1150 T.P
Kota Gemilang, Kapital DirajaSEBUAH istana berdiri megah menongkah langit di tengah bandar Kota Gemilang – Istana Seri Gelam. Cat merah tua mewarnai dinding konkrit istana yang telah menyimpan seribu satu cerita baik suka atau duka. Sudah berkurun lama ianya menjadi pusat pemerintahan tertinggi kerajaan Malagemalai. Seribu tahun sudah berlalu semenjak ancaman kuasa yang datang dari kegelapan berjaya dikunci Raja Dermawan bersama beberapa pemimpin pulau dunia yang lain. Namun, sekali lagi ancaman datang mencengkam demi melunaskan nafsu dan impian gila seorang manusia. Lantas memporak kehidupan isinya yang selama ini aman.
Hari ini, sudah lapan belas tahun berlalu semenjak tampuk pemerintahan Malagemalai bertukar tangan. Pelbagai cubaan untuk mengguling Raja Sirius sejak dahulu tidak menggoyahkan baginda walaupun sedikit. Setiap serbuan, serangan, menemui kegagalan. Mereka (pemberontak) tewas pada tangan kesatria-kesatria kegelapan yang menjadi benteng paling kebal Raja Sirius. Namun, pemberontak-pemberontak itu semua tidak kenal erti mengalah dalam kamus hidup mereka. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itu mereka tetap berjuang. 'Biar putih tulang, jangan putih mata' itulah prinsip mereka.
Raja Sirius duduk megah di singgahsana kristal hitam yang memanjang ke atas dan runcing pada hujung. Anak mata baginda mencerlung tepat kepada jeneral tertinggi yang melutut satu kaki di hadapan singgahsana.
"Kerajaan Indesa dari tanah seberang laut berhajat menghadap tuanku. Mereka berhajat membantu tuanku dalam menguasai seluruh kejiranan." Bergema suara parau lelaki tegap dengan perisai besi dan berambut putih diikat satu di dalam ruang luas berlantai mozek hijau zamrud.
"Bagus, lagi?" soal Raja Sirius.
"Ampun tuanku. Gambit, pemimpin pemberontak Gerakan Guling telah lepas dari kurungan Diyabakir." Lelaki tegap tersebut menunduk. Gerun menghadap pandangan bengis yang penuh dengan kegelapan. Atau kemarahan si raja yang sukar diramal.
Satu decitan kedengaran dari sepasang bibir Raja Sirius.
"Beritahu beta kenapa keparat itu boleh terlepas, Valdire." Suara Raja Sirius mula bergetar. Wajahnya dibakar api marah yang sengaja dinyalakan pemberontak.
"Dia telah diselamatkan beberapa susuk berkerudung berlambang 'Y' pada belakangnya. Mereka bertindak melarikan Gambit dengan menggunakan pintu dimensi." Valdire menerangkan perkara sebenar.
"Hulubalang buat apa! Itu adalah Diyabakir, kurungan bawah tanah yang tidak mampu ditembusi oleh sesiapa. Tapi, bagaimana bangsat- bangsat itu boleh melepasi benteng yang sudah dipasang? Arah mereka untuk periksa aktiviti keluar masuk dimensi segera!" Raja Sirius menumbuk sisi singgahsana. Marahnya kian memuncak.
"Ampun tuanku. Pihak hulubalang sudah menjalankan pemeriksaan. Tapi gagal kerena penyusup berjaya menutupi jejak mereka. Sepertinya ada dikalangan mereka yang berkemampuan setaraf Ilmuwan Hatta."
"Bangsat!" tempik Raja Sirius selantangnya sehingga menggusarkan Valdire serta deretan hulubalang di sisi balairung.
Sepi. Setiap mulut individu yang berada di ruangan luas itu terkunci rapat. Baik Valdire mahupun setiap hulubalang sudah tahu, cubaan memujuk atau mengambil hati Raja Sirius yang sedang murka adalah langkah paling salah. Silap hari bulan, nyawa yang melayang.
Satu hembusan nafas kasar terluah daripada Raja Sirius. Seperti sudah tenang, dia memejamkan mata seketika.
"Hmmph.. beta sebenarnya mahu fokuskan pasal memperluaskan jajahan ini," tutur beliau sambil membuka kelopak mata perlahan-lahan.
"Beta malas hendak meluangkan masa dengan membunuh tikus-tikus kecil itu. Valdire, segala hal tentang pemberontak beta serahkan kepada kau untuk selesaikan mereka. Jika perlu, kerahkan seluruh barisan tentera bawahan kau dan buru mereka sampai ditemui. Beta tak mahu mereka berkeliaran bebas di tanah ini," titah Raja Sirius yang mula mengendur marahnya namun tetap berbaur benci.
YOU ARE READING
Tanah Magis Malagemalai (Edit)
FantasyMona, seorang gadis muda yang terpaksa memimpin sepasukan askar pemberontak bernama Revolusi setelah kematian ayahnya. Dia juga telah diamanahkan untuk menjaga Muda, seorang remaja lelaki yang bakal menggegar tanah Malagemalai akan datang. Pelbagai...