"Kawai!"
Suara Ariq yang berbunyi lantang itu membuatkan langkah kaki Kawai yang mahu diatur ke kawasan khemah penganjur terhenti. Terus dia terasa tidak sedap hati apabila Ariq sedang mengatur langkah ke arah dia.
"Dah habis press conference ke?" Soal Kawai sambil tersenyum, cuba membuang rasa tidak sedap hati dia sendiri.
Ariq angguk. Bukan senang dia nak lepaskan diri daripada soalan-soalan tanpa henti para wartawan sebentar tadi. Keputusan dia untuk bersara secara tiba-tiba membuatkan keadaan agak gamat sebentar tadi. Telinganya hanya mendengar perkataan 'kenapa' yang terlalu banyak digunakan oleh para wartawan. Pening!
"Amacam?" Soal Kawai.
"Yang penting race last aku ni puaskan hati main sponsors. Diaorang sponsor aku banyak jadi aku kenalah tunjuk super good performance. Kiranya aku bersara dengan bermaruah jugaklah." Jawab Ariq sambil sebelah tangan memicit perlahan kawasan bahu yang terasa sengal.
"Sayanglah kau dah retired for good."
Ariq senyum. Telinga dia sudah lali dengan perkataan tersebut.
"Eh, by the way..."
Kawai mengangkat wajah. Tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati itu muncul semula disebabkan cara Ariq memandang dia sekarang. Jangan-jangan Ariq nak tanya tentang Dian.
"Aku nak tanya pasal budak perempuan yang pakai tudung tu."
Kan dah kata! Kawai sudah menelan liur. Mampus!
"Siapa?"
Ariq tergelak-gelak.
"Dia seorang je gadis litar hari ni yang bertudung, bro."
Kawai tayang sengih dan tayang gigi sambil di dalam kepala sedang merangka ayat-ayat untuk menyelamatkan identiti Dian daripada calon kahwin paksa tak jadi dia a.k.a Ariq Huzair Cheah.
"Ohhh...Bibs ke? Kenapa dengan dia?"
"Kau kenal dengan Bibs tu ke? Memang nama sebenar dia Bibah?"
Sekali lagi Kawai menelan liur. Dia sudahlah tidak berapa handal untuk menjadi tukang cover.
"Aku tak kenal sangat dengan Bibs tu, Ariq. Yang aku tahu dia memang kenalkan diri dia sebagai Bibah or in short Bibs."
Ariq mengerutkan dahi memandang Kawai sambil anak matanya merenung tajam wajah lelaki di hadapannya ini yang nampak gelisah.
"Tapi aku dengar kau jugak yang scout dia as part timer untuk assist aku hari ni kan?"
Untuk sekian kalinya Kawai menelan liur lagi.
"Haah."
"Tapi kau kata kau tak kenal dia? Then mana kau jumpa dia?"
Ariq berpeluk tubuh sambil menjungkitkan kening memandang riak wajah Kawai yang semakin berubah.
Terkebil-kebil Kawai mendengar soalan-soalan Ariq yang semakin menjerat dia. Kenapalah calon kahwin paksa tak jadi si Dian ni banyak sangat menyoal dia?
"Instagram sebab Bibs tu instafamous. Bro, aku nak terciritlah. Chow dulu. By the way, congrats!" Cepat-cepat Kawai mengangkat kaki sambil tangan kiri menekan-nekan perutnya. Yang penting dia selamat daripada asakan soalan-soalan Ariq. Dan yang lagi penting, telinga dia selamat daripada menerima bebelan panjang berjela daripada Dian Eryna jika Ariq mengetahui identiti sebenar Bibs.