10
N
INA mengerling pada teman sepejabat yang dah mula ‘angkat kaki’ untuk meninggalkan pejabat. Hari ini dia tak berhasrat nak pulang awal sebab nak siapkan kerja. Dek angkara Adib yang menerjahnya pagi tadi, dia tak boleh fokus dengan kerja-kerjanya. Dah petang baru beransur sakit hatinya hilang. Sekarang baru dia boleh menumpukan perhatian pada kerja yang terbengkalai.
Baru saja dia nak mulakan kerja, telefon bimbitnya berbunyi. Dia tersenyum dan menjawabnya dengan senang. Rindunya pada si pemanggil sebab sejak balik dari Krabi tak sempat lagi nak berbual panjang.
“Abah!” serunya dengan gembira setelah meleretkan ikon menjawab panggilan.
Nina dan abahnya memang sangat rapat dan manja. Maklumlah, anak bongsu dan perempuan seorang! Abahnya memang begitu memanjakannya. Abahnya menjaganya dengan sangat baik. Ikutkan abahnya, dia tak boleh bekerja jauh-jauh dan hidup sendiri tapi nak buat macam mana, rezekinya tercampak di firma guaman yang terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru ini. Terpaksa dia tinggalkan abahnya di Batu Pahat. Sesekali bila abah dan maknya bosan di Batu Pahat, mereka akan datang dan menetap di kediamannya di sini. Selepas abahnya pencen, abahnya terus buat rumah di tanah peninggalan arwah atok. Katanya, nak duduk kampung pula. Jadi orang kampung!
“Abah sihat?”
“Abah sihat. Nina kat mana tu?”
“Nina masih kat office, bah.”
“Bila Nina balik?”
“Lepas maghrib nanti Nina baliklah. Lagipun balik awal-awal bukannya ada apa, baik siapkan kerja.”
“Boleh Nina balik sekarang? Abah dah nak sampai rumah Nina ni.”
“Hah? Sekarang? Kenapa abah tak bagitau awal-awal? Selalu abah call dulu kalau nak datang.”
“Habis, Nina pun tak cakap dengan abah awal-awal yang Nina dah ada boyfriend. Tiba-tiba Adib call, kata family dia nak jumpa pula. Kalut abah dan mak dibuatnya ni.”
“Hah?! Adib? Errr..”
Nina terus pegang kepala, terkejut habis bila abahnya menyebut nama Adib. Macam mana abah tau pasal Adib? Wait! Tadi abahnya kata, Adib call. Adib call abahnya? Macam mana Adib dapat call abahnya? Adib ada nombor telefon abahnya? How? Haish!!
Dia mendengus geram. Nampaknya., inilah permainan Adib! Inilah maksud ugutan Adib pagi tadi. Tapi kenapa sampai nak berjumpa dengan keluarganya? Katanya, ayah Adib yang nak bertemu dengannya? Kenapa pula sekarang Adib dan keluarganya yang nak datang berjumpa dengan abahya? Adoi... pening kepala!
“Nina balik sekarang!” beritahunya sambil matikan talian.
Nina segera berlalu keluar dari pejabat dan memecutkan kereta untuk balik ke rumah. Si Adib tu main kasar nampak? Ni memang sengaja nak ajak perang.
Matilah kau nanti, Adib!
Sampai saja di rumah, Nina tengok mak dah berperang di dapur. Serba salah dibuatnya!
“Kalau bagitau awal-awal, sempatlah kita sediakan apa yang patut. Bila dah macam ni, mi goreng sajalah jawabnya! Nasib baik tadi sempat beli kek dan buah.”
Nina terpaksa menahan telinga. Maknya bila nampak saja kelibatnya, apa lagi? Percuma saja dia kena bebel dengan mak.
“Lain kali, Nina... janganlah buat kejutan macam ni. Mak boleh sakit jantung, tahu tak?”
Nina menghela nafas panjang. Apa lagi yang dia boleh buat? Tadah sajalah telinga!
“Daripada jadi patung kat situ, baik pergi mandi dan bersiap. Dah nak maghrib ni, karang terlepas maghrib pula. Mulai sekarang kenalah berubah, jangan malas sangat. Dah nak jadi isteri orang, kan? Rajin-rajinlah bersolat.”
Nina tarik muka, sempat pula abahnya kata macam tu. Cepat-cepat dia bergerak, naik ke tingkat dua dan masuk ke biliknya.
“Samdol punya Adib!” sumpahnya sebaik berada dalam bilik. Dari tadi bibirnya ditahan agar berdiam bila berada di hadapan orang tuanya.
“Apa yang Adib cuba buat ni?” keluhnya perlahan dengan kesal. Dia juga masih tak percaya yang Adib begitu berani mengheret orang tuanya dalam masalah mereka.
“Nak tunjukkan sangat rasa kesungguhan nak mendapatkan aku ke? Tapi kenapa?!” desisnya sendiri sambil menghempaskan diri ke atas katil. Semakin kesal!
Kenapa mesti Adib mahukannya? Adib dah betul-betul terdesak ke? Dah tak ada calon lain yang boleh menepati selera ke? Dia tak sangka, ciri-ciri perempuan idaman Adib ada padanya. Ah, bengang betul! Ikut hati dia nak telefon Adib dan suruh lelaki itu batalkan pertemuan keluarga mereka. Tapi dia tahu, Adib takkan menurut. Adib tentu dah nekad dan takkan berpaling lagi. Aduhai... apa dia nak buat ni? Patut tak dia larikan diri saja? Gila! Mau ke sumpah dengan mak dan abah. Tak pasal-pasal jadi anak derhaka pula.
“Bala apa yang aku dapat ni? Sampai hati Adib buat aku macam ni...” omelnya sendirian, sedih!
ADIB mengulum senyum, Nina yang sedang menghidangkan minuman diperhatikan saja dengan tenang. Punyalah sopan... sampai nak hidangkan minuman bukan main menunduk, langsung tak angkat muka dan memandangnya. Tapi yang buat dia teruja sekarang bila Nina tampil menawan dengan baju kurung moden warna merah jambu. Terbayang-bayang skirt hitam yang Nina pakai pagi tadi. Skirt itu menyerlahkan sepasang kaki yang bersih dan mulus.
“Budak-budak ni, memang mengejutkan. Saya tak tahu apa-apa pun, tau-tau.... anak dara saya ni dah nak jadi milik orang pula.”
Serentak itu Nina mengerling pada abahnya. Tak suka! Kenapa abahnya kata begitu? Bila masa dia nak jadi milik orang? Dia masih berbintikan nama abahnya.
“Saya pun sama, baru tahu hal ni. Itu pun, isteri saya yang beritahu. Saya suruh Adib bawa Nina ke rumah, nak kenal-kenal tapi Adib kata... Nina tak mahu.”
Nina menundukkan muka, segan bila ayah Adib kata begitu dengan abahnya.
“Kata Nina, dia masih ada abah dan mak. Saya faham maksud dia dan saya betul-betul suka dengan pendirian dia. Jarang anak-anak zaman sekarang ni yang nak mendahulukan orang tua mereka.”
Nina tak tahu nak rasa lega atau tidak dengan sambungan ayat ayah Adib itu. Tapi pada hematnya, ayah Adib kata begitu sekadar nak ambil hati abahnya. Saat terpandangkan maknya yang dah tersenyum meleret, mungkin bangga anak daranya dipuji begitu, sejuk sikit hatinya. Dia tahu maknya tak suka dengan kejutan sebegini tapi nak buat macam mana? Semua ni berlaku disebabkan si Adib Samdol tu punya angkara! Muka tu, tak bersalah sungguh! Sakit hatinya.
“Eh, Nina nak ke mana? Mari duduk sini, kan... kami datang ni sebab nak kenal dengan Nina sekeluarga. Ibu belum puas nak berbual dengan Nina.”
Erk! Ibu? Ibu Adib membahasakan dirinya, ibu? Parah ni! Macam confirm pula dirinya nak dijadikan menantu keluarga itu. Aduhai... berat, berat! Nampak gaya memang betul-betullah ni dia bakal jadi menantu pada Ab Rahman dan Harjah.
Dengan langkah yang masih santun, Nina terpaksa mengambil tempat untuk duduk di sisi Harjah bila wanita itu dah mengisyaratkan untuk duduk. Dia cuba maniskan muka walhal rasa nak pecah dada menahan perasaan. Adib berjaya buat hati dan perasaan jadi galau!
“Saya tak kisah dengan pilihan Adib tapi isteri saya tu... faham-fahamlah orang perempuan macam mana, cerewet sikit. Tapi bila dia dah jumpa dengan Nina, terus setuju dan beria-ia nak kan Nina jadi menantu. Berkenan sangat dia dengan Nina.”
Nina memaksa senyum bila ayah Adib sambung ayat itu sambil memandangnya. Dia tak tahu sampai bila dia harus jadi plastik begini. Santun dan terus tersenyum. Aduhai.... jangan percaya pada senyuman manisku ini! Boleh jadi, senyuman ini jadi berbisa suatu hari nanti.
“Dan kedatangan kami malam ni bukan sekadar nak berkenal-kenalan saja tapi sebab nak merisik dan meminang Nina terus.” Beritahu Rahman, sampaikan saja hajat mereka ke mari tanpa bertangguh. Malas nak berbahasa-basi lagi, lebih mudah.
Nina rasa macam kena jirus dengan air batu sebaldi. Terus sejuk satu badan! Dia tak sangka akan dirisik dan dipinang malam ini. Saat dia memandang pada Adib, lelaki itu sekadar tersenyum dan angkat kening. Dapat dirasakan yang Adib sedang bersorak kegembiraan dalam hati sebab dah menang. Boleh tak dia bunuh saja lelaki itu? Menyesal sungguh sebab sukakan lelaki itu!
“Saya sangat berbesar hati, ada yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahukan anak perempuan kami. Masa Adib telefon dan beritahu siang tadi, saya sebenarnya tak sangka. Anak saya, Nina ni bakal dipinang orang. Maklumlah... anak bongsu saya tu, kurang pedoman sikit.”
Nina rasa nak menangis dengar abah kata begitu. Sampai hati abah kutuk anak sendiri? Tahukah abah, sahamnya bakal merundum? ‘Kurang pedoman’ yang abah sebutkan tu.... boleh disalah ertikan! Aduhai..... abah.
“Anak saya ni... masih nakal, belum sempurna pun nak jadi isteri orang.”
Nina terpaksa reda bila abah tambah ayat itu. Sahamnya..... memang menjunam teruk dah ni! Tentu Adib lebih seronok melihat dia terkena macam ni. Yalah... abah sendiri pun mengutuknya!
Rahman dan Harjah tergelak, terhibur bila Norman berlucu begitu. Mereka berdua senang dapat berkenalan dengan keluarga Nina yang santai. Abah Nina, Norman Bin Naim itu sangat mesra orangnya.
“Kami harap, anak perempuan kami ni tak menjadi beban dan kesusahan Adib. Nina ni... pendek kata, agak menguji ketahanan mental. Ada saja yang dia suka buat sampaikan kami berdua ni selalu saja susah hati.”
Nina kalihkan pandangan, kali ini tatap pula pada mak dengan tak percaya. Bertambah geram jadinya bila ayat sebegitu muncul pula. Puaslah hati Adib waktu ini! Tengok tu.... Adib boleh tersenyum mengejek padanya. Jelas sangat yang Adib seronok benar bila dia dikutuk secara berjemaah.
“Jangan tak tahu, Nina ni suka sangat holiday seorang diri. Entah ke mana-mana dia pergi. Ke teluk yang tengah bergelodak tu pun dah diredahinya. Terkejut kami dibuatnya bila Nina bagitau dah sampai ke Palestin. Entah macam mana dia boleh terlepas ke sana. Saya kat sini macam nak pengsan! Ada anak perempuan seorang ni.... mencabar sungguh.”
Nina macam mahu menghilangkan diri, tak sanggup nak dengar mak terus bercerita. Sampaikan dia suka bercuti sendirian dan ke Palestin tu pun nak diberitahu juga.
