BAB 11

4.2K 90 1
                                    

MEMANDANGKAN malam ini Encik Farouk akan menerima tetamu, Farhaini terpaksa bekerja lebih masa. Awal-awal dia sudah memaklumkan kepada Abang Idham yang dia akan terlewat pulang hari ini. Dalam hati takut juga kerana dia memandu seorang diri di lewat malam.

"Kenapa beg dan buku sekolah kakak bersepah ni?"

Soalan Encik Farouk menarik minat semua yang ada di situ. Irdina yang sedang menonton televisyen sekadar menoleh sekilas. Encik Farouk masih bercekak pinggang di ruang tamu itu.

"I'm talking to you, kakak."

"Kak Farhaini, kenapa tak kemas lagi buku Dina tu?" Irdina menoleh ke arah Farhaini yang sedang tercengang. Tidak faham kenapa namanya disebut dalam perbualan itu.

"Papa nak kakak bangun sekarang dan kemas semua ni. Right now!"

"Biasa maid yang tolong kemaskan. Mama pun suruh maid yang kemas. Kenapa hari ni kakak kena kemas sendiri pula?" Irdina merungut. Puan Gee yang sedang baring di atas sofa mula membetulkan duduk.

"You nak kecoh-kecoh ni kenapa? Farhaini, you kemas beg dan buku-buku ni sekarang." Si puan besar sudah mengeluarkan suara. Farhaini yang sedang bekerja di dapur berlari ke depan.

"Jangan buat apa-apa." Encik Farouk menghentikan pergerakan Farhaini. Puan Gee sudah menjeling marah.

"Irdina, papa nak kakak bangun sekarang. Right now!" tegas suara Encik Farouk. Mendengarkan nada suara papanya itu, Irdina terpaksa bangun juga.

"Buku-buku dan beg ni kepunyaan kakak. Jadi, kakak yang kena kemas sendiri. Kakak yang guna barang ni, kakak yang pergi sekolah. Bukan semua kerja kita boleh arahkan kepada pembantu rumah. Kerja senang macam ni sepatutnya kakak sendiri yang buat." Panjang bebelan Encik Farouk. Irdina menunduk.

"Kenapa mama boleh tapi kakak tak boleh?" Perlahan Irdina menyoal. Semua mata tertumpu ke arahnya.

Farhaini memerhatikan raut wajah Irdina. Jauh di sudut hatinya dia kasihankan Irdina dan Iqbal. Ibu bapa mereka yang menjadikan mereka sebegitu. Mereka terlalu dimanjakan dengan kemewahan sehinggakan terlupa sesuatu perkara yang kecil. Iaitu adab.

"Mama selalu suruh pembantu rumah ambil beg, ambil kasut, ambil baju. Bila balik kerja, mama tinggal aje barang mama dekat ruang tamu. Nanti mama suruhlah pembantu yang kemas. Kenapa mama boleh macam tu?" Polos soalan yang keluar dari bibir Irdina.

Encik Farouk meraup tapak tangan ke wajahnya. Farhaini mengerling Puan Gee yang sudah berubah riak mukanya. Encik Farouk menghampiri Irdina dan kepala anaknya digosok perlahan.

"Adik, mari sini." Encik Farouk memanggil Iqbal pula. Kedua-dua anaknya dipeluk erat.

"Listen to me. Ada perkara dalam hidup ni kita kena buat sendiri. Kalau tidak nanti dah besar kakak dan adik tak akan tahu apa-apa. Memang kerja pembantu rumah untuk membantu kita sekeluarga. Tapi bantuan dia pun ada hadnya. Bukan semua benda kita kena suruh pembantu yang buat." Encik Farouk diam seketika.

"Papa tak mahu kakak dan adik jadi orang yang pemalas. Nak ke jadi orang pemalas? Buat apa-apa pun tak mahu. Asyik suruh orang aje," sambung Encik Farouk.

Irdina dan Iqbal menggeleng.

"Jadi, mulai hari ini papa nak kakak dan adik kemas buku sekolah sendiri. Buku ni penuh ilmu. Ilmu yang kakak dan adik belajar di sekolah. Boleh?"

"Boleh, papa," jawab dua beradik ini serentak. Encik Farouk tersenyum. Dia melepaskan pelukan.

"Good. Ini yang buat papa sayang sangat dekat kakak dan adik."

Farhaini yang melihat adegan itu tersenyum panjang. Dia tahu belum terlambat untuk anak-anak kecil ini belajar. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau tidak bermula dari sekarang, bila lagi?

HATI YANG TERSAKITIWhere stories live. Discover now