Cinta Jangan Hilang - Bab 1

1.1K 23 4
                                    


NINA tersenyum, terhibur membaca komen pada status Facebook yang dipaparkannya semalam. Apa yang dipaparkannya semalam menjadi hangat! Paparannya itu bukan sekadar mendapat hampir satu ribu ‘like’ tapi, komen juga sampai beratus. Tak terbaca dibuatnya. Bila ada masa lapang macam sekarang, barulah sempat dibacanya satu persatu. Seperti jangkaannya, rakan-rakan Facebook teruja benar dengan paparannya itu.
“Nina, ada orang nak jumpa! Orang telefon, tak nak angkat. Lain kali campak telefon tu dalam parit!”
Serentak itu mata Nina mengerling pada Shuhaida, si penyambut tetamu yang berusia 30 tahun itu. Sekali laung, dia yang duduk di hujung penjuru pejabat boleh dengar suara Shuhaida dengan jelas. Dah tu siap mengomel pula! Mujur waktu ini ramai yang tak berada di pejabat, masing-masing dah turun minum petang di kafe yang terdapat di tingkat bawah. Dia saja yang malas nak turun, lagipun tengah sibuk layan komen orang di Facebook. Dan hanya Shuhaida seorang saja dalam pejabat ini yang bukan rakan Facebooknya. Sengaja dia tak accept permintaan mak cik seorang itu. Malas! Karang menyibuk saja kerjanya!
Nina mendengus perlahan, bingkas dengan malas untuk ke ruang hadapan pejabat. Entah siapa yang nak bertemu dengannya. Tipot ke? Hmmm, takkanlah! Rajinlah pula si Tipot tu nak datang sampai ke sini. Tak pun Wawa! Dia tersenyum dan menggelengkan kepala. Entah apa yang si Wawa tu nak. Jangan-jangan nak tayang koleksi Swarovski yang baru! Minah seorang tu, asal ada benda baru yang dibeli memang tak sabar-sabar nak tunjuk padanya. Ah, kalau betul... memang sajalah minah tu nak tempah maut!
Dia meneruskan langkah dan sebaik tiba di bahagian ruang penyambut tetamu, kakinya terus terkaku. Pandangannya tertancap tepat pada sekujur tubuh yang membelakangkannya. Tubuh yang tegap dan kekar itu ditatap dengan pegun. Seperti kebiasaannya, dia akan pegun seketika melihat tubuh itu walaupun dari belakang. Dan tubuh itulah yang menjadi tatapannya hampir saban hari setiap kali datang dan balik kerja sejak beberapa bulan ini. Tanpa melihat empunya wajah tubuh itu, dia dah tahu siapa gerangannya. Tapi, apa sebab lelaki itu nak bertemu dengannya? Dada terus berdetak dengan kasar sebaik orang yang membelakangkannya itu berpaling.
Lelaki itu memandang tepat padanya sambil mengecilkan mata, seakan mahu mengecamnya betul-betul dan takkan melepaskannya.
Oksigen! Nina perlukan oksigen! Ruang dada terasa sempit dan mula mengetat apabila lelaki itu mula melangkah dan mahu mendekatinya. Dia mengerling ke sekeliling, mencari kalau-kalau ada makhluk lain bersamanya. Ternyata hanya tinggal dia dan lelaki itu saja. Dia rasa tak selamat! Shuhaida! Mana mak cik seorang tu?
Arghh!! Boleh pula mak cik tu layan telefon di luar sana! Kalau dah melayan telefon sampai keluar pejabat, haruslah bercakap dengan boyfriend tu. Macam mana ni? Boleh tak dia larikan diri saja? Ya, dia nak larikan diri! Nak tinggalkan lelaki itu tapi kakinya gagal memberikan kerjasama pula. Sudahnya, dia hanya berdiri tegak dan terkebil-kebil melihat lelaki itu mendatanginya dengan senyap dan lambat. Setiap langkah yang lelaki itu hayunkan, menghentak jiwanya. Sungguh dia terdera! Lelaki itu menderanya dalam senyap bersama renungan yang tajam. Wajah itu, jawline... terserlah dan sempurna!
