Novel: Aku Ada (Bab 18)

1.6K 78 22
                                        

BAB 18

MALAM itu juga Lyssa ke rumah Said. Kali ini, dia bertentang empat mata dengan ibu Said. Kamariah yang percayakan Lyssa sebagai senior Said mempelawanya masuk ke dalam rumah.

Begitu mudahnya Kamariah mempercayai orang asing sepertinya. Golongan seperti Kamariah inilah yang selalu menjadi mangsa tipu orang jahat! Hati Lyssa membebel sendiri.

"Lyssa kata Said nak bagi sesuatu. Lyssa carilah dalam bilik dia. Mak cik tak tahu apa barangnya. Kalau mak cik tahu, mak cik boleh tolong carikan. Mak cik buatkan air untuk Lyssa sekejap," ujar Kamariah seraya menepuk lembut jemari Lyssa.

Lyssa tak pula menghalang, dibiarkan saja orang tua itu menghilang ke dapur. Langkah diatur menuju ke bilik Said sebagaimana yang Said bisikkan padanya. Hafiy yang sudahpun berdiri di depan pintu bilik Said terlebih dahulu segera sampaikan sesuatu pada Lyssa.

"Aku nampak something tadi."

Lyssa angguk lalu dia menolak daun pintu dan masuk ke dalam bilik Said. Selepas pintu ditutup, mata Lyssa melilau memerhatikan bilik itu sambil mulutnya bertanya kepada Said.

"Said nak akak cari apa? Benda tu ada kat mana?"

Sempat Lyssa memuji kekemasan bilik Said. Cadar terpasang elok, buku pula kemas tersusun di rak. Deretan buku di atas meja belajar meyakinkan Lyssa bahawa Said sememangnya seorang pelajar yang cemerlang. Ada sejadah dan tasbih tergantung di rak berdekatan katilnya membuatkan kening kanan Lyssa terangkat. Frasa 'bunuh diri' kembali menerjah kotak fikirannya.

"Dalam laci meja belajar," kata Said.

Perhatian Lyssa teralih. Laju saja dia tarik laci meja belajar Said. Kotak hitam beriben merah menarik matanya.

"Kotak hadiah ni?" tanyanya sambil membelek-belek kotak itu. Tiada jawapan dari Said maka Lyssa anggap itu ialah lampu hijau untuknya melihat isi kotak tersebut. Riben ditarik hingga ikatannya terlerai. Kemudian Lyssa buka penutup kotak tersebut. Satu objek yang berkilat memenuhi kornea matanya.

Rantai? Lyssa dan Hafiy saling berpandangan. Kemudian mata mereka tertancap pada nama yang terukir di loket berbentuk hati. Memadai untuk memberitahu siapakah pemilik rantai itu.

"Lyssa, mak cik dah hidangkan air. Jemputlah minum," pelawa Kamariah yang muncul di depan pintu. Sebaik matanya jatuh pada kotak di tangan Lyssa, Kamariah bertanya lagi.

"Oh itu ke barangnya? Dah jumpa dah?"

"Dah. Mak cik, bilik Said memang sentiasa kemas macam ni ke? Ataupun mak cik yang tolong kemaskan?" Lyssa tidak menunggu lama untuk bertanya soalan itu. Matanya tertancap pada sejadah dan tasbih yang tergantung itu. Jawapan Kamariah akan mengubah persepsinya kepada Said sekaligus meyakinkannya tentang sesuatu.

Kamariah senyum tipis.

"Bilik Said memang sentiasa kemas macam ni, Lyssa. Mak cik tak ada ubah apa-apa pun. Mak cik nak rasa Said selalu ada dengan mak cik..."

"KENAPA akak nak tahu pasal Said? Pergilah tanya orang lain. Saya sibuk ni," kata Wardina sedikit kasar. Kemunculan Lyssa tiba-tiba di depannya sewaktu dia sedang membaca buku, buatkan dia rasa tak selesa. Ditambah pula nama Said disebut Lyssa... Meter kemarahannya naik mendadak!

Lyssa lemparkan senyumnya pada Wardina, pelajar perempuan yang ditegurnya secara rawak. Namun ternyata memang dia yang dicari Lyssa!

"Dia junior akak dulu. Said pernah bagitahu akak yang dia rapat dengan Wardina. Akak curious apa jadi kat dia, sebab tu akak cari Wardina. Kotlah Wardina boleh bagitahu akak."

"Akak salah orang ni. Tanyalah Cikgu Latifah," bidas Wardina kasar. Automatik dahi Lyssa berkerut.

"Kenapa Cikgu Latifah?"

Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang