Novel: Aku Ada (Bab 11)

947 56 2
                                    


BAB 11

"LYSSA..."

Panggilan Dr. Kareena memecahkan lamunan Lyssa. Kepala menoleh. Sebaik seraut wajah Dr. Kareena memenuhi ruangan kornea mata, dada Lyssa terasa lapang. Sepertinya ada batu besar dipunggah keluar dari dadanya.

Dr. Kareena dekati Lyssa yang duduk memeluk lutut di atas katil.

"Doktor..."

Lyssa panjangkan tangannya lalu menarik Dr. Kareena ke dalam dakapan. Air mata yang sememangnya mengalir sedari tadi, kini mengalir dengan lebih deras. Rasa yang dijeruk seorang diri sejak malam tadi dilepaskan dalam pelukan Dr. Kareena.

"Saya takut, doktor. Tolong saya," rengek Lyssa. Tiada jawapan diterima dari Dr. Kareena. Hanya tangannya menggosok lembut tubuh Lyssa. Berharap ianya memadai untuk salurkan ketenangan pada Lyssa.

"Saya cuba dengar cakap doktor. Saya dengar apa yang dia nak cakapkan tapi saya jumpa mayat dia pula. Kenapa dia buat saya macam ni?" adu Lyssa.

"Listen, you did great. Awak dah tolong dia, Lyssa. Kalau awak tak tolong dia semalam, sampai bila-bila pun tak ada sesiapa yang tahu mayat dia di situ. Mungkin sepuluh atau dua puluh tahun lagi, baru orang jumpa mayat dia."

"Tapi kenapa saya, doktor? Kenapa saya?" Lyssa terus-terusan mempertikaikan perkara itu. Kata-kata Dr. Kareena ada benarnya namun Lyssa lebih tertumpu pada persoalan itu – Mengapa dia yang dipilih untuk mempunyai kebolehan itu? Mengapa bukan orang lain yang lebih berani berbanding dia?

Senyuman masih tak lekang dari bibir Dr. Kareena. Dia sedar betapa Lyssa memerlukannya saat ini. Jika dahulu Dr. Kareena terpaksa mengharungi semua ini seorang diri, kini dia diberi kesempatan untuk berkongsi kekuatannya dengan orang lain. Dr. Kareena leraikan pelukan lalu jemari Lyssa diraih dan digenggam erat.

"Awak percaya pada benda ghaib, kan? Agama awak pun suruh awak percaya adanya benda ghaib kan?"

Lyssa mengangguk laju.

"Mungkin ini ujian untuk awak. Ujian Dia untuk sedarkan awak. Ujian Dia untuk duga awak. Saya pun tak tahu sebab spesifiknya tapi apa yang pasti, awak kena redha, Lyssa." pujuk Dr. Kareena, menyampaikan serba sedikit tentang agama Islam yang dia tahu.

Mendengarkan itu, Lyssa terdiam. Ada benarnya juga apa yang disampaikan Dr. Kareena. Lyssa teringat pula pada sebaris ayat yang biasa dia dengar.

'Allah tak akan menduga seseorang lebih daripada kemampuannya'.

Kering terus air mata Lyssa.

"Awak kena tengok daripada sudut positif. Awak cakap awak takut? Tak, Lyssa. Sebenarnya awak berani. Sebab itulah awak terpilih. Saya ingat lagi, saya pun pernah ada situasi macam ni. Saya demam dua minggu sebab saya terlalu takut. Tapi awak baik-baik aje, ini bermaksud awak seorang yang berani," kata Dr. Kareena.

Lyssa diam, dia hanya mampu menggigit bibir bawahnya.

Baik-baik aje? Heh kalaulah Dr. Kareena tahu gelojak perasaannya kini...

"Mulai sekarang, awak kena belajar control perasaan. Kalau awak dengar suara tu, awak tak boleh terus terkejut. Cuba kawal diri. Jangan biarkan orang lain tahu yang awak boleh dengar suara halus tu. It might be hard at first, tapi lama-lama awak akan terbiasa juga," nasihat Dr. Kareena.

"Terbiasa apa?" Tiba-tiba satu suara menegur mereka dari belakang. Dr. Kareena berdiri tegak manakala Lyssa pula hanya mampu menundukkan kepalanya. Pandangan tajam Razak, walaupun baru beberapa saat bapanya itu berdiri di depan mata, buatkan Lyssa takut untuk mengangkat muka.

