BAB 7

4.5K 100 0
                                        

SEJAK pulang ke rumah, Farhaini hanya duduk di dalam bilik. Habis duit belanjanya untuk bulan ini kerana membayar duit teksi tadi. Dia merehatkan lengan di atas kepala. Mata dipejam rapat sambil fikirannya melayang memikirkan masa depan.

"Dekat mana lagi aku nak cari kerja? Ada ke orang nak ambil aku yang tak ada pengalaman bekerja ni? Semua kerja yang berkenaan bidang aku, requirement dia nak orang yang dah pengalaman bekerja dua atau tiga tahun," keluh Farhaini berat.

Masa inilah dia rasa menyesal. Kalau dulu waktu belajar dia banyak buat kerja part-time, pasti resumenya sekarang mempunyai senarai panjang di bahagian working experience. Rakan-rakan seangkatan dengannya juga masih ramai yang menjadi penganggur. Bukan mudah mahu mencari pekerjaan pada zaman ekonomi tidak berapa baik ini.

"Anny..." Suara Kak Ami menyapa gegendang telinga.

Farhaini membuka mata. Dia menghembuskan nafas perlahan.

"Ada apa, kak?" soalnya malas apabila pintu bilik dibuka.

"Anny balik naik apa? Akak tak nampak pun motor dekat bawah." Kak Ami menyoal risau. Dia baru pulang dari membawa anak-anaknya berjalan di pusat membeli-belah.

"Naik teksi. Motor rosak dekat depan syarikat yang Anny pergi temu duga tu."

"Laaa... Kenapa tak telefon akak ataupun Abang Idham? Membazir aje naik teksi. Bukannya dekat jarak nak balik sini."

Farhaini hanya diam mendengar bebelan kakak iparnya. Dia tahu perkara itu. Malahan duit poketnya memang sudah habis terus kerana membayar duit teksi tadi.

"Anny ada telefon Abang Idham tapi dia tak angkat," jawabnya perlahan. Kak Ami mengangguk.

"Tak apalah. Benda dah jadi. Macam mana temu duga tadi? Dapat tak?"

Nampak yang Kak Ami masih mahu berbual dengannya. Farhaini cuba mengelak topik yang satu ini tetapi nampaknya tidak berjaya. Dia hanya tersenyum kelat.

"Tak tahulah, kak. Rasa macam tak dapat."

Kak Ami mengangguk kecil. Wanita yang sedang berbadan dua itu hanya memandang Farhaini dengan pandangan redup.

"Bos kawan akak tengah cari pembantu rumah. Pembantu rumah lama dia dah habis kontrak. Kalau Anny nak cuba, Anny boleh beritahu akak."

Farhaini beradu pandangan dengan Kak Ami. Reaksinya kosong sekosong hatinya. Pelawaan kakak iparnya itu ibarat angin lalu. Pembantu rumah? Hanya itu yang masuk ke kotak mindanya.

"Anny fikirlah dulu. Nanti beritahu akak macam mana." Kak Ami menepuk lengannya menyedarkan Farhaini daripada lamunan kosongnya. Lambat-lambat dia mengangguk.

Belakang tubuh Kak Ami yang sudah beredar dipandang lama. Farhaini meraup tapak tangan ke muka. Dia kembali ke dalam bilik dengan fikiran yang sarat dengan tanda tanya. Pembantu rumah? Patutkah dia terima? Matanya terpandangkan deretan novel di rak buku.

"Kalau dalam novel atau drama, jadi pembantu rumah tak adalah teruk sangat. Tak salah pun kalau aku cuba." Dia menggigit jari sambil merenung judul-judul novel yang tersusun rapi. Dia mengangguk. Kerja apa-apa pun tak salah janji halal. Itu yang bermain dalam fikirannya sekarang.

Mungkin bukan rezekinya untuk bekerja sebagai pembantu peribadi, tapi Allah nak beri rezeki dalam kerja yang lain. Dia tidak punya pilihan untuk memilih kerja. Apa peluang yang muncul itulah yang harus dia capai.

KEESOKAN harinya, Farhaini dan Abang Idham pergi ke ID Holdings untuk mengambil motor yang rosak. Farhaini melipat kemas pakaian Adam yang dipinjamnya semalam.

"Abang Idham boleh pergi pejabat. Tak payah tunggu Anny dekat sini," ujar Farhaini saat mekanik yang dihubungi Abang Idham sampai. Lelaki Cina itu sudah memulakan tugasnya membaiki motor.

HATI YANG TERSAKITITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang