BAB 14LELAKI itu duduk di atas sofa, matanya tak lari daripada Lyssa.
Lyssa yang duduk bertentangan dengannya memeluk tubuh sambil bersandar di sofa. Entah apa yang mendorongnya untuk mengizinkan lelaki itu masuk ke dalam rumahnya. Keberanian dan ketenangan yang dipamerkan di depan lelaki itu hanyalah lakonan semata-mata. Hakikatnya, Lyssa masih berperang hebat dengan dirinya sendiri.
"Hafiy..." kata lelaki itu tiba-tiba, memecahkan kebisuan di antara mereka.
"Hah?" tanya Lyssa yang tenggelam sebentar dalam dunianya sendiri.
"Nama aku Hafiy," ulang Hafiy, memperkenalkan dirinya di depan Lyssa.
"Oh."
Dan sekali lagi perbualan mereka terjeda. Hafiy tatap wajah Lyssa tapi gadis itu mula membuang pandang ke tempat lain.
"Hm, kau nak apa-apa? Air ke? Nak makan?" tanya Lyssa untuk membuang kejanggalan di antara mereka. Hafiy ukir senyum sekaligus menyedarkan Lyssa bahawa lelaki itu berbeza dimensi dan sifat dengannya. Semerta Lyssa sengih kambing.
Itu bukannya untuk usir kejanggalan. Sebaliknya menambahkan lagi aura kecanggungan!
"Comellah kau ni," puji Hafiy perlahan namun cukup untuk didengari Lyssa.
Hampir tersembul keluar anak mata Lyssa. Comel? Telinganya tak salah dengar, kan? Adakah lelaki itu memujinya comel?
"Janganlah buat muka blur tu. Jangan risaulah, aku takkan apa-apakan kau. Tak payahlah takut sangat," kata Hafiy bernada selamba. Masih cuba untuk meyakinkan Lyssa bahawa dia tidak menyimpan sebarang niat jahat kepada gadis itu.
Hafiy berdiri sambil matanya ligat memerhati setiap sudut rumah Lyssa. Dari ruang tamu, Hafiy berlalu ke dapur pula.
"Besar juga rumah kau ni. Kau duduk seorang ke?" tanya Hafiy.
"Kau buat apa tu?" terkejut Lyssa apabila lelaki itu mula membuat lawatan di dalam rumahnya. Terkocoh-kocoh dia berlari mendekati Hafiy yang masih di dapur. Separuh badan Hafiy sudah membolosi peti sejuk. Kemudian Hafiy berdiri tegak semula, memandang Lyssa dengan dahi berlapis.
"Botol mineral, air kotak, air tin, instant foods. Kau makan semua ni aje? Kau tak reti masak ke?" tanya Hafiy selepas menyenaraikan item-item yang ada di dalam peti sejuk Lyssa.
Soalan yang tepat mengena batang hidung Lyssa itu buatkan dia malu sendiri. Pipinya jadi merah. Ketara sangatkah kegagalannya sebagai anak dara? Tawa Hafiy menampar telinganya sekaligus mengundang cemihan Lyssa.
"Biarlah. Tak payahlah sibuk," tukas Lyssa. Tawa Hafiy meletus lagi, dia mengatur langkah ke tempat lain pula.
"Ini bilik kau ke?"
"Jangan masuk!!!" jerit Lyssa. Tangan sudah didepa sepanjang-panjangnya di depan pintu bilik. Sebagai satu bentuk larangan. Walaupun Lyssa sedar lelaki itu boleh menembusi badannya untuk masuk ke dalam bilik, dia tetap berharap lelaki itu mempunyai secebis rasa hormat untuknya.
"Jangan risaulah, aku tahu limit aku," jawab Hafiy bersahaja sambil matanya dikenyit sebelah. Ternganga Lyssa melihat kenyitan itu. Mulalah dia naik geram dengan Hafiy yang dirasakan sedang mempermainkannya. Lyssa membuka langkahnya, mengejar Hafiy yang sudahpun ke ruang tamu untuk membuat perhitungan.
Sebaik kedua-duanya melabuhkan punggung di atas sofa, Lyssa terus menghamburkan soalan-soalannya.