"Terbiasa apa?" ulang Razak lagi.

Dr. Kareena menghela nafasnya panjang sebelum dia mengukir senyuman di bibir.

"Saya tengah nasihatkan Lyssa untuk biasakan diri abaikan suara-suara tu." Dr. Kareena mencipta satu penipuan di depan Razak.

"Betul ke Lyssa boleh dengar suara tu, doktor? Ataupun anak saya dah gila?"

Tak dapat tidak, hati Lyssa pecah berderai mendengarkan perkataan 'gila' itu!

Kepala Dr. Kareena bergerak ke kiri dan kanan, menafikan soalan Razak.

"Tak. Tuan jangan risau. Saya rasa ini side effects daripada ubat yang dia makan."

"Betul ini cuma side effects aje?" Razak bertanya lagi untuk dapatkan kepastian. Mata masih terpaku pada Dr. Kareena yang sudahpun membongkok sedikit sambil tangannya menarik keluar sebotol ubat dari beg bimbitnya.

"Side effects ubat ni memang kuat. Kita boleh jadi berkhayal sekejap. Explains why Lyssa dengar suara tu walaupun sebenarnya tak ada pun. Pasal mayat tu pula, saya rasa itu cuma satu kebetulan. Mustahil Lyssa boleh jumpa mayat hanya sebab suara tu yang bagitahu. Saya rasa, kita fikirkan benda yang sama. Mana ada hantu dalam dunia ni."

Razak pandang botol ubat yang ditunjukkan Dr. Kareena. Berkerut dahinya mendengar penjelasan Dr. Kareena tapi tak pula Razak pertikaikan apa-apa. Pakar psikiatri yang berdiri di depannya itu ialah salah seorang doktor yang dikenali ramai dek kewibawaannya. Mustahil Dr. Kareena akan memberi diagnosis palsu.

"Untuk seseorang yang ada RA, Lyssa perlukan psychotherapy. Jadi saya suggest one-to-one sessions on regular personal interaction," beritahu Dr. Kareena.

"Boleh. Tapi mulai hari ini, Lyssa tak boleh keluar rumah. Jadi doktor yang kena datang sini. Kalau doktor rasa tak boleh bagi komitmen, saya akan cari..."

"Boleh! Saya boleh! Lagipun bagus juga kalau buat di rumah sendiri. Lyssa lebih selesa, indirectly permudahkan lagi semuanya!" kata Dr. Kareena bersemangat.

"Tapi..." Lyssa mencelah. Mulut yang sedari tadi terkatup rapat walaupun selepas mendengar pembohongan demi pembohongan Dr. Kareena, kini bersuara. Anak mata mencari anak mata Razak. Mahu bertanya satu soalan yang memenuhi benaknya.

"Kenapa Lyssa tak boleh keluar rumah, pa?"

"Papa tak nak Lyssa buat kerja gila macam semalam. Entah lepas ni jumpa mayat siapa pula." Razak seakan menempelak si anak.

"Tapi kolej..."

"Papa dah berhentikan Lyssa tadi. Buat apa Lyssa nak sambung belajar? Setakat Diploma in TESL tu, bukannya berguna sangat."

"Pa!"

"Jangan lawan cakap papa! Mulai hari ini, Lyssa duduk dalam rumah aje. Jangan berani keluar. Dr. Kareena sendiri cakap ubat tu ada side effects, takkanlah papa nak biarkan Lyssa macam tu aje!" Razak meninggikan suaranya sekaligus buatkan Lyssa terdiam.

Razak pandang Dr. Kareena pula.

"I believe she is in a good hand now. Tolong jaga dia sampai dia pulih. Saya tak kisah pasal fees, just please treat her until she is completely fine." Dan sehabis ayatnya, Razak berlalu keluar dari bilik Lyssa. Meninggalkan si anak yang termangu seorang diri dan juga pakar psikiatri yang jelas tercengang dengan keputusan drastiknya.

Sebaik daun pintu terkatup rapat, Razak sandarkan tubuh ke pintu dengan keluhan berat.

Ini... Ialah satu-satunya pilihan yang dia punya. Mengurung Lyssa ialah cara terpantas.

*****

Silakan comment, vote dan share! 💙 


PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.  

Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now