“So… you’re Miss Nina?”
Nina menelan air liur, rasa tak percaya lelaki itu tahu namanya. Bodoh! Tentu sajalah lelaki itu dah tahu namanya, kalau tak, macam mana lelaki itu boleh ke sini dan beritahu Shuhaida nak berjumpa dengannya? Aduhai... nak buat apa ni? Dia dapat rasa, lelaki itu mendatanginya bukan saja-saja. Tentu ada sebab yang sangat kukuh!
“I guess, I tak silap orang. You’re Miss Nina a.k.a Kiss Nina Andria. Right?”
Gulp! Lelaki itu tahu nama Facebooknya! O.M.G!! Ini petanda yang sangat tak baik! Kalau orang itu tahu nama Facebooknya, maknanya orang itu dah tahu tentang...
“Seronok jadi stalker?”
Soalan pertama dari lelaki itu buat Nina hilang punca. Dia sedang ditembak tanpa sempat mengelak. Tembakan lelaki itu tepat mengena ke dahi! Dia memandang saja pada wajah yang beriak serius itu. Dahlah suara yang terlontar sinis itu garau, ‘suara jantan’. Buat lemak di perut terus kecut!
“Tak cukup jadi stalker, you curi dan rakam gambar I hampir setiap hari. Lepas tu post kat FB. Hmmm...”
Hmmm? Kenapa bunyi ‘hmmm’ dari lelaki itu kedengarannya agak seksi? Aduhai, parah! Berhenti berkhayal Nina Andria!
Nina menggigit bibir. Nampaknya lelaki itu dah tahu tentang kegiatannya di Facebook. Tapi macam mana lelaki itu tahu? Siapa yang beritahu?
“What are you trying to do, miss?”
Soalan kedua, lagi parah! Nina menelan air liur. Lelaki itu boleh pula tanya, apa yang dia cuba lakukan? Tak dapat dia nak memberikan jawapan. Dia hanya mampu menatap wajah yang semakin mendekat padanya. Detak jantungnya juga semakin kencang jadinya!
“You ni, ‘like’ collector kat FB dan ketandusan perhatian ke apa?”
Ouch! Semakin sinis lelaki itu biarpun bernada dengan perlahan. Dah tu siap kerling dengan tajam padanya dari atas ke bawah macam nak menilai dirinya.
“I tak perlukan perhatian, apa lagi desparate mahukan populariti macam you. Dan you...”
Dan you? Kenapa bunyinya itu seakan mahu mengancamnya? Dapat dirasakan, lelaki yang sedang bercakap dengannya itu bukan calang-calang orangnya. Mungkin sangat bijak menghancurkan perasaan orang dalam sekelip mata! Bertabahlah Nina Andria!
“Dah mencabuli hak privasi I!”
Mencabuli? Uish! Sadisnya bunyi! Tapi saat terpandangkan anak mata lelaki itu tepat menentang matanya, hati jadi sangat tak menentu. Serius, bergetar! Macam ada arus eletrik. Apakah petandanya?
“I nak saman you!” sambung lelaki itu dengan keras.
Hah?! Nak saman? Mata Nina dah membulat. Oh, my god! Ini tak boleh jadi, pantang bila bab ‘saman-menyaman’ melintas langsung dipendengarannya. Apa lelaki itu lupa? Lelaki itu menjejakkan kaki di mana? Lelaki itu sedang berada di firma guaman, kut! Jadi bab ‘saman’ ni bukanlah sesuatu yang asing baginya walaupun bukan dia orangnya yang membentangkan atau menyangkal tuduhan di dalam mahkamah.
“Kenapa encik nak tuduh saya macam tu? Macam mana encik boleh kata, saya mencabuli hak privasi encik? Apa buktinya? Macam mana encik pasti, orang yang saya post dalam FB saya tu adalah encik?”
