BAB 2

7.7K 141 0
                                    

FARHAINI bergerak pantas. Jarinya mengesat tubir mata dan pipi yang sudah dibasahi dengan air mata. Hatinya sakit dan kecewa. Kaki melangkah laju tanpa memandang kiri dan kanan. Dia sendiri tidak tahu ke mana dia mahu pergi. Yang penting dia mahu keluar dari rumah dan mengambil udara segar.

"Sorry." Dia terlanggar seseorang. Farhaini mengangkat muka untuk memandang susuk tubuh di hadapannya. Seorang lelaki sedang tersenyum.

"It's okay."

Farhaini hanya diam sebelum dia mengangguk. Hatinya masih sedih untuk membalas senyuman lelaki yang tidak dikenalinya ini. Dia berpaling dan terus beredar dari situ. Telefon bimbitnya yang berbunyi tidak diendahkan. Farhaini terus melangkah sehingga kakinya berasa penat.

"Ayah... Ibu..." Dia terduduk di tepi jalan. Air mata diseka kasar. Dia tidak kesah melihat mata-mata yang sedang memandangnya dengan penuh kepelikan.

"Anny sedih. Sedih sangat," sambungnya. Entah kepada siapa dia mahu mengadu.

"Errr... Excuse me. Cik tak apa-apa ke?" tegur seorang wanita.

Farhaini menggeleng dan terus bangun lalu beredar dari situ. Dia berjalan pantas menuju ke arah motosikalnya. Sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Abang Idham di skrin.

"Helo."

"Ya Allah... Kenapa baru angkat? Anny pergi mana? Kenapa keluar tak beritahu abang atau Kak Ami?" Bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh pemanggil.

Farhaini menarik nafas sedalam mungkin. Dia berdeham sedikit sebelum menjawab pertanyaan abangnya.

"Anny keluar beli barang. Dah nak balik ni," jawabnya perlahan. Terdengar keluhan lega dari corong sebelah sana.

"Yalah. Hati-hati bawa motor tu..."

Farhaini terus mematikan talian tanpa sempat abangnya menghabiskan bicara. Dia masih sedih mengingatkan perbualan di antara Abang Idham dan Kak Ami ketika di rumah tadi. Terngiang-ngiang perbualan mereka yang membuatkan dia sedih dan berkecil hati.

"Sampai bila Anny nak duduk dengan kita? Dia tu dah besar. Dah grad dah pun." Kak Ami berpeluk tubuh.

Farhaini yang ketika itu mahu turun ke dapur tidak jadi melangkah. Dia berdiri kaku di sebalik dinding berhadapan tangga. Terdengar keluhan dari mulut Abang Idham.

"Dia tanggungjawab abang."

"Anny tu cuma adik angkat abang. Bukan adik kandung," ujar Kak Ami kurang senang.

Farhaini masih diam memasang telinga. Dia tahu tentang kebenaran yang satu itu. Dia bukan adik kandung Abang Idham. Bukan perkara itu yang membuatnya sedih.

"Ekonomi sekarang tak berapa baik. Semua benda dah naik harga. Duit gaji abang nak buat bayar rumah, bayar kereta, belanja anak-anak. Dan tak lama lagi kita akan bertambah ahli keluarga. Lagi banyak tanggungan abang." Kak Ami mengusap perut yang sedikit menonjol.

"Abang tahu. Tapi selama ni kita tak ada masalah pun. Tak ada pula kita tak cukup makan ke apa? Insya-Allah, duit gaji abang cukup untuk tanggung keluarga kita dan Anny."

Farhaini lihat kakak iparnya itu sudah berpeluk tubuh. Bibirnya diketap rapat. Abang Idham pula dilihat cuba menenangkan Kak Ami.

"Isy! Abang ni tak fahamlah. Kalau dulu bolehlah kita tanggung Anny. Sebab masa tu dia masih belajar. Sekarang ni dia dah grad. Sepatutnya dia dah pergi cari kerja, cari duit sendiri. Bukan masih nak mengharapkan duit gaji abang. Duit simpanan arwah ayah dan ibu abang pun dah habis untuk tanggung belajar dia dulu."

Kali ini bebelan Kak Ami semakin panjang. Farhaini merasakan hatinya pedih. Dia memegang dada.

"Belum rezeki dia nak dapat kerja. Awak juga yang cakap ekonomi sekarang tak berapa baik. Orang buang pekerja lagi adalah."

HATI YANG TERSAKITIWhere stories live. Discover now