BAB 4

5.4K 114 1
                                    

SUASANA hening. Adam lebih senang mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Cik Haiza berdeham sambil jarinya dipintal pada hujung baju. Dia menoleh ke arah Adam yang sedang kusyuk memandu.

"Awak marah ke?"

Adam mengerling sekilas sebelum kembali memandang ke arah jalan raya.

"Taklah. Saya cuma terkejut dengan keputusan mendadak yang awak buat dalam majlis tadi."

Cik Haiza ketawa.

"Saya serius dengan apa yang saya cakap tadi. Kalau boleh, mulai saat ini hubungan kita boleh jadi lebih daripada seorang jiran."

Adam tidak memberi apa-apa reaksi.

"Semua kawan-kawan saya ingat awak boyfriend saya," sambung Cik Haiza teruja.

"Jadi, awak jawab apa?" Sengaja Adam menduga.

"Sebenarnya saya tak menyangkal perkara tu. Kawan-kawan saya semua dah bertunang dan ada juga yang dah kahwin. Malulah kalau saya cakap yang saya masih bujang." Berhati-hati Cik Haiza menutur ayat. Takut juga kalau Adam marah dengan perkara itu.

"Saya minta maaf." Gadis itu memusingkan badan ke arah Adam.

"Saya nak marah pun dah tak ada gunanya. Benda dah berlaku. Lagipun lepas ni saya tak akan jumpa kawan-kawan awak lagi."

Jawapan Adam membuatkan Cik Haiza terdiam. Dia membetulkan duduk dengan perasaan yang agak kecewa. Bukan itu yang dia mahu dengar dari mulut Adam.

"Terima kasih sebab awak dah temankan saya hari ni."

Cik Haiza terus keluar dari kereta sebaik mereka tiba di tempat parkir. Adam tersenyum pendek.

"Sama-sama."

"Saya serius dengan apa yang saya cakap tadi. Saya nak jadi lebih daripada seorang jiran. Saya harap awak pertimbangkan apa yang saya cakap ni."

Dan gadis itu beredar masuk ke dalam lif meninggalkan Adam yang terpinga-pinga. Selang beberapa minit dia mengeluh kasar.

"Adam... Adam... Bila dah ada orang nak, kau pula yang jual mahal. Apa kes ni?" Dia bercakap sendiri.

Adam mengambil keputusan tidak mahu pulang ke rumahnya. Dia kembali ke kereta dan berlalu pergi. Destinasinya adalah ke rumah Izzad Daniel. Sudah lama dia tidak bertemu Nek Wan. Saat begini, nasihat wanita itu amat-amat diperlukan.

FARHAINI menghempas badannya ke atas katil. Lengan sebelah kanan direhatkan di atas dahi. Dia mengeluh kecil. Sakit hati dan geram meluap-luap dalam dada.

"Argh!" Dia merengus sambil duduk bersila. Tangannya mencapai telefon bimbit yang dari tadi berbunyi.

+ Memang dari dulu suka ambil hak orang, ya?

Itu WhatsApp pertama yang dia terima setengah jam yang lalu. Walaupun mesej itu dari nombor yang tidak dikenali, tapi dari ayat yang dihantar dia sudah cukup kenal siapa gerangannya.

+ Tak habis-habis dengan perangai kaki perampas!

Itu mesej kedua yang masuk tadi. Farhaini mengambil sikap tunggu dan lihat. Dia malas mahu membalas mesej kebudak-budakan yang dihantar ini.

+ Dulu dan sekarang sama aje. Perampas! Perampas!

Farhaini mengetap bibir.

+ Shame on you! Dulu masa sekolah awak rampas boyfriend saya. Now, nak rampas lagi? Mak ayah awak mesti malu ada anak macam awak ni.

Ini mesej terbaru yang masuk ke telefon bimbitnya. Kali ini Farhaini tidak dapat menahan diri. Laju saja tangannya menaip.

- Jangan nak libatkan nama mak ayah saya pula.

Dia menekan butang Send dengan perasaan geram.

- Saya bukan perampas. Dan pembetulan sikit. Saya tak rampas boyfriend Kak Haiza masa sekolah dulu. Dia yang datang kacau saya.

Tanpa menunggu balasan daripada pihak sana, Farhaini terus menghantar mesej. Dia perlu menjelaskan perkara sebenar.

- Dari sekolah lagi saya dah jelaskan benda ni. Boyfriend Kak Haiza yang start kacau saya. Saya tak pernah layan sekalipun.

