Novel: Aku Ada (Bab 10)

1K 55 17
                                    




BAB 10

SAFINA menarik duvet hingga ke paras dada Lyssa kemudian bantal Lyssa dibetulkan supaya rakannya itu lebih selesa. Selepas perbincangan Lyssa dan Dr. Kareena tadi, Lyssa lebih banyak mendiamkan diri. Cuba dicungkil tapi bibir Lyssa terkunci rapat bagaikan ada mangga. Sudahnya Safina angkat bendera putih. Tak lagi bertanya apa-apa.

Tanpa ucapan selamat tinggal pada Lyssa, Safina keluar dari biliknya. Langkah diatur menuju ke bilik kerja Razak. Pintu diketuk dua kali.

"Masuk," kata Razak dari dalam bilik. Safina akur. Pintu dibuka dan ditutup semula. Langkah diatur mendekati meja kerja Razak.

"Doktor cakap apa?" tanya Razak tanpa menunggu lama.

"Doktor cakap Lyssa ada Retrograde Amnesia. Dia lupa certain memories or people yang dia memang tak nak ingat," jawab Safina jujur. Dirinya kini tak ubah seperti pembantu Lyssa merangkap setiausaha Razak yang perlu melaporkan semuanya kepada orang atasannya.

"Bahaya tak?"

Safina pantas menggeleng.

"Lyssa macam mana sekarang?"

"Dia asyik diamkan diri sejak balik daripada hospital. Penat agaknya." Safina membuat telahannya sendiri tanpa mengetahui sebab di sebalik kebisuan Lyssa. Razak dilihatnya mengangguk-angguk, mungkin berpuas hati dengan apa yang didengarinya.

"Tadi Saf cakap dia lupa certain memories or people. Lyssa... Lupa Yuskhairi ke?"

Bulat mata Safina mendengarkan nama itu.

"Uncle kenal dia?"

"Mestilah kenal. Dia yang selalu hantar Lyssa balik. Lepas ekspedisi tu, tak ada pula Lyssa sebut pasal Yuskhairi. Yuskhairi pun tak ada datang sini cari Lyssa. Betul ke? Memang dia?" Razak bertanya lagi meminta kepastian. Dilihatnya Safina sudah mengangguk sekaligus memberi jaminan bahawa tiada memori berkaitan Yuskhairi langsung di kepala Lyssa saat ini. Semerta Razak hembus nafas leganya.

"Baguslah. Make sure kita tak sebut apa-apa berkaitan Yuskhairi sekarang. Uncle pun tak nak Lyssa ingat dia lagi. Tapi Saf kena tolong uncle. Tolong pastikan tak ada sesiapa di kolej yang buka mulut pasal Yuskhairi depan Lyssa. Okay?"

Laju kepala Safina mengangguk. Bersetuju seratus peratus dengan Razak.


"KAU... Nak apa lagi? A... Aku dah sampai ni! Kau... Nak... Apa?!" jerit Lyssa.

"Kat bawah Lyssa." Terkedu Lyssa seketika. Bawah? Kepala ditunduk, perlahan-lahan lututnya dijatuhkan. Tangan Lyssa meraba tanah yang dipenuhi dengan daun-daun kering. Mula-mula tangan Lyssa menyapu daun itu perlahan, kemudian pergerakannya semakin laju. Tangan kiri turut digunakan untuk memudahkan usahanya mengorek tanah itu. Ada tanah yang mulai masuk ke dalam kukunya.

Pedulikan. Tangan Lyssa masih rakus, masih galak mengambil-alih tugas si cangkul.

Air mata tumpah sekali lagi. Dalam berani, Lyssa tetap takut. Apa yang cuba ditunjukkan suara itu? Jangan-jangan...

Tangan Lyssa terhenti kaku bilamana tangannya tersentuh secebis kain. Kelat liur yang ditelan, kelat lagi perasaannya sekarang. Mungkinkah...

"Terima kasih, Lyssa. Itu baju akak. Sekurang-kurangnya akak boleh dikebumikan dengan cara yang sepatutnya."

Zapppp!

Jantung serasa berhenti berdegup untuk seketika. Lyssa terduduk. Sesaat kemudian, jantungnya kembali berdegup. Kencang. Naik turun dadanya seperti seekor katak yang sedang bernafas. Bila-bila masa dari sekarang, dadanya boleh pecah. Memburaikan segala organ dalamannya dan juga memecahkan saluran darahnya.

"Tak. Ini semua mimpi. Mimpi..." Mata Lyssa meliar ke kanan dan kiri. Pembohongan itu dibisikkan kepada dirinya berkali-kali.