“Baru-baru ni, dia ke Krabi. Seorang diri! Mula-mula nak pergi dengan abang sulungnya tapi, tak jadi. Abang Nina tu tiba-tiba ada hal lain. Sanggup Nina pergi sendiri ke sana,” tambah Norman pula.
Nina pasrah! Saat terpandangkan Adib, lelaki itu dah memandangnya dengan semacam. Itu isyarat macam nak bagitahu, Nina tak sendirian di Krabi! Aduhai... jangan Adib buka mulut sudah! Mau malam ini juga dia dan Adib dinikahkan.
“Kadang-kadang saya terfikir, macam manalah nanti lelaki yang nak menjaga Nina ni. Dapat ke dia bersabar membimbing dan nak hidup bersama Nina?”
Tiba-tiba Norina bersuara perlahan, luahkan kebimbangannya.
“Saya akan cuba bimbing Nina dan hidup bersamanya hingga ke akhir hayat.”
Semua mata tertuju ke arah Adib yang bersuara.
“Dan saya takkan biarkan dia holiday seorang lagi lepas ni.”
Nina menelan air liur. Sambungan ayat Adib itu buat hati rasa semacam, nak-nak pandangan mata Adib tak lepas dari merenungnya.
“Kalau dia pergi juga sendiri, saya akan kejar dan muncul depan dia.” Kata Adib lagi dengan menekan nadanya tanda serius. Nina patut tahu yang dia sangat memaksudkan ayatnya itu!
Poyo! Nina buat muka dan menjeling pada Adib. Namun hati terusik dengan ayat Adib itu. Betul ke Adib akan kejar dan muncul depannya kalau dia pergi bercuti sendiri? Adib akan muncul macam di Krabi? Tiba-tiba dia rasakan Adib memang akan mengejarnya jika dia bercuti sendirian selepas ini. Jujur, dia suka kalau lepas ni Adib muncul di depannya macam di Krabi! Dia mengulum senyum, segan sendiri.
“Anak-anak zaman sekarang, memang macam nilah. Adib pun sama, macam-macam yang dibuatnya. Kalau nak cerita apa yang dah Adib buat, sampai esok pun tak sudah. Anak-anak kita ni... kalau tak menyusahkan hati orang tua, tak sah! Esok... bila mereka dah jadi ibu dan ayah, baru tahu perasaan kita sekarang ni macam mana.” Sampuk Harjah pula.
Adib menggaru hujung kening, berharap ibu tak bercerita tentang halnya.
“Eh, jemputlah minum. Terbiar pula minuman ni, nanti sejuk. Lepas ni kita jamu seleralah, ya? Tapi saya minta maaf, saya tak sempat nak sediakan makanan yang elok-elok. Masa Adib beritahu nak datang, saya dan suami bergegas dari Batu Pahat balik ke sini.”
Adib lega bila mak Nina dah buka cerita lain. Saat terpandangkan Nina, geram jadinya dengan jelingan maut yang Nina berikan padanya. Buatlah macam tu bila dah kahwin, tahulah nasib Nina!
NINA tak tahu nak jelaskan perasaannya macam mana. Yang pasti, sangat keliru! Tiba-tiba dia dirisik dan dipinang orang. Sekarang ni statusnya apa? Bakal milik Adib? Aduhai... tak sangka jodohnya dengan lelaki yang diintip secara senyap itu.
“Sukalah tu, makin bertambah koleksi Swarovski.” Norina bersuara sambil tersenyum melihat jari manis dan pergelangan tangan anak perempuannya itu.
Nina angkat muka, pandang maknya dan ibu Adib yang berada di hadapannya itu. Dia mengukirkan senyuman sebelum memandang ke tangan kanannya itu. Dia tak sangka akan menerima perhiasan Swarovski sebagai tanda merisik dan meminang. Rare sangat bila Swarovski dijadikan tanda untuk detik seperti waktu ini. Tapi dia suka, suka sangat! Adib tahu apa yang dia sukai. Macam mana Adib tahu? Ternyata, Adib lebih menakutkan darinya. Adib stalk dari mana mengenainya, ya?
“Saya dah suruh Adib belikan cincin Tiffany & Co tapi katanya, Nina suka sangat dengan Swarovski. Tapi saya tak nafikanlah, Swarovski punya design yang segar untuk orang muda macam Nina.” Kata Harjah, kurang bersetuju bila Adib kata dah belikan perhiasan Swarovski. Perhiasan di tangan Nina itu memanglah cantik dan moden tapi nampak sangat ringkas untuk hari penting sebegini.
“Swarovski pun dah cukup cantik untuk Nina.” Sampuk Norina, segan bila Harjah berniat nak membelikan perhiasan yang berjenama mewah untuk Nina. Baginya, yang biasa-biasa pun dah memadai. Dia pun tak suka kalau orang melabelkan Nina atau keluarganya jenis yang suka pada kebendaan.
“Nanti masa nak bertunang atau nikah, ibu nak Adib beli juga kat Tiffany & Co. Okay?” Beritahu Harjah sambil sentuh hujung jari Nina.
Nina menelan air liur. Tiffany & Co? Orang biasa-biasa takkan pilih Tiffany & Co! Kan, betul tekaannya... Adib tu orang berada. Orang ‘have-have’! Sudahnya, dia sekadar tersenyum, tak berani nak menjawab apatah lagi nak bereaksi bila ibu Adib bersungguh kata begitu. Tapi bila mengenangkan sebiji cincin Tiffany & Co saja boleh mencecah puluhan ribu, terasa sayang duit! Aduhai... tak perlu membazir sampai macam tu, kut. Swarovski yang bentuknya sederhana dan tak terlalu mahal saja dah cukup membahagiakannya! Dan bibirnya tak dapat menyembunyikan senyuman bila merenung kembali cincin dan gelang di tangannya.
Dalam pada tak suka dengan lamaran Adib, teruja jadinya dengan kilauan kristal yang mengerlip di jari manis dan pergelangan tangannya. Cincin dan cuff Atelier Swarovski Core Collection Nevola ni memang cantik bangat! Wawa mesti cemburu ni.
Adib seronok merenung Nina dari jauh. Kelihatannya, Nina asyik merenung Swarovski yang diterima itu tadi. Mulanya Nina segan nak pakai depan mereka tapi bila ibu suruh, terus saja Nina pakai, tak tertangguh walau sesaat. Nina memang comel! Dia tahu Nina sangat gembira dengan pemberian itu. Dia boleh nampak cahaya yang terpancar indah di mata yang bulat itu. Nina memang addicted dengan Swarovski! Dari status Facebook dan Instagram yang Nina selalu paparkan, Nina ni peminat tegar jenama itu. Malah dia masih ingat lagi bila Nina sempat menyelitkan ‘Swarovski’ ketika bercakap dengannya.
“Awak fikir, kahwin tu macam beli Swarovski ke? Nak beli Swarovski pun saya kena fikir sepuluh kali tau tak!”
Sekarang Nina tak payah fikir sampai sepuluh kali! Bila-bila masa Nina mahu, dia boleh belikan. Dengan syarat, Nina kena jadi miliknya! Mujur harga Swarovski masih munasabah, tak mencabar keupayaannya. Tapi kalaulah citarasa Nina macam ibunya, terpaksalah dia kerja keras macam ayahnya. Terpaksa jugalah dia pikul tanggungjawab yang lebih besar dan berat semata-mata nak dapatkan habuan yang lebih lumayan supaya boleh menanggung Nina. Dia berharap Nina tak terpengaruh dengan ibunya dan tukar citarasa. Dia sukakan Nina yang bercitarasa sederhana. Baginya Nina dan Swarovski, unik!
“Maaf kalau saya bertanya, Adib ni sebenarnya kerja apa? Kerja kat mana? Nina tak cerita apa-apa pada saya jadi, saya ni tak tahu langsung tentang Adib. Kalau boleh, ceritakanlah tentang diri Adib supaya saya tahu serba sedikit.” Norman menyoal, sedikit segan. Tapi sebagai bapa, dia nak tahu juga tentang Adib.
