bab 14

167 17 4
                                    

Kubu Kelembai

"ESOK adalah hari penentuan. Hari di mana kalian akan berdiri bersama-sama aku menentang pemberontak durjana. Mereka yang kononnya sangat kuat akan kita hancurkan sehingga lumat! Sampai mereka bersujud merayu meminta ehsan daripada kita. Tapi jangan dengar rayuan mereka! Mereka adalah penderhaka! dan penderhaka hukumannya adalah bunuh!" Andrew menjulang tinggi pedangnya.

Serentak itu, bergema suara Askar Maut menyahut dengan laungan yang bergema hampir satu kilometer. Ianya kedengaran seperti bunyi badai yang bakal menyapu bersih segala halangan di hadapan.

Andrew di atas pentas ketawa megah. Puas, hatinya puas dengan armada yang berada di hadapan. Askar yang diyakini bahawa paling kuat setelah melalui pelbagai jenis rejim latihan keras. Esok pasti menjadi hari bersejarah untuk kariernya. Dia yakin esok adalah hari kemenangan buatnya.

Kem Pertahanan Guling

MONA berdiri memeluk tubuh. Wajahnya tegang memandang Muda melompat dan berpusing melancar serangan magis. Pedang besar yang mengenai serangannya tidak berkutik sedikit pun. Malah terus meluru laju kepadanya. Muda sempat mengelak, tapi tidak untuk beberapa pedang. Dahi berkerut menahan bisa dihiris sebelum jatuh melutut satu kaki. Bahunya naik turun laju.

"Kau lambat, Muda! Kau fikir dalam perang sebenar ada masa untuk berehat? Sedikit kau leka walaupun sesaat, musuh pasti akan berjaya menumbangkan kau. Jadi, bangun kalau tak mahu mati senang!" jerkah Mona lantang. Dia memang tegas bila bab-bab begini.

Muda memejamkan mata. Jerkahan Mona diambil sebagai kata semangat. Perlahan-lahan sepasang kaki ditolak agar bangkit berdiri. Menghadap pedang besar dan beberapa pedang yang terapung. Tanpa membazir walau sesaat, Muda meluru laju sambil melepaskan serangan api daripada penumbuk kanan.

Latihan kali ini agak berbeza kerana pedang-pedang yang diaktifkan Mona boleh bergerak sendiri. Mampu menyerang balas seperti ada tangan halimunan yang mengawalnya. Ianya agak sukar buat Muda untuk menewaskan pedang-pedang tersebut, terutamanya sebilah pedang besar. Pedang yang mampu memberi tentangan hebat seperti dimainkan oleh pakar.

Sedaya upaya Muda menahan asakan pedang-pedang magis dengan kekuatan magisnya. Namun, semakin lama asakan tersebut semakin menggila seolah-seolah ingin benar membunuhnya. Baru sahaja menahan libasan pedang dari hadapan, dua pedang serentak menyerang dari kedua sisi. Serentak sebilah lagi menjunam laju dari atas.

Tiada pilihan selain berundur, Muda bingkas melompat jauh ke belakang. Dengan magis sahaja dia tak mampu menumbangkan pedang-pedang itu. Muda memunculkan pedang pusaka. Lalu, memecut dengan kelajuan penuh bersama percikan kilat pada tubuhnya.

GAMBIT dan Mona beriringan dari kawasan rumah sakit sambil tersenyum sesama mereka. Walaupun Muda berjaya menyempurnakan latihan, tapi kecederaan yang diterima agak teruk. Sehingga memaksa untuk menerima rawatan lanjut. Dari rumah sakit, mereka berdua terus beriringan menghampiri padang latihan. Di mana, Jakal dan Molot sedang berbalas serangan sehingga menguasai seluruh kawasan padang,

"Come on Jakal. Aku tahu kau boleh buat lebih dari ni," ujar Molot sambil menepuk tangan bagi memberi semangat.

Jakal pula sudah membongkok dengan kedua telapak tangan di lutut. Nafasnya tercungap-cungap memandang Molot yang kelihatan bertenaga.

"Siot kau Molot! Masa tu lembik gila," jerkahnya sambil menegakkan badan.

"Masa tu aku tengah tiada cahaya. Sekarang- ah cepat Jakal! Kau sendiri yang cakap nak jadi kuat. Kita bukan orang jahat nak guna kuasa kegelapan, jadi usaha dan latihan ialah jawapannya." Dengan dua jarinya, Molot mengisyaratkan Jakal supaya mara.

Tanah Magis Malagemalai (Edit)Where stories live. Discover now