BAB 5DARIPADA berbaring, Yuskhairi duduk bersila pula. Mata tertumpu pada Lyssa yang khusyuk menyiapkan kerjanya. Muka cemberut dipamer.
"Kenapa? Bosan?" tanya Lyssa bersahaja. Yuskhairi pantas mengangguk. Tangan menarik komputer riba Lyssa untuk mencuri perhatiannya. Ternyata Yuskhairi berjaya apabila sepasang mata Lyssa kini tertumpu padanya.
"Bagilah balik laptop aku. Aku nak siapkan kerja ni," kata Lyssa perlahan.
Yuskhairi menggeleng.
"Aku bosanlah. Temankan aku pergi somewhere," ajak Yuskhairi tapi pantas ditolak Lyssa.
"Tak nak. Aku nak submit petang ni juga even deadline sebenarnya minggu depan. Esok aku dah pergi Ledang, aku takut balik daripada Ledang nanti aku tak larat buat," jelas Lyssa sambil menarik semula komputer ribanya daripada tangan Yuskhairi. Jemari kembali berlari di atas papan kekunci. Fokus benar Lyssa dengan kerjanya.
Air muka Yuskhairi berubah. Bukannya kerana marah. Tetapi kerana terpaksa mengalah. Sudahnya, Yuskhairi berbaring semula. Lengan dijadikan bantal lalu mata dipejam.
Beberapa minit kemudian, pergerakan Lyssa terhenti. Anak mata diarahkan pada seraut wajah milik Yuskhairi.
"Aku terfikir..."
Mata Yuskhairi dicelikkan. Dua patah perkataan yang diungkap Lyssa buatkan dia penasaran sendiri. Apa yang difikirkan Lyssa? Apa yang mahu dia katakan?
"Aku tak tahu kau ada sense of responsibility ataupun kau terasa ada urge untuk jaga aku sejak kes orang mabuk tu ataupun..."
"Ataupun apa?" tanya Yuskhairi apabila bicara Lyssa jeda.
"Ataupun... Kau sebenarnya obses dengan aku?" tanya Lyssa dengan mata dicerunkan.
Semerta Yuskhairi cemihkan bibir.
"Obses? Kau ingat aku ni psychopath ke?"
"Tak adalah. Aku cuma tanya aje." Lyssa menjawab perlahan sebelum dia menarik muncungnya. Ke situ pula si Yuskhairi ni. Tak boleh bawa bergurau langsung! Mata Lyssa kembali tertumpu pada skrin komputer ribanya tetapi sindiran Yuskhairi berjaya buatkan anak mata Lyssa kembali tertancap padanya.
"Tapi kau banyak cakap kan, sekarang? Dulu bukannya kau diam aje ke?"
Kata-kata Yuskhairi ada benarnya. Di awal pertemuan mereka dahulu, Lyssa langsung tak berani melawan Yuskhairi. Setiap kali Yuskhairi berkeras mahu menghantar Lyssa pulang, Lyssa terpaksa akur. Setiap kali Yuskhairi minta Lyssa temaninya ke mana-mana, Lyssa ikutkan saja. Semuanya gara-gara baran lelaki itu. Ditambah pula dengan luka-luka di muka dan tangannya. Menakutkan!
Tapi kini... Lyssa bukan saja berani menjawab dan melawan, bahkan dia sudah berani menolak ajakan Yuskhairi.
"Kan aku dah cakap, aku dah tak takut dengan kau sekarang," kata Lyssa, mengingatkan Yuskhairi.
"Mak kau suka tak jam tu?" Baru Lyssa teringat untuk bertanya. Kalau mak Yuskhairi tak suka, sepuluh jarinya disusun untuk meminta maaf. Tapi kalau mak Yuskhairi suka, baguslah.
"Suka aje. Aku nak tidur. Malam tadi aku tak dapat tidur langsung. Kejut aku bila kau dah siap nanti. Aku hantar kau balik," kata Yuskhairi yang sudahpun pejamkan matanya semula.
Lyssa diam. Tak berikan persetujuannya mahupun menolak. Seraut wajah Yuskhairi tak lepas dari tatapannya. Lama.
Yakin Yuskhairi sudah lena dibuai mimpi, perlahan-lahan Lyssa letakkan komputer ribanya ke tepi. Punggung diangkat sedikit dan dilabuhkan semula di sisi Yuskhairi.
YOU ARE READING
Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]
Mystère / Thriller"Bila kau celikkan mata, jangan ingat aku. Bila kau pejamkan mata, jangan lupakan aku." -- BLURB -- Hidup Lyssa yang selama ini aman dengan rutin seorang penuntut di sebuah kolej, tiba-tiba berubah selepas Lyssa jatuh tergelincir di Ledang. Sudahlah...