Dia tengok Adib macam lelaki yang baik dan Adib terlihat sangat padan dengan Nina. Tapi yang buat dia lebih sukakan Adib, lelaki itu budiman. Meminta Nina dengan cara yang tepat! Dia beranggapan yang Adib seorang lelaki yang bertanggungjawab, mahu jadikan Nina sebagai milik yang sah. Tak berniat nak mempermain-mainkan anak perempuannya. Maruah seorang bapa adalah anak perempuan!
Dia juga bangga dengan Nina bila Nina enggan ke rumah Rahman, sekurang-kurangnya Nina menunjukkan yang mereka punya nilai dan harga diri yang tinggi. Memang patut pun keluarga Adib yang bertemu dengan mereka seperti waktu ini. Walaupun hidup dalam zaman moden tapi tak bolehlah terlalu bebas.
“Adib?” Rahman menyeru, mahu Adib bercerita sendiri.
Adib tersenyum nipis, serba salah. Namun menjawab juga demi menghormati abah Nina. Ikutkan, tak suka nak bercerita hal sendiri.
“Saya juruaudit, firma saya satu bangunan dengan firma Nina. Office kami sama level.”
Norman mengangguk, mula menduga yang pertemuan Nina dan Adib bermula di situ.
“Saya sebenarnya kena paksa dengan ayah ambil bidang tu,” cerita Adib sambil tergelak perlahan, sempat dikerling pada ayah yang dah tersenyum. Kalau bukan kerana ayah, memang dia tak duduk di pejabat dan buat kerja pengauditan! Minatnya berbeza dan sangat rare.
“Kalau bukan anak sendiri yang menyambung warisan saya, siapa lagi? Kan? Lagipun saya berusaha keras nak dapatkan firma sendiri. Bukan mudah nak bina syarikat dan mengekalkannya. Semuanya memerlukan pengorbanan. Saya mahu anak-anak saya mewarisi dan meneruskannya.” Celah Rahman.
Norman tersenyum, pandang saja dua beranak itu dengan kagum.
“Kalau ikut kehendak Adib, dah tentu-tentu Adib tak kan ada depan kita sekarang. Cita-citanya tu, saya tak berkenan langsung!” Tambah Rahman.
“Apa yang Adib nak buat?” Norman bertanya, mahu tahu.
Adib menggaru hujung kening, pandangan dilarikan. Dia memandang pada Nina yang hanya menatapnya sambil mendengarkan perbualan mereka di sini. Dia yakin Nina dapat mendengarkan perbualan mereka dengan jelas memandangkan ruang makan dan ruang tamu kediaman ini tak begitu jauh.
“Dia nak jadi ski instructor!” Jawab Rahman, masih bengang dengan minat Adib yang satu itu. Dia menghantar Adib belajar sampai keluar negara untuk tuntut ilmu tapi Adib lenjan masa yang ada dengan berski. Dan kerana minat Adib itu, dia hampir saja kehilangan Adib.
“Saya hampir saja kehilangan Adib.” Tiba-tiba Harjah mencelah, suara pun mula lirih. Terbayang saat-saat genting sewaktu mendapat berita tentang Adib. Luluh perasaannya! Terbayang-bayang yang dia akan kehilangan Adib. Allah saja yang tahu perasaannya ketika itu.
Nina mengerutkan dahi, curiga. Hati jadi tak sedap bila melihat perubahan ibu Adib waktu ini. Dapat dirasakan ada suatu kejadian yang sangat buruk berlaku pada Adib dulu.
“Ibu.... ayah, tak payah ceritalah.” Pinta Adib, kurang senang bila kejadian yang menimpanya itu diungkit hari ini. Lagipun ianya dah lama berlaku, sewaktu dia masih belajar.
“What happened?” Nina memberanikan diri untuk bertanya, mahu tahu apa yang dah terjadi sampaikan ibu dan ayah Adib boleh beriak sedih pula. Pandangannya mula terarah tepat pada Adib yang turut sama memandangnya. Apa jadi? I need to know! Dia bertanya dalam senyap dan dia yakin, Adib mengerti.
Adib melarikan wajah, tak sanggup nak pandang Nina. Rahman pula dah menghela nafas panjang sebelum bercerita walau ditegah Adib. Baginya, tak salah berkongsi kisah itu dengan orang yang akan jadi sebahagian keluarganya. Nina wajib tahu!
