BAB 8
LYSSA berjalan menonong menuju ke perpustakaan. Lega rasanya apabila punggung dilabuhkan di atas kerusi. Sengaja Lyssa memilih tempat tersorok agar lenanya nanti tidak diganggu. Sebuah buku yang ditinggalkan di atas meja berjaya buatkan mulut Lyssa mencicih.
"Tinggalkan buku atas meja aje. Ada shelf pun tak guna. Pemalas betul. Bukannya jauh sangat pun shelf tu. Kalau Kak Maria nampak ni, confirm kena marah," bebel Lyssa. Buku itu diambil lalu diletakkan di rak yang sememangnya dikhaskan untuk memulangkan buku. Lyssa berpatah balik ke tempatnya lalu dia melakukan rutinnya. Ada tiga jam untuk dia tidur sebelum kelas seterusnya bermula. Lyssa pejamkan mata.
Tak sampai seminit, matanya terbuka luas.
Dejavu.
"Lepas ni ada orang tendang meja aku?" desis Lyssa. Lyssa bekukan diri. Dadanya berdebar-debar menanti apa yang akan terjadi selepas ini. Kalaulah nalurinya tepat, mejanya akan ditendang berkali-kali dan Maria akan mara menghampirinya.
"Lyssa..." Satu suara perempuan memanggilnya.
"Kak Mar..."
Lyssa terdiam. Tiada sesiapa di kiri dan kanannya. Kening sebelahnya terangkat. Eh? Rasanya dia dengar suara Maria tapi...
Malas mahu berteka-teki sendiri, Lyssa berjalan menuju ke Kaunter Pinjaman dan Pemulangan. Maria tiada tetapi Sahir ada. Lyssa segera menyapa lelaki itu.
"Bang, Kak Maria mana?" tanya Lyssa.
Sahir jungkit bahu.
"Entahlah Lyssa. Abang pun tengah risaukan dia ni. Dah berapa hari tak datang kerja. Bila abang call, tak ada orang jawab pula," kata Sahir. Kebimbangan jelas terpancar di wajah Sahir apabila memikirkan keberadaan Maria tika ini. Sudah empat tahun dia mengenali Maria, tak pernah sekalipun Maria menghilang seperti ini.
"Hai Lyssa. Hai Abang Sahir."
Satu suara menegur mereka untuk menyertai perbualan Lyssa dan Sahir. Safina lemparkan senyuman pada Sahir sebelum dia pandang Lyssa.
"Kelas petang ni cancel. Jom teman aku pergi Kinokuniya. Aku nak beli bukulah."
Lyssa sekadar mengangguk. Dia pandang Sahir semula untuk meninggalkan pesan.
"Bang, kalau Kak Maria datang nanti, kirim salam kat dia eh."
"Okay," sahut Sahir pendek.
"SAF.. Kau ada jumpa ke budak yang bagi aku bunga tu?" tanya Lyssa sebaik saja mereka jejakkan kaki di kedai buku Kinokuniya itu.
"Fitri kan nama dia?"
"A ah, Fitri. Tak ada pun. Dia dah tukar kolej..."
"Tukar kolej? Sebab bergaduh tu ke?"
"Iya kot," jawab Safina pendek.
"Budak yang bergaduh dengan dia tu? Apa cerita pula?" tanya Lyssa polos, berminat untuk mengetahui lanjutan kisah tersebut. Safina yang menyedari sesuatu memandang Lyssa sedalam-dalamnya.
"Ceritalah, Saf. Budak yang bergaduh dengan dia tu?"
"Lyssa. Kau... Tak ingat ke siapa yang bergaduh dengan Fitri?" Safina cuba dapatkan kepastian. Apabila Lyssa menggeleng, Safina bertanya lagi sekali.
"Kau betul-betul tak ingat dia gaduh dengan siapa?"
"Tak. Siapa dia? Tapi sebenarnya waktu tu diorang bergaduh sebab apa?" Lyssa terus-terusan bertanya untuk mendapatkan informasi daripada Safina. Rakannya itu terdiam untuk beberapa saat sebelum dia jungkit bahu.
"Hm entahlah. Aku pun tak tahu kenapa diorang bergaduh," bohong Safina.
"Lyssa, aku nak pergi tingkat atas. Kau stay aje dalam ni tau. Kau dahlah tak ada handphone, susah aku nak cari kau nanti," pesan Safina dibalas dengan anggukan dan tanda non-verbal 'Okay' daripada Lyssa.
"Lyssa..."
Pantas Lyssa menoleh dan jantungnya berdegup kencang semerta. Safina sudah tiada di situ. Tiada juga insan lain di situ. Yang ada hanya dia. Bulu roma serasa meremang.
"Lyssa, tolong..."
Bagaikan ada orang yang berbisik di telinganya, Lyssa dapat rasakan hembusan nafas seseorang. Kering terus darah Lyssa. Dia cuba berpaut pada rak buku namun lututnya yang lemah buatkan dia jatuh ke lantai.
"Lyssa..."
Dada terasa sesak. Lyssa yakin dia tidak berhalusinasi dan dia juga bukannya narsisis yang obses dengan namanya sendiri. Dan Lyssa tahu, ada seseorang atau sesuatu yang sedang memanggilnya.
"Tolong, Lyssa. Tolong..."
Entah dari mana datangnya kekuatan Lyssa, dia berdiri dan berjalan keluar dari Kinokuniya. Lupa pada pesanan Safina. Langkahnya besar menuju ke eskalator. Tiada sebarang kata maaf diucapkan saat tubuhnya melanggar orang lain. Pedulikan itu semua. Dia hanya mahu lari dari sini. Ada kemungkinan kedai buku Kinokuniya itu yang berhantu. Ataupun Suria KLCC ini?
"Lyssa..."
"Jangan kacau aku!" jerit Lyssa yang tiba-tiba terjelepok. Dia memeluk lutut, tangan mula menutup telinga.
"Jangan. Jangan panggil aku. Tolonglah..." kata Lyssa ketakutan. Hembusan nafas itu masih terasa di telinganya. Air mata Lyssa mulai jatuh berjuraian.
"Lyssa..."
"Tolonglah jangan kacau aku..." Kedua-dua telapak tangan digosokkan sambil matanya melingas. Benar-benar merayu belas suara itu agar berhenti memanggilnya. Beberapa orang di sekelilingnya mula memandang Lyssa pelik. Ada yang mula mendekatinya, tak kurang juga yang sekadar berbisik sesama sendiri.
"Lyssa. Lyssa..."
"Jangan panggil aku. Jangan!!" Dan tangisannya semakin menjadi-jadi. Kewujudan si pemanggil dapat dirasai Lyssa tapi tiada sesiapa pun di depannya!
"Miss..."
"Ah!!" Lyssa terjerit apabila bahunya disentuh seseorang. Tubuhnya turut terloncat dek sentuhan itu. Seorang lelaki berbangsa Inggeris memenuhi anak mata Lyssa. Manusia. Itu manusia!
"Miss. Are you alright?"
"Are you okay?" Soalan yang sama diulangnya lagi.
"Do... Do you hear... Some... Someone calls me? Lys... Lyssa?" Sukar untuk Lyssa lontarkan soalan itu. Matanya yang merah memandang lelaki itu penuh harapan.
Tolonglah. Tolonglah cakap kau dengar orang panggil Lyssa! Tolonglah! Hati Lyssa mulai berteriak.
"Nope," jawabnya pendek.
Semerta wajah Lyssa berubah rona. Kelabu.
"Lyssa!" jerit Safina. Dia menerpa Lyssa lalu tubuh rakannya itu didakap.
"Kenapa ni? Kenapa kau terjerit-jerit ni?"
Bertambah lebat air mata Lyssa. Safina dipeluk dengan lebih erat.
"Saf. Tolong aku, Saf. Aku dengar ada orang panggil aku. Tolong aku. Aku tak gila. Tapi kenapa aku dengar suara tu..." rengek Lyssa di dalam pelukan Safina.
"Tolong aku, Saf. Aku takut sangat... Itu suara apa? Itu suara siapa? Aku tak nak dengar. Aku takut..."
*****
Silakan comment, vote & share! 💙
PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.
ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]
Misterio / Suspenso"Bila kau celikkan mata, jangan ingat aku. Bila kau pejamkan mata, jangan lupakan aku." -- BLURB -- Hidup Lyssa yang selama ini aman dengan rutin seorang penuntut di sebuah kolej, tiba-tiba berubah selepas Lyssa jatuh tergelincir di Ledang. Sudahlah...
![Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]](https://img.wattpad.com/cover/131501800-64-k662323.jpg)