BAB 1

13.9K 218 5
                                    

ADAM mencapai kain tuala yang tersangkut di penyangkut baju. Tuala warna hitam itu dililit pada pinggang sebelum pakaian kotornya dicampak ke dalam bakul dan kakinya dibawa melangkah ke arah bilik air.

Pili air pancut dibuka dan air membasahi seluruh tubuhnya. Adam meraup rambutnya ke belakang kepala sambil mata dipejam rapat. Memori siang tadi menyapa benaknya.

"Adam, I am so sorry. I tak dapat nak teruskan hubungan kita ni."

Tangannya yang sedang menyuap nasi terhenti. Matanya merenung lama wajah Rafika yang kelihatan serba salah dan tidak senang duduk.

"Apa maksud you, Fika?"

Gadis itu menunduk lama sebelum matanya membalas pandangan Adam. Air liur ditelan kesat.

"I minta maaf. I tak boleh nak teruskan hubungan kita ni. I tahu you seorang lelaki yang baik. Cuma... I rasa hubungan kita ni tak akan pergi jauh."

"Kenapa you cakap macam tu? I ada buat salah ke?"

Adam menegakkan badan. Selera makannya mati selepas mendengar topik perbualan yang dibuka Rafika ini.

"No! You tak ada buat salah apa pun. I yang tak dapat nak teruskan. I rasa kita memang tak ada jodoh. I tak nak menipu diri sendiri."

Adam mengeluh kecil. Tangannya dibawa ke mulut sebelum dia ketawa kecil. Entah kenapa perkara ini menggeletek tangkai hatinya. Rafika mengerut dahi melihat reaksi yang ditunjukkan Adam.

"Kenapa you ketawa?" soalnya pelik.

"I memang tak bernasib baik dalam hal percintaan," komennya ringkas.

Rafika terdiam. Dahinya mengukir kerutan mendengar bicara lelaki itu.

"Cinta pertama I gagal sebab I suka kepada calon isteri kawan baik I sendiri. Dan sekarang kisah cinta kita pula yang kecundang di tengah jalan."

"I minta maaf, Adam."

Adam tersenyum sumbing lalu bangun dari duduknya. Hatinya terluka buat kali kedua. Tapi kali ini dia seolah-olah sudah lebih bersedia menghadapi keadaan yang baru berlaku ini. Inilah yang dikatakan pengalaman mendewasakan seseorang.

Air terasa masuk ke dalam matanya. Cepat-cepat Adam menutup pili air. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Bayangan perbualan bersama Rafika siang tadi dibuang jauh dari kotak fikiran. Dia perlu teruskan hidup seperti dia sebelumnya. Putus cinta bukan bermakna segalanya sudah gagal. Dia masih punya hidup, kawan-kawan dan kerjanya.

"Allah dah tunjukkan yang wanita itu bukan wanita yang tepat. Lebih baik putus sekarang daripada putus bila hubungan ni dah semakin jauh."

Adam sedapkan hati sendiri. Dia tersenyum sumbing dan melangkah keluar dari kamar mandi.

Usai solat isyak, Adam mencapai telefon bimbitnya. Nama Izzad Daniel dicari dan butang call ditekan. Beberapa saat menunggu sebelum panggilan itu dijawab.

"Sorry ganggu kau," ujar Adam selepas mereka bertukar salam. Kedengaran tawa Izzad Daniel di sebelah sana.

"Kau dah kenapa? Sopan pula malam ni," selar Izzad Daniel selamba. Adam senyum.

"Kau free tak? Aku nak ajak lepak dekat mamak." Sempat Adam menjeling jam yang tergantung di dinding bilik. Sudah pukul 9.00 malam.

"Sure. Aku pun tak ada buat apa sekarang."

"Okey, set! Jumpa tempat biasa."

"Okey."

Perbualan dimatikan. Adam terus bangkit dan menyalin kain pelikat yang dipakainya. Dia menyarungkan seluar track hitam dan T-shirt lengan pendek warna putih. Kunci kereta dan dompet dicapai sebelum melangkah keluar. Dia mahu pekena secawan teh tarik bagi menenangkan fikiran yang agak serabut hari ini.

HATI YANG TERSAKITIWhere stories live. Discover now