Novel: Aku Ada (Bab 3)

1.3K 66 5
                                    




BAB 3

SUASANA di dalam kereta sunyi sepi. Baik Lyssa mahupun Yuskhairi, kedua-duanya diam membisu.

Lyssa membuang pandang ke luar tingkap. Sudah setahun Yuskhairi menjadi pemandu tak rasminya dan setiap kali mereka duduk berdua, inilah perkara yang wajib terjadi. Hening. Seolah-olah ada emas yang disorokkan dalam mulut masing-masing. Lyssa pandang Yuskhairi pula.

Hanya tiga perkara yang dia tahu tentang Yuskhairi - Namanya ialah Yuskhairi. Dia merupakan pelajar jurusan TESL di KPTM, sama sepertinya. Dan dia memiliki kereta Proton Wira. Itu saja.

Tanpa dipinta, memori pertemuan dia dan Yuskhairi diulang-tayang di layar mata.


BERKALI-KALI Lyssa kerling jam tangannya. Hati menyeru nama Razak berkali-kali. Berharap papanya akan datang menjemputnya secepat mungkin. Pulang menaiki teksi? Heh. Itu ialah satu pilihan yang tak akan dia pilih sama sekali. Pernah sekali Lyssa pulang menaiki teksi selepas dua jam menunggu Razak dan bapanya itu mengamuk sakan, membebel tak cukup mulut. Lantaran itulah Lyssa rela menunggu lama. Jauh lebih baik daripada menadah telinga mendengar leteran Razak.

"Papa ni tak pernah nak punctual dengan anak sendirilah," omel Lyssa perlahan.

Cuba kalau Razak berjanji dengan rakan bisnesnya? Ataupun kliennya? Mesti dialah orang pertama yang tercongok di tempat yang dijanjikan!

"Hai cik adik, buat apa ni?" sapa seorang lelaki. Lenyap terus nama Razak dari fikiran Lyssa. Hidung tajamnya dapat menghidu bau minuman keras dari badan lelaki yang semakin menghampirinya itu. Ah sudah!

Selangkah Lyssa berundur ke belakang, selangkah jualah lelaki itu mara ke arahnya.

"Janganlah takut. Abang nak teman adik aje. Adik ni dahlah cantik, bahayalah sorang-sorang macam ni," katanya.

Makin besar langkah Lyssa berundur ke belakang.

"Eh. Adik nak main kejar-kejar ke?" tanyanya sebelum dia ketawa tiba-tiba.

Ya Allah, Kau lindungilah aku, Ya Allah... Lyssa mula berdoa di dalam hati. Mata memandang ke jalan raya, berharap kereta Razak akan muncul. Di setiap langkah lelaki itu mendekatinya, keberanian Lyssa semakin pudar. Skru lututnya mula terasa longgar. Ingin menjerit namun suaranya bagai tersekat di kerongkong.

Ya Allah, tolong aku Ya Allah! Hati Lyssa berteriak mengharapkan perlindungan-Nya.

Tangan lelaki itu kian menghampiri wajahnya. Semerta kaki Lyssa jadi lemah. Terus dia jatuh terjelepok tanpa sempat Lyssa berpaut pada apa-apa.

"Adik..." panggil lelaki itu lagi.

Menggigil tubuh Lyssa apabila bau minuman keras itu semakin mencucuk hidungnya. Terasa ingin menangis tetapi matanya juga membelotnya!

"Kurang ajar!!"

Beberapa saat selepas jeritan itu, si mabuk sudahpun terbaring di depan Lyssa sekaligus buat Lyssa terjerit.

"Ya Allah!"

Seorang lelaki berbaju biru sudah berdiri di depan Lyssa.

"Kau jangan berani sentuh dia!" jerkahnya. Sebuah lagi tendangan dihadiahkan kepada si mabuk. Dia bersedia untuk melayangkan tumbukan seterusnya tetapi lelaki mabuk itu sudah terkial-kial melarikan dirinya.

Lelaki berbaju biru pandang Lyssa. Jelas garis kerisauan di wajahnya.

"Kau okay?" tanyanya sambil memegang bahu Lyssa.

Pantas Lyssa tepis tangannya. Sememangnya dia bersyukur kalau lelaki itu ikhlas membantunya tapi bagaimana kalau mereka sebenarnya bersekongkol? Lyssa tak boleh ketepikan kemungkinan itu!

Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now