Novel: Aku Ada (Bab 16)

1.1K 64 15
                                        




BAB 16

DUVET ditolak ke tepi. Dia turun dari katil dan berjalan keluar dari bilik. Suis lampu dipetik, serta-merta ruang tamunya jadi terang-benderang. Satu objek di atas sofa menarik perhatiannya.

"Ya Allah!"

Berlari Lyssa ke biliknya. Laci almari ditarik, tangannya pantas menarik tudung berwarna hitam. Dia beralih ke almari pula untuk mencari kardigan dan stoking. Tergopoh-gapah dia menyarung setiap satu itu ke tubuh.

"Hisy!" marah Lyssa apabila tangan kanannya tak dapat dimasukkan ke dalam bahagian lengan kardigan. Lyssa keluar dari biliknya dan menuju semula ke sofa. Tanpa kata, tangan kanannya mengambil kusyen kecil lalu dilayangkan berkali-kali pada objek di atas sofa itu.

"Weh, bangunlah! Bangun!"

Bergema rumah itu dengan jeritan Lyssa. Mencerlang matanya melihat Hafiy masih lena.

"Bangunlah!!!" jerit Lyssa lagi sambil memukul Hafiy menggunakan bantal namun sia-sia saja. Bantal itu lolos menembusi Hafiy.

Lyssa ketap giginya geram.

"Kau boleh tidur atas sofa tapi bantal ni tak boleh kena kau langsung? Huh. Ya Allah Ya Tuhanku, makhluk apalah yang ada depan aku ni.? Janganlah sampai aku gila, Ya Allah," kata Lyssa diakhiri keluhan.

"Kenapa?" tanya Hafiy yang sedang memisat mata.

"Kau tanya kenapa? Kau bangun sekarang. Kau bangun!" arah Lyssa seraya jari telunjuk digerakkan berkali-kali, menyuruh lelaki itu bangun dari baringnya. Lambat-lambat Hafiy duduk.

"Apa kau buat kat sini?"

"Tidurlah," jawab Hafiy bersahaja, masih tidak menyedari kemarahan dan rasa bengang Lyssa terhadapnya.

"Kau tidur sini? Dalam rumah aku?"

Hafiy mengiyakan dengan anggukan. Sejak hari pertama Lyssa melihatnya, mereka sudah menjadi rakan serumah tidak rasmi. Mungkin sebelum ini Lyssa tak perasan kerana Hafiy selalu keluar rumah awal pagi. Hafiy pandang Lyssa yang sudahpun melopong.

"Kau gila ke? Kenapa kau tidur sini? Tak ada tempat lain? Aku bagi tumpang sehari tu aje, bukannya sampai bila-bila. Eh kau tahu tak ni rumah perempuan?" tanya Lyssa sedikit bengang. Laju saja akal merangka beberapa soalan.

Macam mana kalau Hafiy curi-curi masuk ke biliknya sewaktu dia sedang tidur? Macam mana kalau Hafiy mengintainya sewaktu dia sedang mandi? Macam mana kalau auratnya sudahpun terdedah tanpa dia sedar? Memikirkan semua kemungkinan itu buatkan tangan Lyssa terangkat ke dada dengan sendirinya. Bersilang.

"Aku tak buatlah semua tu," kata Hafiy seolah-olah dapat membaca fikiran Lyssa. Ada sengihan di bibirnya.

"Aku tak pernah intai kau pun. Aku tak pernah masuk bilik kau juga. Jangan risaulah, aku tahu respect privasi orang," katanya lagi untuk meyakinkan Lyssa.

Sedikit terpujuk, Lyssa turunkan semula tangannya namun kata-kata Hafiy seterusnya buatkan tangan itu kembali bersilang.

"Melainkan kau nak tunjuk kat aku ataupun kau yang bagi aku masuk bilik kaulah," usik Hafiy sambil mata kanannya dikenyitkan. Terhibur hatinya melihat respon Lyssa yang agak comel itu.

"Hafiy!"

"Hisy, aku main-mainlah. Gurau sikit pun tak boleh. Kenapa kau bangun awal ni? Belum Subuh lagi kan?" tanya Hafiy sambil matanya mengerling jam dinding. Kemudian mata Hafiy tertancap semula pada Lyssa yang sudah pamer muka seposen.

Dalam pada dia geram dengan tingkah Hafiy, mulutnya tetap juga ringan memberi jawapan.

"Belum masuk Subuh lagi. Aku hauslah," jawab Lyssa. Gadis itu berlalu ke dapur. Pintu peti sejuk dibuka. Deretan botol air mineral memenuhi kornea matanya. Tangan dipanjangkan untuk mengambil satu lalu diteguknya air selepas membaca bismilah.

Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang