BAB 17
PANASKAN badan sudah, berjoging pun sudah. Lyssa lari setempat pula, sesekali tangannya tergerak ke kanan dan kiri. Segar minda dan fizikalnya. Sudah lama dia tak beriadah seperti ini. Kalau tak terperuk dalam rumah menonton drama, pastinya dia sibuk menunaikan permintaan suara-suara itu.
Sorakan dari sekumpulan budak lelaki berjaya menerobos masuk ke telinganya walaupun fon kepala Beats melekap di telinga. Lyssa kulum senyumnya apabila melihat sekumpulan pelajar sedang bermain bola sepak dan kumpulan yang menang bersorak keriangan. Bukan gelagat mereka yang menggelikan hatinya tetapi Hafiy. Lelaki itu ada di antara mereka, bersorak meraikan kemenangan serta melompat keriangan.
"Macamlah diorang nampak kau." Lyssa mengomel sendiri.
"Kak..." panggil satu suara. Automatik tubuh Lyssa jadi tegak. Mata yang tadinya tertumpu pada Hafiy kini melilau pula. Setelah yakin tiada mata yang memandangnya, barulah Lyssa menyahut panggilan suara halus itu.
"Hm?"
"Tolong Said, kak..." pinta Said.
"Tolong apa?"
"Jumpa mak Said."
BANGUNAN bercat putih itu dipandang Lyssa dengan dahi berlapisnya.
"Mak Said ada kat sini?" tanya Lyssa sambil matanya membaca nama khas sekolah itu.
Mak dia ni cleaner sekolah ke? Ataupun cikgu? Ke makcik kantin? Akal Lyssa mula berteka-teki.
"Dia cakap ni rumah dia ke? Eh, biar betul budak ni," ujar Hafiy pula.
"Akak pergilah pejabat sekolah dulu. Cari Cikgu Latifah," kata Said yang lebih berupa arahan itu.
Siapa Cikgu Latifah? Mak Said? Sekali lagi Lyssa bertanya di dalam hatinya.
Berat langkah Lyssa menuju ke pos pengawal untuk mendapatkan pas pelawat. Selepas bersoal-jawab dengan pengawal itu untuk seminit dua, akhirnya Lyssa diberi keizinan untuk masuk ke dalam.
Seperti yang diberitahu pengawal tersebut, Lyssa menanti Latifah di ruang menunggu. Pujian ikhlas diberi kepada pengurusan sekolah yang dirasakan mementingkan keselesaan dan kebersihan. Tak ada satu sampah pun yang dilihatnya sewaktu menaiki anak tangga tadi. Samaada para pelajarnya berdisiplin ataupun pengetua dan guru disiplinnya yang tegas, Lyssa tak dapat meneka. Ruang menunggu ini pun lengkap dengan sofa, meja dan penghawa dingin.
"Best gila sekolah ni," puji Lyssa.
Satu suara menegur Lyssa dari belakang, melenyapkan penilaian Lyssa terhadap sekolah itu.
"Ya, Cik Lyssa. Ada apa-apa yang saya boleh tolong?" tegur Latifah.
Lyssa angkat kepala. Satu figura yang kini berdiri tepat di depannya buatkan Lyssa melongo.
"Siapa pula ni Said?" gumam Lyssa. Yang pastinya, Latifah bukanlah mak Said!
"Cik Lyssa?"
"Oh. Cikgu. Apa khabar?" kata Lyssa seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan cikgu cantik itu. Bibir mungil Latifah tersenyum, menyerlahkan lesung pipit di kiri dan kanannya. Cantik! Namanya klasik tetapi orangnya cantik persis model!
Latifah menyambut huluran salam itu sebelum dia menjemput Lyssa duduk. Lyssa pamer senyumannya walaupun dia sebenarnya keliru dengan apa yang sedang berlaku. Hatinya menyeru nama Said tetapi suara itu tiada di situ, langsung tidak memberitahunya apa yang harus Lyssa lakukan.
Hafiy pandang Latifah dari atas ke bawah. Seorang guru perempuan muda mengajar di sekolah menengah. Dengan mekap tipis, selendang dililit gaya terkini dan baju kurung yang mengikut bentuk tubuhnya, Hafiy yakin Latifah menjadi kegilaan pelajar lelaki.
"Ehem."
Sengaja Lyssa berdehem untuk mengalih perhatian Hafiy. Inilah dia lelaki. Pantang nampak perempuan dahi licin! Apabila Hafiy memandangnya dengan sengihan, Lyssa hadiahkan satu jelingan tajam.
"Cikgu..."
"Panggil saya Tifa aje," kata Latifah mesra. Lyssa akur, dia segera menukar panggilannya.
"Tifa busy ke? Kalau busy, saya boleh datang esok."
"Eh tak apa. Saya free aje sekarang. Kelas saya lepas rehat nanti," beritahu Latifah, menampakkan barisan giginya yang putih.
"Oh. Hm sebenarnya, saya nak cakap pasal Said." Lyssa mula mengatur bicaranya. Memandangkan Said langsung tidak membantu, terpaksalah dia gunakan akalnya sendiri untuk mengorek cerita.
Air muka Latifah berubah apabila mendengarkan nama Said tapi telinga tetap dipasang.
"SAID bunuh diri. Waktu tu P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) macam biasa tapi tiba-tiba kitorang dengar bunyi kuat. Huru-hara sekolah waktu tu. Pelajar perempuanlah yang paling kuat menjerit."
"Sekolah tutup tiga hari. Sepanjang tiga hari tu, kami cikgu-cikgu dan beberapa orang pelajar adakan bacaan Yassin di sekolah."
"Kau termenung apa tu?" sapaan Hafiy memecahkan ingatan Lyssa tentang perbualannya dengan Latifah siang tadi. Lelaki itu sudah melabuhkan punggungnya di sebelah Lyssa.
"Kau teringatkan Said ke?" tanyanya lagi.
Lyssa diam. Tak dapat nafikan bulu romanya meremang apabila mendengar frasa 'bunuh diri' itu. Tapi...
"Sekolah tu cuma empat tingkat aje. Boleh mati ke kalau jatuh daripada tingkat empat?"
"Kalau dah ajal, jatuh dari tingkat satu pun boleh meninggal."
"Tapi kalau dia yang bunuh diri, kenapa dia cari aku?" tanya Lyssa lagi.
Kata-kata Latifah kembali bermain di telinga Lyssa.
"Ada yang cakap Said gaduh dengan girlfriend dia. Tapi ada juga yang cakap Said stress sebab nak SPM. Sebelum Said bunuh diri, memang dah dua tiga bulan juga results dia teruk."
"Tapi siapa girlfriend dia?" tanya Lyssa sendiri. Dia ada bertanya pada Latifah tapi guru muda itu langsung tak tahu menahu siapa orangnya.
"Aku teringatkan cikgu aku..."
Sebaris ayat Hafiy berjaya menarik perhatian Lyssa kepadanya. Dia pandang Hafiy dan sebaris senyuman di bibir lelaki itu.
"Dia ajar aku English. Cantik orangnya."
Cantik? Lyssa juihkan bibirnya mendengar perkataan itu. Teringatkan Latifahlah tu!
"Dulu aku problematic sikit. Semua cikgu tak tahan dengan aku tapi dia seorang yang masih baik dengan aku. Dia cikgu baru. Baik sangat. Selalu bagi semangat kat aku."
Bukan sekadar bibir, bahkan mata Hafiy juga tersenyum waktu itu. Lyssa menjadi pendengar setia, lupa seketika perihal Said.
"Daripada budak yang pernah masuk pemulihan dan lambat setahun daripada budak sebaya aku, aku dapat excellent results dalam SPM. Semuanya sebab cikgu aku tu. Betullah kata orang. Guru ibarat lilin. Dia bakar diri sendiri untuk terangi hidup orang lain," cerita Hafiy lagi.
"Kau mesti rindukan dia kan?" tanya Lyssa seakan memahami isi hati Hafiy.
"Aku rindukan dia macam mana aku rindukan mak aku. Dia sendiri pun pernah cakap yang aku ingatkan dia pada anak dia," jawab Hafiy, meninggalkan Lyssa dengan tanggapan bahawa guru Bahasa Inggerisnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Bibir Lyssa mengukir senyumnya. Ikhlas menghadiahkan senyuman manis buat lelaki itu. Bagaikan cermin, Hafiy turut sama tersenyum. Untuk beberapa saat mereka berkeadaan sebegitu hinggalah...
"Kak..."
*****
Silakan comment, vote & share! 💙
PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.
YOU ARE READING
Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]
Mystery / Thriller"Bila kau celikkan mata, jangan ingat aku. Bila kau pejamkan mata, jangan lupakan aku." -- BLURB -- Hidup Lyssa yang selama ini aman dengan rutin seorang penuntut di sebuah kolej, tiba-tiba berubah selepas Lyssa jatuh tergelincir di Ledang. Sudahlah...