Sebaik sahaja sampai di Lexington Hotel, Dian terus mencari lif untuk ke tingkat lapan yang menempatkan pejabat Ariq.
"Assalamualaikum, Dian!" Tegur Emir sebaik sahaja Dian melangkah keluar dari lif.
"Waalaikumussalam, Emir. Bos awak dah sampai ke?" Soal Dian sambil anak mata meliar memandang kawasan luas di tingkat lapan itu. Ruangnya lebih lapang dan hanya ada bilik pejabat Ariq, ruang kerja marketing team, guest room dan meeting room.
"Bos kita ke, maksud Dian?" Balas Emir sambil senyum segarit.
Dian mencebik dan Emir ketawa. Kelakar melihat wajah ceria Dian yang sudah bertukar masam.
"Bos awak tu buang tabiat ke apa? Dia memang seronok menganggu ketenteraman hidup saya agaknya." Dian mula membebel perlahan.
Terus Emir ketawa. Part yang buang tabiat itu dia sangat setuju. Tiba-tiba pula petang semalam Ariq meminta dia untuk membuat lawatan mengejut ke cawangan Lexington Hotel di Pulau Pinang, Johor, Singapura dan Jakarta. Yang dia bertambah pelik ialah hanya dia dan Mike, Head of Marketing team yang dihantar pergi. Semakin dia bertambah pelik apabila tidak semena-mena Ariq meminta Dian untuk menggantikan tempat dia sementara waktu. Berkali-kali ganda pelik!
"Saya tak sangka yang Dian akan setuju dengan permintaan bos kita tu." Sengaja Emir tekankan suara pada perkataan 'bos kita' tersebut.
"Bos awak tu main kotor." Bisik Dian sambil memandang ke arah daun pintu bilik pejabat Ariq yang tertutup rapat.
Emir mengerutkan dahinya.
"Dia gunakan abah saya untuk jadi tukang sampai. Memanglah susah saya nak cakap tak." Bisik Dian lagi.
Kali ini Emir hanya mampu menggelengkan kepalanya.
"Main kotor kan?" Soal Dian, masih berbisik.
"Dian Eryna!"
Suara yang tiba-tiba menyebut nama dia membuatkan dia hampir terlepas Starbucks di tangan kanan. Kus semangat!
"Kenapa awak tak bagitahu awal-awal yang bos awak ni dah sampai?" Dian menggumam sambil menjeling ke arah Emir yang nampak tenang.
"Saya terlupa nak jawab soalan yang itu." Emir tayang sengih memandang riak wajah cuak Dian.
"Dian Eryna." Kali ini Ariq sudah berdiri tercegat di hadapan pintu bilik pejabatnya. Berkerut-kerut dahi dia memandang Dian yang sedang berdiri di hadapan Emir.
"Coffee?" Riak wajah Dian yang nampak cuak itu dipandang. Sah, kantoi tengah mengata dia!
"Kejap!" Dian pandang sekilas Ariq sebelum dia kembali memandang Emir.
"Tolong letakkan atas meja I."
Terkebil-kebil Dian memandang kelibat Ariq yang sudah menghilang masuk ke dalam bilik pejabatnya semula.
"Awaklah tolong letakkan atas meja bos awak." Dian menghulurkan bekas minuman Starbucks ke arah Emir.
"Emir, masuk bilik aku kejap!"
Tiba-tiba kedengaran suara Ariq dari dalam bilik pejabatnya.
"Sorry, Dian. Can't help you." Emir terus berlalu masuk ke dalam bilik pejabat Ariq.
Dian hanya memandang kelibat Emir yang sudah mengatur langkah masuk ke dalam bilik pejabat Ariq . Dasar apek poyo yang suka main kotor!
Suka sangat kenakan dia ya? Dian memandang tulisan tangan Adam pada badan bekas minuman Starbucks. Terus melebar senyuman dia memandang pintu bilik pejabat Ariq yang sudah terbuka.