Semakin tajam mata lelaki itu merenung Nina. Namun Nina buat-buat tak gentar. Teruskan saja bicara dengan yakin.
“Saya tak pernah post gambar-gambar tu dengan tunjukkan rupa sebenar.”
Lelaki itu angkat kening.
“Sama ada saya blurkan bahagian muka atau ambil gambar dari sisi dan belakang badan tanpa dedahkan siapa sebenarnya orang itu. Dan orang dalam gambar itu, boleh jadi... sesiapa saja! Sesiapa. Saja. Faham?”
Pergh!! Tak sangka Nina dibuatnya bila terkeluar bakat menyangkal tuduhan macam seorang peguambela. Ni kalau Tuan Anuar, tuan punya firma guaman ni dengar… mau dibuangnya si Sufira dan gantikan dirinya jadi peguam! Tak semena-mena dia jadi peguambela untuk diri sendiri bagi menangkis tuduhan itu.
Lelaki itu tersenyum sedikit, seakan tak heran dengan hujahnya itu. Nampak sangat lelaki itu tak takut atau tercabar! Semakin ligat Nina memikirkan cara untuk menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan lelaki itu. Apa pun, dia tak boleh beralah. Harus yakin!
“Don’t be ridiculous! Bukan senang-senang nak saman oranglah, encik. Encik kena cukupkan bukti dulu sebelum buat tuduhan dan nak saman saya.” Tambah Nina lagi dengan tegas sebelum berpaling, tak mahu layan lelaki itu lagi.
Sumpah, dia dah tak boleh berdepan dengan lelaki itu. Lelaki itu kelihatan lebih memikat bila betul-betul berdiri di depan matanya dengan jarak yang sebegini dekat. Wajah yang memikat itu buat hati tercair dengan sendirinya!
“Wait!”
Serentak itu Nina menjatuhkan pandangan, tepat ke tangan kirinya yang dipegang oleh lelaki itu. Lambat-lambat dia mendongak semula, bertentang mata dengan lelaki yang menahannya dari pergi. Tahu tak jantungnya yang dah berdegup dengan sangat kencang ini rasa macam dah nak terkeluar dari badan? Sikit saja lagi dia boleh mati tak berjantung! Dan yang paling dia tak percaya, lelaki yang selama ini ditatap dalam diam itu menyentuhnya. Memegang tangannya dengan kejap, you alls! Beraninya lelaki itu menyentuhnya?!
“I nak bercakap dengan you. Kita jumpa petang ni, lepas habis kerja.” Lelaki itu bersuara dengan serius.


NINA menghela nafas panjang, cuba tenangkan diri. Ini gila. Sangat-sangat gila! Bala apa yang terpaksa di hadapnya sekarang? Tak ada maknanya dia nak berjumpa dengan lelaki itu selepas habis kerja. Lagi lima minit pukul 5.00 petang! Baik dia cabut sekarang sebelum lelaki itu muncul.
Dia sanggup gunakan tangga kecemasan, alternatif untuk melarikan diri. Mujur pejabatnya di aras sepuluh, kalau di aras dua puluh lima atau lebih dari itu? Mau tanggal kepala lutut kat tangga agaknya! Dia mengerling nombor yang melekat pada dinding. Dia baru sampai di tingkat lima!
Dia mengeluh dan mula menanggalkan Pedro dari kakinya. Berkaki ayam menuruni anak tangga itu lebih selamat!
“Pelik betul! Macam mana mamat tu boleh tahu? Stalker? Haish!” omel Nina sendiri, sebal!
