ini. Dan gambar di atas adalah Lian dalam bayangan aku.
YOU ARE READING
Tanah Magis Malagemalai (Edit)
FantasyMona, seorang gadis muda yang terpaksa memimpin sepasukan askar pemberontak bernama Revolusi setelah kematian ayahnya. Dia juga telah diamanahkan untuk menjaga Muda, seorang remaja lelaki yang bakal menggegar tanah Malagemalai akan datang. Pelbagai...