0 8

3.3K 290 163
                                    

⚠️ PERINGATAN: BAB INI MENGANDUNGI UNSUR KEGANASAN. READ AT YOUR OWN RISK.

.

.

.

| Sudut Pandangan Ketiga |

Darah merah mengalir dari celahan bibirnya yang pecah. Cecair itu dilap menggunakan ibu jari kepada tangannya yang menggigil hebat. Kepalanya terasa berpinar, menunggu masa sahaja lagi untuk tersembam ke tanah. Namun, dia bencikan kudrat yang berbaki dalam dirinya. Dia tahu dia tidak akan pengsan selagi benda itu masih tersisa. Kerana itu jugalah dia masih akan merasa tumbukan-tumbukan yang dihujani oleh mereka pada segenap inci tubuhnya.

"Bapak liat budak ni nak mampus!"

Pemuda bertopi kuning yang berdiri di hadapannya menjerkah. Dua orang subahatnya yang berada di kiri dan kanannya dipandang dengan rasa tidak percaya. Dari tadi dia membantai dan membelasah, mengharapkan mangsanya akan tumbang mencium tanah tapi nampak gayanya semua ini tidak akan berjalan mengikut apa yang minda jahatnya rancang.

Remaja lelaki yang 'diculiknya' pada petang tadi masih berdiri dengan tangan kanan setia melekap pada perutnya. Badannya membongkok dan wajahnya menyeringai dengan keringat kotor. Bengkak berwarna biru dan hijau sudah mula membentuk pada rahang dan pipinya. Keadaannya sangat menyedihkan. Baju sekolah yang dipakainya sedari pagi tadi sudah koyak-rabak hasil bergelut dengan tiga orang lelaki dewasa yang mengepungnya dari tadi.

Nafasnya termengah-mengah menahan kesakitan. Semakin lama, lubang pernafasan dirasakan semakin sempit. Dia tidak tahu berapa lama dia sudah terperangkap di sini. Petang itu tadi, ingatkan dia mahu ke perpustakaan dahulu kerana ingin memulangkan buku yang dia pinjam pada minggu lalu, namun sungguh tidak disangka ada yang sudah menunggu kedatangannya tidak jauh dari pagar sekolah. Dia ditarik sebelum dimasukkan ke dalam perut sebuah Myvi merah.

Dan sekarang, ke mana dia mahu lari? Dia sudah dikelilingi oleh mereka yang bertopengkan syaitan. Mereka terlalu dahagakan darahnya. Bagi mereka, dia harus menderita!

"Biar aku yang habiskan dia." Pemuda bertopi kuning itu meludah ke tepi sebelum berundur ke belakang, memberi giliran kepada ketuanya yang sudah tersenyum sinis untuk menyambung kerja gilanya.

"Lain kali,..." Tangannya berurat membentuk buku lima.

"...jangan kacau..." dan diangkat tinggi.

"...line aku!" Akhirnya, penumbuk miliknya mendarat tepat pada perut remaja lelaki itu. Serta-merta tekaknya memuntahkan darah lalu dia jatuh melutut ke tanah. Seluruh kerongkong dan mulutnya basah dengan cecair hemoglobin. Sakitnya tidak terperi.

Apabila melihat pemandangan itu, yang lain bersiul kekaguman. Seperti yang dijangka daripada ketua mereka. Sekelumit pun tiada rasa belas kasihan dalam hati mereka. Yang ada cumalah dendam kesumat yang menunggu untuk dilaksanakan dan dipuaskan.

Remaja lelaki itu memandang tanah yang basah dengan darah itu bersama mata yang kabur. Dia sudah pasrah diperlakukan seperti binatang. Sejak dia mula-mula diheret ke lorong ini, dia telahpun berserah. Sememangnya kepada siapa dia boleh memohon pertolongan? Tiada siapa yang akan lalu di kawasan yang sempit lagikan jarang diguna ini. Hari pun sudah larut malam. Penghuni kota sudah enak bermimpikan dunia khayalan masing-masing.

Kenapa hal seperti ini boleh terjadi kepadanya? Dia sendiri tidak mengerti. Dia hanyalah seorang remaja lelaki berumur 14 tahun yang langsung tidak punya niat untuk bersosial. Oleh itu, dia tiada kawan di sekolah. Digelar sombong kerana tidak berteman itu perkara biasa. Dibuli di sekolah juga hal yang normal. Oleh itu, tiada siapa pun yang akan datang mencarinya. Bahkan, dia tidak punya yang namanya keluarga. Tiada.

Dia Raja BuliTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang