BAB 6

4.7K 101 1
                                    

"ENCIK ni main-main pula, kan?" getusnya geram. Farhaini berpeluk tubuh apabila Adam masih ketawa di sebelahnya.

"Apa pula main-main? Saya serius ni. Kita on the way ke rumah saya." Apabila tawanya reda barulah Adam bersuara.

"Nak buat apa pergi rumah Encik Adam? Encik Adam jangan nak macam-macam. Saya ada black belt tae kwan do."

Sekali lagi lelaki itu ketawa kuat.

"Saya ada silat gayung. Bengkung hijau," jawab Adam selamba.

Farhaini memandang wajah lelaki itu dengan rasa tidak percaya. Menjawab!

"Saya bagi amaran awal-awal. Kalau Encik Adam nak buat benda jahat dekat saya, saya tendang tut tut Encik Adam." Kali ini Farhaini bersuara keras.

Adam terus menoleh ke sebelah kiri dengan mata membulat. Terkejut mendengar amaran dari mulut gadis genit di sebelahnya ini. Beberapa saat kemudian dia ketawa lagi. Rasa kelakar bila Farhaini cakap begitu.

"Saya serius ni." Farhaini memberi amaran lagi.

"Yalah... Yalah..." Adam mengangguk. Jarinya menekan signal untuk membelok ke kanan.

Farhaini mengerling ke arah kawasan kondominium yang dimasuki mereka. Bangunan tinggi ini kelihatan cantik pada pandangan Farhaini. Dia hanya diam sewaktu Adam memarkir kereta di bahagian atas.

"Don't worry. Saya bukan nak buat apa-apa pun. Awak ingat awak sorang aje ke yang basah? Tengok baju saya ni. Takkan saya nak masuk kerja dengan baju basah macam ni?"

Adam menjelaskan saat enjin kereta sudah dimatikan. Dia tahu kerisauan gadis itu. Dia nampak yang Farhaini agak takut dan gelisah dari tadi.

"Betul?"

"Ya. Saya ni nampak macam orang jahat ke?" soal Adam sekadar nak menghiburkan. Lambat-lambat Farhaini senyum.

"Adalah sikit," jawabnya bergurau. Mereka sama-sama ketawa.

"Jom. Pukul 2.30 nanti saya nak kena masuk pejabat semula."

Farhaini mengikut Adam dari belakang. Mereka berdua tidak banyak bercakap sepanjang berada dalam lif. Adam membuka pintu rumahnya dan dia menjemput Farhaini masuk.

"Lawa rumah," komen Farhaini tanpa sedar. Cepat-cepat dia menutup mulut apabila perasankan lirikan mata lelaki itu.

"Rumah orang bujang." Adam senyum.

Lelaki itu menghilang masuk ke dalam sebuah bilik. Farhaini masih kaku berdiri di ruang tamu. Tak tahu nak duduk atau berdiri saja. Tingkahnya terasa kekok.

"Tuala untuk awak."

Adam muncul dan menyerahkan sehelai kain tuala, T-shirt lengan panjang dan seluar panjang warna hitam. Farhaini mengambilnya sambil memandang wajah Adam.

"Ni baju dan seluar baru. Saya tak pernah pakai lagi."

"Hmmm... Terima kasih, Encik Adam."

"Pergilah bersihkan diri dan tukar baju. Nanti demam pula. Awak boleh guna bilik yang itu. Bilik air yang sebelah kiri ni." Adam tunjuk ke arah yang dimaksudkan.

Farhaini mengangguk dan berjalan ke arah bilik yang ditunjuk lelaki itu. Adam juga masuk ke biliknya semula. Farhaini membersihkan diri dan menyalin pakaian.

"Baik juga Encik Adam ni." Farhaini duduk di birai katil sambil mengelap rambutnya. Baju kurung yang dipakai tadi disangkut pada penyangkut baju. Harap kering bila dia mahu pulang nanti.

Dia menilik diri sendiri. Baju lengan panjang dan seluar lelaki itu agak besar untuk dirinya. Dia ketawa kecil. Pelik memikirkan apa yang baru berlaku hari ini. Dia pergi temu duga kerja, rasa kecewa sebab harapan nak dapat kerja itu tipis, motornya rosak dan hujan lebat.

HATI YANG TERSAKITIWhere stories live. Discover now