Aku membuang pandang ke luar tingkap. Guru yang baru saja selesai memperkenalkan diriku kepada seluruh isi kelas sudah lesap entah ke mana. Secara tiba-tiba, bahu kananku dicuit. Aku memalingkan tubuh. Seorang perempuan menghulurkan tangannya kepadaku.
Mataku serta-merta meneliti penampilannya. Bertudung labuh, berkaca mata bulat. Wajahnya bersih tak ternodai dek jerawat. Cukup untuk aku simpulkan bahawa dia cantik. Namun, entah mengapa terdapat kesuraman di wajahnya. Segera aku turunkan pandangan ke arah tangannya yang putih melepak itu. Terdapat satu pemadam berwarna hitam yang dia pegang.
Sejak bila barang aku jatuh?
Gadis berkaca mata bulat itu tersenyum kecil. Pemadam itu diletakkan kembali di atas mejaku. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Dia menganggukkan kepala seraya duduk pada tempatnya semula. Jarak meja kami sebenarnya agak dekat. Pun begitu, ada satu laluan kecil yang memisahkannya di tengah-tengah.
"Berlagak baik kau eh?" Tiba-tiba, seseorang menyindir dari belakang.
Dan ketika itulah,
PAP!
Satu buku teks tebal hinggap tepat di atas kepala gadis berkaca mata bulat itu. Kejadian itu membuatkan aku terpana. Langsung tak menjangka hal seperti ini akan terjadi di hari pertama aku berpindah sekolah.
"Haha! Nice one, Tijani."
Aku lantas berpusing ke belakang. Terdapat sekumpulan pelajar yang terdiri daripada beberapa orang lelaki. Mereka duduk di atas meja masing-masing, mengelilingi seorang perempuan yang sedang duduk santai mengunyah gula-gula. Dia tertawa sambil membuat high-5 dengan mereka.
Tidak betah, aku memusingkan tubuh ke depan semula. Aku kerling si dia yang duduk di sebelahku. Bahunya terhinjut-hinjut. Bibirnya dicebik dengan kuat, berusaha menahan air mata daripada mengalir keluar.
Mengapa kau tidak melawan?
Hatiku terus direntap kasar oleh satu perasaan yang kukenali, tetapi telah lama aku tinggalkan.
Semenjak dia telah tiada.
Aku terdengar bunyi kerusi yang berada di belakang diheret setelahnya. Semakin lama, semakin mendekat. Akhirnya, aku melihat perempuan tadi berdiri membawa sebuah kerusi di sisi meja gadis berkaca mata bulat itu. Yang lain hanya memerhati dengan senyap.
Perempuan itu melabuhkan punggung di situ tanpa rasa segan-silu. Pipinya ditopang dengan kedua telapak tangan. Dia menatap wajah gadis berkaca bulat itu tanpa berperasaan.
"Janna, tak nak pandang I ke?" Bibirnya dijuihkan.
Melihatkan tiada respon, wajahnya berubah mendadak. Pandangannya semakin tajam menikam. Dengan angkuh, dia bersandar bersama tangan yang dipelukkan pada tubuh. Kaki kanan diangkat tinggi, lalu...
BAM!
Meja gadis berkaca mata bulat tadi ditendang kuat sehinggakan berlanggar pula dengan mejaku. Alat tulisku jatuh berteraburan di atas lantai.
Kurang ajar!
Spontan aku berdiri. Tangan dihentak pada meja. Mata kujegil tajam.
"Yes?" Perempuan itu melihat aku dengan kepala yang disengetkan. Kakinya kemudian naik ke atas meja lalu disilang, berlapikkan buku teks. Dasar psiko. Benar-benar mencabar waras.
Pada mulanya, aku tidak mahu masuk campur. Namun, melihat kakinya merayap menendang sehinggakan terkena mejaku, di situlah semuanya menjadi barai. Itu bukanlah pemandangan yang aku mahu lihat di hari pertama aku belajar di sini.
Tepat pada waktu itu juga, gadis berkaca mata bulat itu memandangku sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Aku mengetap rahang. Di sebalik lengan baju, tanganku sudah bergegar-gegar mengepal penumbuk.
Akhirnya, bersama dengusan, aku tunduk mengutip barang-barangku yang terjatuh. Ketika sedang memasukkan pen ke dalam bekas pensil, tanganku menjadi semakin galak menggeletar. Dada pula dirasakan semakin laju berdetak. Sekujur tubuh mulai celap dituruni peluh.
Aku... Aku harus keluar sekarang juga.
Tidak menghiraukan barang-barangku lagi, dengan lekas aku berdiri. Mata masih terpaku melihat tangan yang semakin tidak terkawal. Namun, sebelum sempat aku mengangkat kaki,
"Hoi budak baru!"
Aku berhenti. Pandangan lurus ke depan.
"Jangan nak buat benda bodoh." Bunyi gula-gula yang dikunyahnya berdesing di telinga.
Andai sahaja dia masih hidup...
Sudah pasti...
"Kalau tak, tahulah kau apa akibatnya nanti."
Dan mengapa kau tidak melawan?
Sekarang barulah aku tahu sebabnya apa.
.
.
.
.
.
Nota Lilyov (Penting)
Hi alls. Untuk pembaca lama, seperti yang telah saya selitkan dalam Awas Ga Baca (depan sekali in case you missed it), bab-bab baru ni dah berubah tau. Drastik. Karakter tu dah tak macam dulu especially watak utama kita. Cumanya bagi yang dah tahu beberapa plot twist disebabkan bab-bab lama tu, janganlah pergi spoil dekat komen pula ya. Bab yang saya mula-mula tulis pada 22 Mac 2018 dulu dah bertukar sepenuhnya pada 22 April 2022.
Untuk pembaca baru, saya tak sarankan korang buka komen haha sebab dalam tu mostly ada spoilers. Saya tak delete sebab itulah memori berharga saya dengan pembaca-pembaca lama. Mesti ada yang tertanya-tanya. Macam mana hal ni boleh terjadi? Well. Bab lama telah saya ubah kedudukannya menjadi bab terawal dan sendiri boleh fahamlah kan kenapa boleh ada spoilers.
Terpulang kalau nak buka komen untuk tahu spoilers tapi tak syoklah camtu kan kan kan?
Untuk update pula, DRB telah saya jadualkan untuk di update dua kali dalam seminggu (Isnin dan Jumaat) Harap kalian akan bersabar. in shaa Allah tahun ni DRB akan menemui pengakhirannya. Hehe itu saja.
Happy reading precious~~
.
.
.
YOU ARE READING
Dia Raja Buli
Teen Fiction3 | Ruthless Saviour "Sekolah ni walaupun bukan bapak aku yang punya, aku yang paling berkuasa. This is my territory. Sekali kau pijak lantai sekolah ni, kau, dah jadi milik aku." --- Tengku Adam Naufael. Baru sehari aku belajar di SMK Empirik, d...