BAB 3

5.8K 125 0
                                        

SEPERTI yang telah dijanjikan, esok Adam akan menemani Cik Haiza ke majlis reunion bersama rakan-rakan sekolah gadis itu. Adam menjeling jam di dinding yang sudah menginjak ke angka 11.30 malam.

Pelan lukisan hiasan dalaman untuk kafenya dipandang lama. Ini cita-cita dan impian yang sudah lama dia idamkan. Membuka sebuah kafe yang dapat menarik minat semua golongan terutamanya buat pencinta kucing kerana kafe ini disertakan sekali dengan studio kucing. Adam tersenyum sendiri. Tidak sabar mahu melihat hasilnya nanti.

Ting! Ting!

Telefonnya berbunyi perlahan. Adam mengerling sekilas skrin tanpa membukanya.

"Tak tidur lagi Cik Haiza ni," komennya. Sebenarnya dia malas mahu membuka aplikasi WhatsApp dan membaca mesej yang dihantar gadis itu. Dia tidak mahu memberi harapan yang berlebihan.

Dari lenggok tubuh dan perlakuan gadis itu, dia tahu yang Cik Haiza meminatinya sejak mereka hidup berjiran tiga tahun lalu. Bukan gadis itu tidak cantik tetapi hatinya yang tidak pernah terusik. Dia hanya boleh menganggap gadis itu sebagai kenalannya. Dan kerana itulah dia rasa bersalah sekarang kerana bersetuju mahu menemani gadis itu ke reunion esok hari.

"Aku dah bagi dia harapan ke?" Adam mengetuk jari di atas meja. Masih berkira-kira mahu membalas mesej itu ataupun tidak.

Sekali lagi satu mesej tertera di skrin.

Cik Haiza: Good night, Encik Adam. See you tomorrow. Sweet dreams.

Adam menaip perlahan.

Encik Adam: Good night. See you tomorrow.

Ringkas saja mesej yang dibalasnya. Adam mengemas kertas kerja yang bersepah di atas meja dan melangkah ke katil. Esok dia akan melalui hari yang memenatkan.

MEREKA beriringan masuk ke dalam bangunan hotel. Adam membetulkan tali leher yang sedikit senget. Sebenarnya nak menutup rasa nervous kerana Cik Haiza berjalan anggun di sebelahnya. Sesekali dia mengerling ke sebelah untuk melihat gadis yang memakai baju kebaya warna merah itu. Jalannya nampak yakin dan penuh gaya. Terserlah kecantikan gadis itu.

"Errr... Cik Haiza masuklah dulu. Saya nak ke tandas." Adam menghentikan langkah. Bibir Cik Haiza yang dicalit gincu warna merah cili itu melakar senyum.

"Saya tunggu Encik Adam. Kita masuk dewan sama-sama nanti."

"Eh, tak apa. Cik Haiza masuklah dulu. I'll see you there."

Lambat-lambat Cik Haiza mengangguk dan kembali melangkah ke arah dewan. Adam masih berdiri di situ memerhatikan keadaan sekeliling. Dari jauh dia melihat papan tanda yang menunjukkan arah tandas. Kakinya diangkat perlahan mengikut arah yang ditunjukkan.

"Apa aku buat dekat sini?"

Langkah Adam terhenti. Dia melihat seorang gadis sedang bersandar pada dinding di sebelah tandas wanita dan gadis itu sedang bercakap seorang diri.

"Kenapalah aku setuju nak datang sini? Aish." Gadis itu masih berbicara sendiri.

Nak tak nak Adam terpaksa melalui tempat gadis itu berdiri. Gadis itu sedang menunduk dan kakinya dikuis pada lantai. Tanpa sedar Adam tertawa kecil. Entah macam mana bicara gadis itu sama pula dengan apa yang sedang difikirnya sekarang. Kenapa dia berada di majlis reunion ini? Walhal dia tidak ada kaitan langsung. Lucu!

"Kenapa awak ketawa?"

Tawa Adam mati. Matanya beradu pandang dengan mata si gadis. Nampak jelas kerutan di dahi gadis yang berkaca mata itu. Wait a minute... Adam cuba mengingati di mana dia pernah melihat sepasang mata bundar itu.

HATI YANG TERSAKITITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang