BAB 6BAS yang memuatkan 30 orang pelajar KPTM beserta dua orang pensyarah pengiring itu bergerak perlahan. Ada dengkuran kedengaran, pastinya mereka keletihan. Pemandu bas juga tidak menghidupkan radio, barangkali mahu menghormati mereka yang sedang tidur ataupun untuk memberi perhatian penuh pada pemanduannya. Lyssa yang sedari tadi memandang luar hanya melepaskan keluhan kecil.
"Hujan," katanya sepatah apabila rintik-rintik hujan mulai jatuh dan membasahi bumi. Doa dipanjatkan agar ekspedisi ini tidak akan terganggu ataupun tergendala. Lyssa beralih pandang ke Safina di sebelahnya pula.
"Dia menangis ke semalam?" tanyanya sendiri sebaik terpandangkan mata sembap Safina. Sepanjang dua jam perjalanan, Safina langsung tak bercakap dengannya.
Lyssa terbayang pula adegan Safina dan Yuskhairi semalam. Automatik dirinya diserbu sejuta soalan.
"Saf ada apa-apa dengan dia ke?" Lyssa terus melontarkan soalan itu. Safina yang sedang memakai fon kepala masih diam tidak berkutik.
"Haih entahlah. Biarlah," kata Lyssa lagi lalu bersandar semula pada kerusi. Perhatiannya sengaja dibuang ke luar, terasa hatinya lebih tenang melihat kehijauan pokok-pokok di bahagian tepi jalan lebuhraya itu.
Tak dapat tidak, wajah Yuskhairi pula menjelma di fikirannya. Kata-kata Yuskhairi semalam masih terngiang-ngiang di telinga Lyssa. Tahu-tahu saja pipinya terasa hangat. Bibir melirik senyum di luar sedar.
"Aku harap kau okay aje. Balik nanti kita jumpa," ujar Lyssa sambil menutup matanya. Senyuman kian melebar, tanda hatinya tak sabar mahu bertentang empat mata dengan Yuskhairi.
"OKAY. Kita berpecah. Pastikan awak semua ingat jalan balik kem. Hari pun dah makin gelap jadi jangan berpecah daripada kumpulan ataupun partner masing-masing. Saya tak nak ada masalah pula. Nauzubillah. Tapi kalau terpisah pun, tiup wisel yang saya dah bagi tadi. Jaga mulut. Okay, hati-hati semua!"
Sakinah, ketua ekspedisi itu menepuk tangannya dua kali sebagai isyarat mereka boleh bersurai dan menjalankan tugas masing-masing. Ini sudah kali ketiga dia mengetuai Ekspedisi Ledang maka dia sudah arif menjalankan tugasnya.
Lyssa yang berdiri bersebelahan Safina sekadar mengangguk. Kepala mendongak ke langit yang semakin gelap warnanya. Tayar bas pancit di tengah jalan, buatkan jadual mereka sedikit terpesong daripada yang dirancang. Jika tidak, pastinya mereka sudah tiba di Ledang lebih awal.
Peserta-peserta mulai berpecah. Masing-masing mempunyai tugas tersendiri. Ada yang ditugaskan mencari kayu api, ada yang memasak, ada yang diarahkan untuk mendirikan khemah dan macam-macam lagi.
"Lyssa," panggil Sakinah yang sedang menghampiri Lyssa.
"Ya, kak," jawabnya hormat.
"Akak tahu kes semalam. Kecoh satu kolej bila diorang bergaduh. Lyssa okay tak? Ada cedera kat mana-mana?"
Lyssa lemparkan senyuman tipisnya. Dia tahu kes pergaduhan Yuskhairi dan Fitri hangat diperkatakan oleh para pelajar, pensyarah dan staf KPTM. Semuanya sibuk mengulas kejadian itu.
"Alhamdulillah Lyssa okay aje," jawab Lyssa. Sakinah mengangguk sedikit. Jika itu yang dikatakan Lyssa, baguslah.
"Okaylah, akak cuma risaukan Lyssa aje. Lyssa pun kalau boleh, hati-hati sikit dengan Yuskhairi tu. Kita semua tahu perangai dia macam mana. Tadi pun akak sebenarnya cuak juga. Takut tiba-tiba dia muncul buat masalah. Nasib baik tak ada."
Kelat senyuman di bibir Lyssa. Kelat kerana apa yang Sakinah mahukan sebenarnya jauh berbeza daripada kehendaknya. Sejujurnya, dia nantikan kemunculan Yuskhairi pagi tadi. Leher dipanjangkan, mata melilau mencari Yuskhairi. Pantang ada bunyi enjin kereta kedengaran, pantas matanya tertumpu pada kereta itu. Dan setiap kali jugalah hatinya hampa.
Pagi tadi tiada walau bayang Yuskhairi. Berjaya buatkan sekeping hati Nur Lyssa jadi galau.
"Lyssa cari kayu api kan? Hati-hati," pesan Sakinah seraya menggosok bahu Lyssa perlahan. Lyssa sekadar mengangguk, bibirnya sempat mengucapkan terima kasih pada Sakinah di atas keprihatinannya. Hilang saja Sakinah dari kornea mata, Lyssa tunduk mencapai lampu suluh. Kemudian kepala menoleh ke kanan dan kiri untuk mencari kelibat Safina tetapi tiada.
"Ala, Saf tak tunggu akulah. Semalam beriya nak cari kayu api sama-sama..." omelnya sebelum mengaturlangkah sambil mata melilau mencari Safina.
*****
Silakan comment, vote dan share! 💙
PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.
YOU ARE READING
Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]
Mystery / Thriller"Bila kau celikkan mata, jangan ingat aku. Bila kau pejamkan mata, jangan lupakan aku." -- BLURB -- Hidup Lyssa yang selama ini aman dengan rutin seorang penuntut di sebuah kolej, tiba-tiba berubah selepas Lyssa jatuh tergelincir di Ledang. Sudahlah...