“Adib hampir mati dalam runtuhan salji semasa bermain ski kat barat Austria Lech masa belajar dulu.”
Suasana sepi seketika, lebih-lebih lagi Nina! Nina hanya mampu memandang pada Adib yang tak lagi mahu memandangnya. Dada terus berdetak-detak bila ayah Adib bercerita semula.
“Adib terperangkap di bawah salji selama 20 minit sebelum diselamatkan. Adib agak kritikal waktu itu dan saya tak dapat nak membayangkan kalau tiba-tiba kehilangannya. Saya belum bersedia nak kehilangan dia atau sesiapa saja orang yang saya sayang. Kalau boleh.... biarlah saya yang pergi dulu.”
Adib menghela nafas panjang, dada terasa mengetat bila ayah kata begitu. Dia terus bingkas dan bergerak menjauhi semua orang, tak berminat nak mendengar lagi. Dia berdiri di tepi pintu gelangsar yang terbuka luas, memperlihatkan sedikit ruang yang bertaman. Dia cuba alihkan perhatiannya pada dekorasi laman yang ringkas sebelum pandangan berkalih pula pada bintang-bintang yang bertebaran di dada langit. Sesak dadanya memikirkan pandangan Nina terhadapnya mengenai kejadian lampau itu.
“Awak patut bersyukur kerana masih hidup.”
Dia menoleh, terkejut bila Nina berkata begitu. Nina mendatanginya dengan senyap dan dah berdiri di sisinya. Pandangannya mula berpusat pada Nina dengan perasaan tak menentu. Nina merenungnya dengan agak galak. Mata Nina yang sedia bulat itu jadi semakin membulat. Walau mata itu menarik pandangannya tapi hati dah jadi tak keruan dan dapat dirasakan yang Nina kesal dengan kejadian yang menimpanya itu.
“Kalau awak mati masa kejadian tu, awak tak kan dapat tengok bintang-bintang yang cantik tu dengan saya sekarang.”
Dia memaksa senyum, setuju! Kalau dia mati semasa runtuhan salji itu, dia tak kan dapat jumpa Nina yang punya minat pelik! Stalker!
“Tentu kejadian tu, mengerikan. Saya tak boleh nak membayangkan, macam mana awak terperangkap dalam runtuhan salji waktu tu. Dan macam mana parents awak berhadapan dengan saat-saat kritikal awak masa tu. Tentu sangat susah.” Komen Nina perlahan tanpa memandang lagi pada Adib, mata sudah terarah tepat ke dada langit. Hati pula rasa semacam bila tahu tentang kejadian itu. Dia dapat rasa apa yang ibu dan ayah Adib rasakan.
Adib tak tahu nak kata apa. Kejadian yang berlaku itu dulu terlalu pantas sampaikan dia sendiri tak berapa nak ingat, apatah lagi membayangkannya. Tahu-tahu saja, dia terkena runtuhan salji dan terus tubuhnya bergolek-golek jatuh macam bola bersama runtuhan salji itu. Kemudian dia terperangkap di bawah salji dan tak sedarkan diri. Sedar-sedar dia dah berada di ICU, koma selama tiga hari. Namun itu tak membuatkannya serik, dia masih bermain ski selepas beberapa tahun kemudian. Dan setiap kali dia berski secara diam-diam, keluarganya akan tahu juga. Ibu bukan main marah lagi namun dia buat tak tahu saja. Dia tak boleh memadamkan kesukaannya itu begitu saja. Samalah juga halnya dengan Nina!
Bila dah suka, Nina harus ditawan dengan apa cara sekalipun. Kalau Nina rasa dapat melepaskan diri, Nina silap besar. Sekarang... hanya beberapa langkah saja lagi Nina bakal menjadi miliknya yang mutlak.
“Lebih mengerikan kalau you tak jadi milik I,” bisiknya pada Nina sebelum ikut memandang ke langit yang indah.- Rina Farizq -
** dah boleh dapatkan dari penerbit😉
YOU ARE READING
Cinta Jangan Hilang
RomanceTawan sampai dapat, dakap erat-erat! 💕Cinta yang bersimpul rapi takkan hilang❤