FARHAINI mengelap tangan dengan kain yang tersangkut di kerusi. Lega apabila tugas mencuci pinggan mangkuk sudah selesai. Matanya mengerling ke arah ruang tamu di mana Encik Farouk bersama tetamu-tetamunya sedang duduk berbual.
"Farhaini..." Namanya dipanggil. Tubuh Adam sedang berdiri di pintu dapur sambil tangannya memegang sebiji cawan.
"Kenapa Encik Adam masuk ke dapur? Nak apa-apa ke?" Farhaini buat biasa walaupun dalam hatinya sudah mula berdebar. Dia tahu pandangan Adam bukan pandangan biasa. Ada perkara yang lelaki itu mahu ucapkan.
"Saya risau tengok awak," ujar lelaki itu serius.
Farhaini ketawa kecil. Tidak habis lagi dengan isu di luar tadi.
"Saya yang pilih kerja ni. Encik tak payah risau."
"Berapa gaji awak?" Tiba-tiba lelaki itu menyoal. Adam berdiri hampir dengannya. Sempat Farhaini memandang ke luar dapur takut-takut Puan Gee memerhatikan tingkah Adam ini.
"Adalah. Kenapa encik tanya?"
"Saya akan bayar jumlah yang sama kalau awak kerja dengan saya."
Farhaini terlopong. Terkejut mendengar tawaran yang diberikan. Dia berpeluk tubuh sambil memerhatikan raut wajah Adam. Serius. Tiada langsung tanda-tanda yang lelaki itu sedang bergurau.
"Encik ni..." Farhaini menggeleng. Dia menghulurkan tangan kepada Adam untuk menyambut cawan kosong di tangan lelaki itu.
"I'm talking to you right now. Tak payah nak buat-buat kerja ni semua." Adam bersuara. Cawan diletakkan di atas meja di hadapan mereka. Farhaini mengeluh.
"Encik Adam. Janganlah nak buat drama pula dekat sini. Saya serius dengan kerja yang saya buat sekarang."
"Saya pun serius bila saya cakap yang saya nak awak bekerja dengan saya. Dari awak jadi orang gaji dekat sini, baik awak jadi orang gaji saya. Tak kena marah, tak kena angkat benda-benda berat. Pilihan sentiasa ada kalau awak pandai mencarinya, Farhaini."
Farhaini mengerut dahi.
"Saya jadi orang gaji encik? Tak naklah."
"Kenapa pula tak nak? Tadi cakap yang awak perlukan sangat kerja ni. Senang-senang awak jadi orang gaji dekat rumah saya. Tak banyak kerja." Adam masih berkeras mengusulkan cadangan ini.
"Janganlah macam ni, encik. Saya nak cari rezeki dekat sini. Mana boleh encik nak rosakkan periuk nasi saya."
"Awak ni!" Kali ini Adam pula yang mencekak pinggang.
"Apa bezanya kalau awak jadi orang gaji dekat sini dengan jadi orang gaji di rumah saya? Saya bayar gaji yang sama banyak. Tugas awak lagi senang sebab rumah saya tak adalah sebesar rumah ni."
Farhaini berdeham sambil membetulkan kakinya. Tawaran Adam yang tiba-tiba ini membuatkan dia tertarik.
"Boleh saya tahu kenapa encik buat semua ni?"
"Saya risau."
"Kenapa encik nak risau?"
Adam diam. Dia menoleh ke belakang untuk melihat kelibat Izzad Daniel di ruang tamu. Lelaki itu masih rancak berbual dengan Encik Farouk.
"Saya maksudkan apa yang saya cakap hari tu."
"Yang mana satu?" soal Farhaini berani. Dalam hatinya sudah dapat mengagak situasi mana yang dimaksudkan Adam. Tapi hatinya gatal untuk mendengar dari mulut lelaki itu sendiri. Cakap dalam telefon lain perasaannya dengan cakap secara empat mata begini. Dia mahu lihat sendiri reaksi Adam.
"I think I am starting to fall in love with you."
Suara Adam kedengaran sangat dalam dan seakan-akan berbisik. Farhaini mengangkat wajah. Tanpa sedar pandangannya jatuh merenung bibir lelaki itu. Bibir yang baru sahaja mengucapkan ayat seakan-akan dalam filem cinta ini.
YOU ARE READING
HATI YANG TERSAKITI
Fiksi Umum♤ PESTA BUKU MABOPA 2017 ● 26 JULAI - 30 JULAI 2017 ♡ MAEPS SERDANG, SELANGOR TERBARU AUGUST DI MAEPS ■ HALALKAN HATI YANG KUCURI - MIA KIFF ■ BIDADARI BERMATA JELI - HANA ILHAMI ■ SPLIT - NURUL AIN SYUHADA ■ HATI YANG TERSAKITI - NURI...