Muda ketika itu sedang ralit membaca sebuah jurnal yang membicarakan tentang gerakan-gerakan dan mantera magis. Dia dikejutkan dengan munculnya sebuah bulatan cahaya di udara. Namun, terkejutnya tidak lama kerana dia kenal benar dengan bulatan cahaya itu malah tidak menghiraukan Roar yang menjengah keluar dengan muka Muda sambil tersengih.
Setelah berbasa-basi, Muda kembali fokus kepada bacaannya. Roar pula mati kutu. Dia bosan, sebab itu dia datang ke sini untuk berbual-bual dengan Muda. Tapi, Muda pula sibuk membaca buku.
"Wei Muda, kau nak jumpa adik kau?" tanya Roar yang sedang duduk memandang luar di tingkap bilik.
"Adik? Apa yang kau mengarut ni Roar?" Muda di atas katil menyoal semula dengan riak berkerut.
Roar menoleh. "Kau tunggu je. Nanti adik kau sampai," ujarnya.
"Aku mana ada adik. Aku hidup sebatang kara. Bapak aku dah mati, mak aku pun sama. Yang aku ada cuma kak Mona dengan kawan-kawan aku," tingkah Muda.
"Apa yang kau cakap tu betul. Tapi percayalah yang kau sebenarnya ada adik. Perempuan tau, bukan lelaki,"
Roar bangun dan berjalan menuju katil. Dia baring di sebelah Muda yang sedang bersila.
"Kau nak tipu aku pun beragaklah Roar. Kak Mona tak pernah cerita pasal aku ada adik. Takkan aku nak percaya cakap kau,"
"Ada sebab kenapa takde seorang pun di sini yang tahu kau ada adik melainkan aku, dan beberapa orang di atas sana,"
Riak Muda semakin pelik. "Apa maksud kau dengan beberapa orang di atas sana?" soalnya.
"Mereka antara penyimpan rahsia besar yang sengaja diselindungkan dari kau,"
"Rahsia besar?"
Roar bangkit seraya bersila berhadapan Muda. "Rahsia yang kau akan tahu nanti," jawabnya dengan penuh teka-teki.
"Kau ni berbelit-belitlah. Kejap adik, kejap rahsia. Mana satu betul ni?"
"Dua-dua betul. Cuma masa yang akan menentukan kebenarannya,"
Muda mendengus dan meneruskan pembacaannya. Namun fokusnya kepada buku tersebut semakin hilang. Malah hal tentang adik perempuan dan rahsia besar yang diberitahu Roar sebentar tadi mula merajai pemikirannya. Dia memanggil Roar. Roar yang sudah baring semula menaikkan kepala.
"Betulke apa yang kau cakap tadi?" soal Muda meminta kepastian.
"Iya, Muda. Kau ada seorang adik perempuan dan dia sedang menuju ke sini. Kau jangan ingat aku tipu kau, dekat depan kau sekarang ialah saksi yang telah menyaksikan hampir keseluruhan sejarah Malagemalai yang tertulis dalam buku yang orang buat rujukan," Roar meyakinkan Muda. "Aku dah ada sejak zaman ahli sihir wujud lagi," tambahnya lagi.
Muda terangguk-angguk. Dia semakin percaya dengan kata-kata Roar walaupun tidak sepenuhnya. "Kau rasa adik aku lawa tak?" soalan bodoh terpacul dari mulut Muda.
Dalam posisi berbaring, Roar menjawab. "Dahulu masa aku jadi penjaga ibu kau. Aku selalu menyamar dengan rupa parasnya. Macam aku jadi kau. Masa tu, berduyun lelaki miang cuba mengurat, nak belanja makan lah, ajak kahwin. Sampai askar maut sendiri pun cuba nasib kau tahu. Tapi, aku tak layan sebab ibu kau seorang yang 'mahal'. Jadi, dengan kacukan bapak kau dan ibu kau, kemungkinan besar adik kau cantik," jawab Roar berdasarkan kajian yang pernah dilakukan dahulu.
"Alah, kau tengok je lah muka aku ni. Handsome ke tidak? Kalau kau cakap tak, maksudnya kau kutuk muka kau sendiri. Kahkahkahkah," sambung Roar lagi.
Muda rasa malas nak layan Roar dan malas nak membaca. Dia pun baring di sebelah penjaganya dan cuba melelapkan mata. Tapi tak boleh. Sudahnya dia meminta Roar bercerita tentang maknya. Tanpa fikir panjang, Roar pun bersetuju untuk bercerita. Tapi awal-awal lagi dia sudah ingatkan kepada Muda yang kisah ini sangat panjang dan mampu mengalirkan air mata. Kalau menangis jangan salahkan dia.
YOU ARE READING
Tanah Magis Malagemalai (Edit)
FantasyMona, seorang gadis muda yang terpaksa memimpin sepasukan askar pemberontak bernama Revolusi setelah kematian ayahnya. Dia juga telah diamanahkan untuk menjaga Muda, seorang remaja lelaki yang bakal menggegar tanah Malagemalai akan datang. Pelbagai...