Luarannya, aku kelihatan seperti setenang-tenang manusia, namun dalamanku sedang bergelora digesa badai keresahan. Benakku ligat bertarung dalam menentukan sesuatu. Seakan-akan hidup dan matiku akan ditentukan olehnya.
Aku mula menghembus nafas sedalam yang mungkin. Mencari kekuatan untuk membuat keputusan. Menyusur ketenangan supaya jalannya lebih jelas. Pilihan mana yang patut aku tempuhi? Haruskah aku melaksanakannya sebagaimana yang telah diazamkan sebelum aku datang ke sini? Ataupun, haruskah aku melupakannya dan beriak seolah-olah tiada apa yang terjadi?
Akhirnya, setelah beberapa waktu, aku mencapai gagang telefon. Dengan tangan yang sejuk, duit syiling dimasukkan ke dalam.
Tut tut... Tut tut...
Setiap saat yang berlalu semakin menggemparkan jiwa. Apa yang harus aku katakan nanti? Apa jua yang harus aku lakukan? Namun, untuk seketika jiwaku goyah. Fikiranku bercelaru. Dan di saat tanganku mahu bergerak untuk meletakkan gagang itu kembali pada tempatnya semula,
"Helo?"
Aku terpempan dengan sendirinya di saat mendengar suara wanita itu. Perasaanku terus menjadi bercampur-baur.
"Helo? Siapa ini?"
Dan...
"Siapa tu, Mak Pah?" Suara yang paling aku tunggui. Dan kerananya, pipi pun menjadi saksi kepada tumpahnya air mataku. Hangat sekali. Suara ini...
"Saya pun tak tahu, tuan. Tiada respon."
"Bagi telefon tu kat saya, Mak Pah."
"Baik, tuan."
"Helo? Siapa ni?"
Hanya disebabkan suara seorang lelaki tua ini, air mataku menjadi sebegitu murah. Sudah sebegitu lama kami tidak bersua. Sungguh hati ini mengatakan rindu tapi ada jua luka lama yang harus dikenang. Dan aku letak jarak semula.
"Ein...?"
Seusai baris nama itu keluar, aku akhirnya tersedu.
"Allahuakbar! Ein ni Mak Pah! Alhamdulillah ya Allah. Terima kasih ya Allah!"
"Ya Allah... Benarkah itu, tuan? Alhamdulillah!"
"Ya Mak Pah! Ini memang betul-betul Ein!"
Aku menangis...
"Ein anak papa... Papa di sini, nak. Papa ada di sini. Anak papa ini sihatkah? Lama papa tunggu anak papa... Saban hari papa berdoa dan hari ini Allah makbulkan juga doa papa selama ini. Papa rindukan anak papa... Terlalu rindu..."
...dan menangis.
Berat dan hiba. Segala memori lama mula diulang tayang di dalam kotak fikiran. Seandainya ini, seandainya itu. Namun, masa bukan sesuatu yang dapat diputar kembali. Angkaranya, aku menderita. Terlalu menderita dan sengsara. Sehinggalah ke hari ini, saat ini pun, aku masih sesengsara dulu.
"Maafkan papa, Ein. Papa minta maaf untuk segala kekhilafan papa dahulu. Papa khilaf dan papa menyesal."
Aku lepaskan gagang telefon bersama sedu-sedan yang semakin menggila. Dan aku menangis lagi seperti orang gila.
Sungguh, aku tak kuat.
--
Usai tangisanku mulai mereda,
"Hulamak, tengah OTP ngan pakwe ke tu?"
Aku toleh ke belakang bersama mata yang bengkak. Wajah bersalah gadis itu aku tatap dengan jelingan. "Uish. Aku salah timing ke ni? Sorry weh..."
"Kau intip aku?" Aku bertanya keras.
"Aku baru je datang dari dewan. Sebelum aku masuk dewan tadi dah aku nampak kau berdiri kat sini. Kau okey tak ni?"
"Bukan urusan kau." Bidasku lalu berlalu pergi.
"But hey! Kau memang baru lepas putus cinta ke?"
...
Sekolah gila!
.
.
.
.
.
YOU ARE READING
Dia Raja Buli
Teen Fiction3 | Ruthless Saviour "Sekolah ni walaupun bukan bapak aku yang punya, aku yang paling berkuasa. This is my territory. Sekali kau pijak lantai sekolah ni, kau, dah jadi milik aku." --- Tengku Adam Naufael. Baru sehari aku belajar di SMK Empirik, d...