Memang dia stalker macam yang lelaki itu katakan. Dah tu, bukan saja merakam gambar secara bersembunyi atau lebih tepat lagi disebut sebagai mencuri gambar. Tapi dia pernah mengekori lelaki itu sampai ke pusat gym! Dia tahu di mana lelaki itu selalu habiskan masa selepas habis kerja.  Lelaki itu juga terlihat sangat memikat, tak seperti juruaudit-juruaudit yang dia biasa jumpa. Lelaki itu bekerja di firma audit swasta yang terletak di hujung aras yang sama dengan pejabatnya. Hampir setiap hari mereka menaiki lif yang sama. Untung! Huhuhu... hari-hari dapat cuci mata. Bila dia kongsikan cerita itu di Facebook, rakan-rakannya sibuk suruh ambil gambar. Mereka pun nak tengok sama.
Masa mula-mula ambil gambar, hampeh! Curi gambar jauh-jauh dan hampir kelabu, tak cantik langsung. Tapi bila setiap hari berlatih curi gambar lelaki itu, hasilnya agak mengagumkan. Tugas merakam gambar secara senyap dah jadi kepakarannya! Dah boleh curi gambar secara berdepan tanpa dapat dikesan. Sampaikan semua rakan-rakan Facebooknya suka dan memuji hasil ‘tangkapannya’ itu. Walaupun bahagian wajah lelaki itu sengaja disamarkan, tapi tubuh yang tegap dan kekar tetap berjaya mencuri tumpuan.
Kemeja yang melekat di tubuh lelaki itu menyerlahkan karisma. Lelaki itu tahu apa itu ‘gaya’. Tubuh yang tegap itu sering bersarung kemeja berpotongan fit dan lengan pula sering berlipat hingga ke siku, buat rakan-rakan Facebook seronok jamu mata. Dia apa lagi? Lagilah suka! Dapat lihat secara jelas tanpa halangan. Cuma dia sering mengelak dan palingkan muka bila sesekali lelaki itu memandang padanya. Dia tak berani nak bereye contact dengan lelaki itu. Seram tapi teruja!
Nina berhenti bergerak dan menghela nafas panjang, mata berpusat pada nombor yang kelihatan di tepi dinding. Baru di aras tiga. ada dua lagi! Letihnya. Kalau naik lif dah lama tiba tapi, itu namanya serah diri! Nak mati? Memang taklah!
Dia bersandar seketika pada dinding, nak hilangkan lelah. Lenguh kaki dibuatnya, tak pasal-pasal dia buang tenaga dan basahkan ketiak petang ini semata-mata nak melarikan diri. Walaupun dia dah berjanji dengan lelaki itu untuk berjumpa, memang tak ada maknanya dia nak serah diri pada lelaki itu! Entah apa lagi yang lelaki itu nak darinya. Nak bercakap secara private? Aduhai... tak sanggup! Dia dapat rasa, dia bakal terkena lagi dengan lelaki itu. Tapi sampai bila dia nak melarikan diri? Kalau petang ni berjaya, macam mana dengan esok? Takkan hari-hari nak naik dan turun tangga? Matilah... patut ke dia berhenti kerja saja?
Dia mengeluh, kesal. Tak sangka dari suka-suka merakam gambar lelaki itu dan paparkannya ke Facebook, boleh tertangkap pula! Namun bibir tak dapat menahan senyum, rasa macam bermimpi saja bila lelaki yang diperhatikan dalam diam itu boleh datang mendekati dan bercakap dengannya. Aduhai... patut ke dia rasa bertuah, ek?
Tiba-tiba pintu di laluan tangga kecemasan terbuka. Nina terkejut. Sangat tak percaya!
“You must be tired. Nak air?”
Rahang Nina hampir jatuh! Lelaki yang tak mahu ditemui itu boleh pula muncul sambil menghulurkan botol air mineral. Aduhai... macam mana lelaki itu boleh tahu dia gunakan tangga untuk larikan diri? Dan macam mana lelaki itu boleh agak dia dah sampai ke aras ini? Nak menangis dibuatnya!

- Rina Farizq -

**sekarang... siapa buru siapa?

Cinta Jangan HilangWhere stories live. Discover now