1 3

2.5K 250 106
                                    

| Sudut Pandangan Ketiga |

Mangkuk plastik berisi bubur yang sudah sejuk diletakkan kembali di atas meja. Pandangannya sayu menatap anak gadisnya yang sedang menyembam wajah ke lutut. Kedengaran suara kecilnya yang menangis dan meratap. Bahkan di waktu tidurnya penuh igauan dan bibirnya tak kunjung meniti nama-nama insan yang telah tiada.

Kedua-dua tangan dan kakinya dirantai pada tiang katil. Sungguh, itu bukanlah satu pemandangan yang mahu dilihat oleh seorang tua kepada anaknya. Malah, setiap kali terpaksa merantainya pun, dia akan meminta ampun berkali-kali. Tak pernah putus kata maaf terzahir daripadanya.

Tubuh anaknya kini kurus. Wajahnya cengkung. Dipaksa makan pun tak pernah nak jalan, apalagi seringkali dia memuntahkan kembali makanan itu ke atas lantai. Seperti mahu luruh dada orang tua itu tatkala terkenangkannya. Hingga sekarang getaran pada tangannya tidak dapat dihilangkan.

Sejak percubaan anak gadisnya yang pertama itu, dia sudahpun mengerahkan semua pembantu rumah untuk memeriksa, mencari dan membuang segala peralatan tajam yang ada di dalam bilik itu. Apa-apa saja alat yang boleh digunakan untuk mencabut nyawa seperti yang telah dipesan oleh doktor psikiatri yang bernama Doktor Husna. Tali, ubat tidur, gelas kaca, pinggan kaca. Semuanya dijauhkan daripada jangkauan anak gadisnya.

Jasad anaknya kini kaku seolah tidak bernyawa lagi. Serupa mayat hidup. Sama seperti tiga bulan yang lepas, ketika dia mula-mula dibawa balik ke rumah agam ini. Mahu berbuat apa lagi supaya anak gadisnya sedar dan kembali ke alam realiti? Sungguh, dia sendiri tidak tahu. Dia cuma berserah kepada Tuhan Yang Maha Esa. Doa dan tawakkal adalah senjatanya yang terakhir usai berikhtiar.

Orang tua itu menapak ke arah tingkap bilik. Tangannya menyelak langsir dengan perlahan dan cahaya mentari pagi mula menerobos masuk menyinari bilik yang suram itu. Betapa dia berharap agar ada juga cahaya harapan menyinari kehidupan anaknya. Dia tidak putus harapan.

"Arghhhhhh!!" Anaknya tiba-tiba menjerit nyaring.

"JANGANNNN!!! JANGAN KAU SENTUH MEREKAA SETANNN!!!" Matanya tajam dan merah. Memandang dinding yang kosong dengan air mata yang turun mencurah-curah. Tubuhnya meronta-ronta ingin dilepaskan. Kuat sekali rontaannya sehinggakan tiang katil itu sudah mula bergegar-gegar.

"Anakku! Jangan!!!" Lelaki itu meluru ke katil lalu memeluk puterinya erat. Tidak putus bibirnya mengucap kalimah-kalimah suci. Semakin lama rontaan itu semakin melemah dan akhirnya dia longlai, tidak sedarkan diri.

Ayahnya tidak betah. Dia mula berteriak ke arah pintu. Nama pembantu rumah dipanggil tanpa henti. Tak lama, seorang wanita berumur lebih separuh abad memunculkan diri.

"Ya Allah,..." Wanita tua itu mengucap apabila melihat anak majikannya pengsan dan dia pun terus mengalirkan air mata. Terpancar sejuta pilu di hati.

"Tolong bagitau Pak Man untuk sediakan sebuah kereta. Kita akan ke hospital sekarang." Majikannya yang bernama Tengku Zamhari itu pantas memberi arahan. Wanita tua itu mengangguk sebelum bergegas keluar.

Tengku Zamhari lekas membuka kunci pada rantai yang membelenggu anggota badan anaknya yang telah terkulai itu.

"Maafkan papa, sayang..."

Saat melihat kaki dan tangan anak gadisnya yang berbekas dan kemerah-merahan itu, matanya semakin berkaca-kaca. "Maafkan papa sebab tak jaga kamu baik-baik. Papa berdosa..."

Dia kemudian mengambil tisu basah yang ada di atas meja sebelum mengelap wajah anaknya yang basah dengan air mata secara perlahan-lahan. Rambut anaknya yang kusut dan serabai pula disisirnya menggunakan tangan sendiri.

"Kasihan sekali anak papa..." Dia mengucap hiba sambil mencium dahi anak gadisnya dengan penuh kasih. Berlinangan air matanya jatuh ketika itu. Keadaan puterinya mengingatkan dia terhadap arwah isterinya. Dan memorinya pun mengimbas saat dia menjaga Tengku Roserina ketika Tengku Roserina sedang nazak. Wajah Tengku Roserina cengkung dan pucat seperti wajah puterinya yang sekarang.

Dia Raja BuliWhere stories live. Discover now