"Apa kau sebenarnya? Kau ni hantu atau manusia? Kenapa kau boleh duduk atas sofa tapi badan kau boleh tembus orang, boleh tembus dinding semua? Apa yang kau nak? Kau nak aku tolong apa-apa ke?"
"Banyaknya soalan kau!"
"Kenapa kau ikut aku tadi? Apa kau buat kat kafe tu? Kau ada tunggu sesiapa ke?" tambah Lyssa lagi. Dah tak terkira berapa soalan yang diajukannya!
Hafiy pamer muka bosannya apabila mendengar soalan demi soalan itu namun mulutnya bersedia untuk memberi jawapan kepada soalan Lyssa.
"Aku tak ada explanation pasal diri aku tapi apa yang pasti, aku ke kafe sebab aku ikut someone," jawabnya yang kemudian dibalas lagi dengan soalan Lyssa.
"Dah tu kenapa kau ikut aku balik?"
"Kan aku dah cakap tadi, aku nak stay dengan kau. Kau tak percaya ke?"
Kelu lidah Lyssa apabila mendengar jawapan itu. Pandangan Hafiy dirasakan mencucuk hatinya tetapi ianya tidak pula menyakitkan.
Ah sudah. Kau ni dah kenapa, Lyssa? Akal rasionalnya mula bertanya soalan itu.
"Dahlah, jangan fikirkan sangat. Pergilah masuk bilik kau. Aku pun nak tidur sekejap ni," kata Hafiy selamba. Berkerut dahi Lyssa mendengarkan perkataan 'tidur' itu.
"Hantu pun boleh tidur ke?" tanyanya polos.
Hafiy diam. Matanya sudah terpejam dan badannya diam kaku di atas sofa itu. Lyssa pula masih di tempatnya, memandang Hafiy dengan perasaan berbelah bahagi. Mereka baru bertemu untuk beberapa minit tapi dia mulai selesa dengan Hafiy. Perasaan takut mulai terhakis tanpa sebarang alasan kukuh.
"Kau tidur ke?" tanyanya.
"Kau memang betul-betul dah tidur ke?" tanyanya untuk kali kedua. Masih tiada respons yang diterima. Lyssa gigit bibir bawahnya. Lambat-lambat dia berdiri dan berjalan berundur menuju ke biliknya. Mata tak lepas daripada Hafiy. Tombol pintu dipulas lalu Lyssa selitkan dirinya melalui pintu yang terbuka kecil itu. Seluruh tubuh sudah masuk ke dalam kawasan bilik. Hanya kepala menjengah keluar.
"Jangan masuk bilik aku. Jangan. Kalau kau masuk, tahulah nasib kau nanti." Lyssa menekankan perkataan 'jangan' itu supaya Hafiy tahu dia serius. Hafiy pula masih diam tak berkutik di atas sofa.
Lyssa cerunkan mata. Lambat-lambat daun pintu ditolak. Yakin ianya sudah dikunci, Lyssa melompat naik ke atas katilnya.
Lutut dipeluk. Akal ligat membuat analisa.
Siapa Hafiy sebenarnya? Kenapa aku boleh nampak dia pula? Kenapa dia nak stay dengan aku? Kenapa semudah tu perasaan takut aku hilang? Kenapa...
Tak sempat si akal cipta satu lagi 'kenapa', nama Lyssa dipanggil seseorang.
"Lyssa..."
Terkejut Lyssa apabila satu suara perempuan memanggil namanya.
"Takkanlah dia boleh tukar suara pula?"
"Lyssa, aku Syafiah. Tolong aku, Lyssa," kata suara itu.
Terasa ingin tergelak memikirkan kebodohannya tapi cepat-cepat Lyssa buang fikiran itu. Lyssa pasang telinga, bersedia untuk mendengar apa yang suara itu ingin katakan.
Di luar pula, bibir Hafiy masih tersenyum lebar. Sampai ke telinga.
*****
Silakan comment, vote & share! 💙
PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.

YOU ARE READING
Aku Ada [TERBIT - KARYASENI]
Mystery / Thriller"Bila kau celikkan mata, jangan ingat aku. Bila kau pejamkan mata, jangan lupakan aku." -- BLURB -- Hidup Lyssa yang selama ini aman dengan rutin seorang penuntut di sebuah kolej, tiba-tiba berubah selepas Lyssa jatuh tergelincir di Ledang. Sudahlah...