- Sekarang pun saya tak ada niat langsung nak rampas ke apa. Kalau Kak Haiza marah sebab saya bercakap dengan kawan akak di majlis tadi, I'm sorry.

Puas hatinya dapat menghantar penjelasan yang terbaik. Ya, dia tahu si penghantar mesej ini ialah Cik Haiza. Hanya gadis itu yang bermusuhan dengannya sejak zaman sekolah lagi. Farhaini lihat tanda biru sudah kelihatan di mesej yang dihantarnya tadi. Tapi satu pun tidak dibalas. Farhaini menutup telefon bimbitnya. Habis cerita!

Lantaklah sama ada Cik Haiza mahu mempercayai kata-katanya atau tidak. Sejak dari sekolah lagi dia sudah menjelaskan bahawa dia tidak ada apa-apa hubungan dengan teman lelaki gadis itu.

Kejadian berlaku ketika dia masih belajar di tingkatan tiga dan Cik Haiza di tingkatan lima bersama teman lelakinya. Dan entah macam mana tersebar khabar angin yang dia merampas Abang Qayyum, teman lelaki Cik Haiza ketika itu. Kerana salah faham, Cik Haiza melancarkan perang dingin ke atasnya sehingga sekarang.

"Macam budak-budak. Hal macam tu pun nak ajak bergaduh. Tak faham betul," gumam Farhaini.

Manusia memang pelbagai ragam. Kerana perkara kecil pun boleh bergaduh. Dan kadangkala tanpa sebab musabab pun boleh mencetuskan pergaduhan. Kerana apa? Kerana hati dan perangai manusia adalah perkara yang paling sukar dikawal.

TENANG hatinya apabila berhadapan dengan Mek Yah. Adam bersandar santai di atas sofa ruang tamu kediaman Izzad Daniel. Rumah ini ibarat rumah keduanya. Tempat yang paling aman dan selesa kerana di sini adanya keluarga. Walaupun bukan keluarga kandung, Adam tetap merasa bahagia.

"Kau dari mana? Bukan main smart lagi." Izzad Daniel duduk di sisinya.

"Aku ada hal tadi. Itu yang balik terus singgah sini. Rindu nak jumpa Nek Wan."

Mek Yah menggosok lengan Adam apabila mendengar jawapan cucu angkatnya itu.

"Nek Wan pun rindu nak jupo (jumpa) kamu. Seminggu sekali aje kamu mari tunjuk muka dekat sini. Datelah (datanglah) selalu," ujar Mek Yah dengan loghat Kelantannya.

"Sekarang sibuk sikit, Nek Wan. Saya tengah uruskan projek kafe saya tu." Adam senyum.

"Ada apa-apa yang boleh aku bantu ke?" soal Izzad Daniel. Adam menggeleng kecil.

"Insya-Allah, semuanya masih dalam kawalan sekarang. Nanti kalau dah siap kau boleh bawa Baby kau main dekat sana." Teruja Adam mengajak Izzad Daniel dan kucing kesayangannya yang bernama Baby itu.

"Of course. Nanti masa majlis pembukaan aku bawa satu family pergi kafe kau tu."

Adam senyum kecil. Dia memandang ke arah Nurul Izyanie yang sedang menyiapkan makanan di meja makan. Tanpa sedar bibirnya tersenyum senget. Cemburu? Mungkin juga. Tapi cemburunya bukan ada niat jahat.

Dia gembira untuk Izzad Daniel dan Nurul Izyanie. Cuma dia cemburu kerana dia tidak bertemu lagi dengan jodohnya. Dia juga mahu merasai perasaan dilayani oleh seorang isteri.

"Nek Wan tak sabar nak jupo (jumpa) bakal isteri kamu." Tiba-tiba pahanya ditepuk membuatkan pandangan Adam terus beralih ke arah Mek Yah.

"Saya lambat lagi, Nek Wan. Calonnya pun belum ada lagi."

"Mungkin kamu yang tak nampak. Ataupun jodoh tu belum muncul lagi. Kalau dah muncul nanti cepat-cepat grab tau. Jange (jangan) lepas." Mek Yah senyum penuh makna. Adam mengerut dahi.

"Macam mana nak tahu yang dia tu jodoh kita?"

"Tanya sini." Mek Yah meletakkan tangan di dada sendiri. Ditepuk beberapa kali.

"Jangan risaulah. Bila betul dia dah muncul kamu sendiri akan rasa," sambung Mek Yah.

Adam diam. Tangan naik memegang dada sendiri. Harapannya semoga tidak lama lagi rasa itu muncul di sini. 

HATI YANG TERSAKITIWhere stories live. Discover now