"Bila aku bangun nanti... Aku ada dalam bilik. Bukan dalam hutan."

"Lyssa..."

"Tak! Aku tak nak dengar apa-apa! Jangan kacau aku! Pergi!!" Lyssa menjerit seperti orang hilang akal. Ya, Lyssa harus akui yang dia sudah hilang akal. Tiba-tiba saja dia boleh mendengar suara halus dan bila dia memberanikan diri sepertimana yang disaran Dr. Kareena, kini dia menemui mayat pula! Tertanam di tengah-tengah hutan!

Segala tenaga yang bersisa, Lyssa kumpul. Dia ingin keluar dari hutan ini, ingin terus pulang ke vila dan sembunyikan diri di dalam duvet.

Mimpi... Mimpi...

"Jaga diri, Lyssa."

Bagaikan pesanan itu berkuasa sebagai brek, kaki Lyssa berhenti melangkah tiba-tiba. Bulat mata Lyssa untuk beberapa saat. Tergamam. Terkesima.

"Jangan percayakan papa Lyssa, Saf dan Fitri."

Lapisan di dahi jelas kelihatan. Hati Lyssa mula diasak seribu soalan. Macam mana suara itu kenal mereka bertiga? Siapa...

"Akak pergi dulu. Terima kasih, Lyssa."

Sehabis ayat itu, Lyssa dapat rasakan satu angin kuat melintas di depannya.

Gulp. Apa tu? Suara tu... Dia betul-betul dah pergi ke? Tubuh Lyssa jatuh ke tanah. Menggigil tubuhnya semerta.

"Semua ni... Dah... Berakhir ke?"


"APA kau buat kat sini?" Safina berlari mendapatkan Lyssa yang sedang terduduk di tepi jalan. Bangunan putih biru dikerling Safina.

Balai polis.

Selepas dia menyampaikan semua informasi kepada Razak, Safina masuk semula ke dalam bilik Lyssa. Cadangnya malam ini dia mahu menemani Lyssa. Namun ketiadaan Lyssa menimbulkan kerisauan mereka. Kassim diarahkan untuk mencari Lyssa di kawasan vila namun hasilnya negatif.

Ingin menelefon Lyssa, gadis itu tidak mempunyai telefon bimbit. Sudahnya Razak dan Safina hanya mampu menunggu di rumah dengan perasaan gundah-gelana. Tiba-tiba Razak menerima panggilan daripada balai polis, mengatakan Lyssa ada di situ.

"Apa ni Lyssa? Lyssa jumpa mayat? Macam mana Lyssa boleh tahu ada mayat kat situ?" soal Razak mahukan penjelasan anaknya. Lyssa masih membatukan dirinya.

"Lyssa!" jerkahan Razak membawa Lyssa kembali berpijak di bumi nyata. Mata Lyssa membulat, dia mendapatkan Razak lalu memeluk bapanya itu.

"Tolong Lyssa. Lyssa tak nak dengar suara-suara tu tapi diorang tetap datang cari Lyssa. Tolong Lyssa, pa..." kata Lyssa. Razak tergamam seketika sebelum dia pandang Safina untuk mendapatkan penjelasan. Air muka Safina jelas berubah.

"Pa, tolong Lyssa. Lyssa cuba untuk dengar tapi kenapa dia bawa Lyssa jumpa mayat pula? Pa, Lyssa takut..." Lyssa terus merengek di pelukan Razak.

"Uncle, better kita bawa dia balik dulu. Nanti saya explain," janji Safina.

Sebentar tadi dia menyangka berita ini tidak penting untuk disampaikan tapi nampaknya, Razak wajib tahu!


"MUSTAHIL dia boleh dengar suara tu!"

"Saya pun tahu benda tu mustahil, uncle. Sebab tu saya tak bagitahu uncle. Tapi dah banyak kali Lyssa cakap ada orang panggil dia padahal tak ada sesiapa pun!" Bersungguh-sungguh Safina meyakinkan Razak akan ceritanya itu.

Razak terduduk di atas kerusinya. Wajah diraup dengan telapak tangan sebelum nafasnya dihela panjang. Pelbagai perkara yang muncul di benaknya kini. Dapat Razak rasakan detak jantungnya semakin laju. Peluh mula membasahi belakang tubuhnya.

Mayat yang Lyssa jumpa...

Ketenangan Razak terus-terusan berkocak.

"Uncle," panggil Safina sekaligus menarik sepasang mata Razak padanya.

"Saf pergilah teman dia. Esok uncle panggil Dr. Kareena datang rumah," kata Razak sekaligus meletak noktah pada perbincangan mereka.

*****

Silakan comment, vote dan share! 💙

PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.  

Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now