BAB 10

4.4K 89 0
                                    

BADANNYA lesu. Habis tulang belakangnya mencucuk-cucuk sakit. Farhaini turun dari motosikal. Tubuh dipusing ke kiri dan kanan sambil melakukan senaman kecil. Lega. Dia mendepangkan tangan untuk menghirup udara segar.

"Lambatnya balik," tegur Abang Idham di muka pintu. Farhaini mematikan segala langkah. Mata mengerling abangnya yang sedang berpeluk tubuh.

"Baru habis kerja," jawabnya perlahan.

"Bahaya tau memandu malam-malam macam ni. Anny tu dahlah perempuan."

Farhaini menutup pagar utama sebelum melangkah masuk. Dia merebahkan tubuh di atas sofa. Abang Idham masih berdiri tegak di ruang tamu itu.

"Dah majikan Anny baru benarkan Anny balik. Takkan nak minta balik awal pula." Sempat dia menjeling jam di dinding yang sudah menunjukkan ke pukul 9.00 malam.

Dia keluar dari rumah Encik Farouk tadi dalam lingkungan pukul 8.00 malam. Usai solat maghrib dan mengemas pinggan mangkuk, barulah dia dibenarkan pulang. Esok jam 6.00 pagi dia mesti berada di sana semula. Untuk menyiapkan sarapan dan menyediakan segala keperluan keluarga majikannya itu.

"Abang nak Anny cuba cari kerja lain juga. Abang tak setuju sebenarnya Anny nak jadi pembantu rumah ni. Itu satu tugas yang sangat memenatkan. Kalau dapat majikan yang cerewet dan tak nak berkompromi, itu lagi memenatkan."

Dalam hatinya bersetuju dengan kata-kata Abang Idham. Farhaini menarik segaris senyuman.

"Kalau Anny dapat peluang kerja yang lebih baik, pasti Anny akan terima. Tapi buat masa ni Anny tak boleh menolak apa yang ada. Anny naik ke bilik dulu. Good night."

"Pergilah berehat."

Abang Idham menghantar Farhaini dengan pandangan berat. Terluka hatinya melihatkan kepenatan yang terpancar di raut wajah si adik. Dia tahu Farhaini macam mana. Dalam hatinya berdoa semoga Farhaini akan mendapat peluang kerja yang lebih baik selepas ini.

TRING! Tring!

Cepat-cepat Farhaini berlari keluar dari bilik air. Telefon bimbitnya yang dari tadi berlagu kuat dicapai. Dahinya berkerut rapat. Macam pernah dilihat nombor yang tertera.

"Assalamualaikum," ujar Farhaini membuka perbualan.

"Waalaikumussalam. Awak tengah buat apa?" soal si pemanggil. Farhaini menggigit bibir apabila derianya mengecam suara lelaki itu.

"Encik Adam?" soalnya geram. Ketawa Adam memenuhi corong telefon.

"Ya, sayalah. Kenapa? Awak tak save nombor saya ke?"

"Memang pun. Kalau saya tahu ni nombor encik, saya tak angkat langsung."

Sekali lagi lelaki itu ketawa.

"Sampainya hati."

"Jangan nak mengada-ada. Encik telefon saya malam-malam ni kenapa?" soal Farhaini.

"Ai, telefon pun salah?"

"Cepatlah cakap encik nak apa?" Terlepas jua rungutannya. Ingatkan ada panggilan kecemasan daripada rumah majikannya. Rupa-rupanya gangguan si mamat psiko ni.

"Saja call sebab saya nak dengar suara awak."

Senafas ayat itu membuatkan Farhaini kelu. Kali ini dia mendiamkan diri. Tak tahu nak memberi jawapan yang bagaimana.

"Nak cakap tu aje ke?" Selamba dia menyoal bagi menutup gelodak rasa yang tiba-tiba muncul ini.

"Kalau saya cakap lebih-lebih nanti ada orang mengamuk pula. Jadi, saya cakap yang ringan-ringan aje dulu."

HATI YANG TERSAKITIWhere stories live. Discover now