FARHAINI melompat gembira. Hampir dia menjerit kerana terlalu suka. E-mel panggilan temu duga yang baru diterimanya membuatkan harapannya semakin cerah. Dia perlu mencari kerja dan mencari duit sendiri. Selepas itu barulah dia boleh keluar untuk menyewa rumah di luar.
Sejak dari perbualan tempoh hari, Abang Idham dan Kak Ami tidak lagi membangkitkan isu itu. Tapi Farhaini tahu yang Kak Ami masih mengharapkan yang dia faham keadaan mereka.
"Yes! Harap sangat aku dapat kerja ni." Farhaini duduk bersila di atas katil.
Tangannya laju menekan ikon Google Chrome. Dia menaip nama syarikat yang memanggilnya untuk temu duga itu. Mencari tahu serba sedikit mengenai latar belakang syarikat yang dipohon adalah salah satu cara untuk seseorang itu bersedia.
"Izzad Daniel bin Izhar Yong." Perlahan dia membaca maklumat organisasi syarikat berkenaan.
"Muda lagi CEO syarikat ni. Kacak pula tu." Farhaini tersenyum sendiri. Dia mencari tahu lagi segala maklumat tambahan yang ada. Dia perlu bersedia untuk buat yang terbaik.
Farhaini bangun dan almari pakaian dibuka. Dia menyelongkar beberapa pasang baju kurung yang sedang tergantung kemas. Satu per satu diambil dan digayakan di tubuhnya.
"Warna merah ni macam terang sangat," komennya ringkas. Dia mencapai lagi baju kurung yang lain. Lama matanya memerhati diri dalam biasan cermin panjang.
"Yang ni cantik. Cun." Dia senyum. Puas hati dengan baju kurung warna coklat cair berbunga kecil itu.
"Anny? Dah tidur ke?"
Pintu biliknya tiba-tiba diketuk. Farhaini berpaling ke arah pintu. Itu suara Abang Idham.
"Ada apa?" soalnya sebaik saja pintu dikuak lebar. Abang Idham sedang tersenyum manis memandangnya.
"Temu duga Anny tu esok, kan?"
"Hmmm..."
"Abang gembira untuk Anny."
Abang Idham mahu menggosok kepala Farhaini tetapi tingkahnya terhenti separuh jalan. Baru teringat yang mereka punya batas. Waktu kecil dulu tak apalah dia sering menggosok kepala Farhaini. Sekarang adik angkatnya itu sudah dewasa.
Farhaini tersenyum kelat. Dia nampak tangan abangnya yang kelihatan kekok. Dalam hatinya tergores dengan keadaan itu kerana dia sedar yang hubungan mereka bukan lagi seperti dulu.
"Kalau dah tak ada apa-apa, Anny masuk dulu. Nak tidur awal." Nada suaranya dingin. Abang Idham mengangguk perlahan.
"Selamat malam. Abang doakan semoga Anny berjaya."
"Okey. Selamat malam."
Farhaini menutup pintu biliknya. Dia berdiri kaku sambil bersandar lemah. Hatinya merintih sedih. Dia terluka dengan sikap abangnya. Dia rindukan hubungan mereka sewaktu kecil. Kini semuanya sudah berubah dan jarak antara mereka sudah terlalu jauh.
"Anny sayang Abang Idham." Akhirnya kata itu terluah jua. Rasa yang sudah bertahun-tahun dia pendamkan.
Sebaik dia mengerti mengenai hubungan mereka dia sudah menyimpan perasaan itu. Mereka bukan adik-beradik kandung, tapi mereka boleh jadi pasangan suami isteri. Itu perkara yang dia impikan dari dulu.
"ABANG nak kahwin!"
Farhaini masih ingat waktu itu. Waktu yang membuatkan jiwanya retak seribu dan seharian dia berendam dengan air mata. Abang Idham tiba-tiba mengatakan yang dia mahu berkahwin dengan gadis pilihan hatinya. Arwah ibu dan ayah pun tidak membantah. Dan tidak lama selepas itu perkahwinan dilangsungkan.
YOU ARE READING
HATI YANG TERSAKITI
Fiksi Umum♤ PESTA BUKU MABOPA 2017 ● 26 JULAI - 30 JULAI 2017 ♡ MAEPS SERDANG, SELANGOR TERBARU AUGUST DI MAEPS ■ HALALKAN HATI YANG KUCURI - MIA KIFF ■ BIDADARI BERMATA JELI - HANA ILHAMI ■ SPLIT - NURUL AIN SYUHADA ■ HATI YANG TERSAKITI - NURI...