"Aliff Imtiyaz!" Dian sudah menjerit kuat sebaris nama itu.
Bulat matanya menjegil ke arah Aliff; juga jiran sebelah rumahnya yang tiba-tiba muncul dan dengan gembiranya menggoyang-goyangkan tangga yang menjadi tempat dia berdiri sejak setengah jam yang lalu.
Cepat-cepat dia turun dari tangga yang menjadi tempatnya. Dia tidak mahu jatuh ditimpa tangga pula.
Rumah Dian terletak di tengah-tengah; rumah Nana di sebelah kiri rumahnya dan rumah Aliff di sebelah kanan rumahnya. Mereka bertiga sudah berkawan sejak zaman sekolah lagi dan selalu menjadikan sempadan pagar rumah masing-masing sebagai tempat bersembang.
"Yang korang suka memanjat tangga ni kenapa? Teringin nak jadi nyet?" Soal Aliff sambil bercekak pinggang memandang Dian dan Nana silih berganti. Tak habis-habis suka memanjat tangga! Kalau jatuh ditimpa tangga kan susah!
"Yang kau tiba-tiba muncul dekat rumah aku dengan gaya ala-ala pencuri ni kenapa? Teringin nak jadi penyangak?" Balas Dian kembali. Dia sudah biasa bergurau kasar dengan Aliff sejak kecil. Tak perlu susah-susah untuk cakap berlapik.
Mencerlung mata bulat Aliff memandang Dian yang sudah merah padam wajahnya. Penyangak?
"Kalau aku report dekat abah kau apa yang kau dah buat hari ni, barulah kau tahu langit tu tinggi ke rendah." Ugut Aliff sambil menjungkitkan keningnya. Dia sengaja sebenarnya. Sengaja menggunakan nama abah Dian.
Dian dan Nana sudah berpandangan.
"Kau nak report apa?" Soal Dian berani sambil bercekak pinggang. Ingat dia takut sangat walaupun si Aliff ni polis? Bukannya dia buat salah apa-apa.
"Kau jadi gadis li..."
"Alifffffffff!!!!"
Aliff Imtiyaz yang masih dengan persalinan seragam polisnya sedang ketawa menang. Dian mendengus geram. Memang Alif Ba Ta sungguhlah dia ni!
"Inspektor Aliff Imtiyaz, kau memang tak ada kerja ke dekat Bukit Aman tu? Tak ada ke penjenayah nak kena tangkap?"
Aliff hanya ketawa sambil berpeluk tubuh.
"Kau jaga-jaga, Dian. Mata-mata aku ada dekat mana-mana aje." Balas Aliff selamba.
"Kenapa pulak mata kau nak kena ada merata? Mata kau sepatutnya ada dekat soket matalah, nanti biji mata kau jatuh tergolek."
Terus Nana ketawa terbahak-bahak. Jika Dian dan Aliff berbalah, memang dia yang akan jadi tukang gelak. Dia selalunya di pihak atas pagar memandangkan Dian dan Aliff merupakan kawan rapat dia.
"Kau buat apa dekat Sepang? Sejak bila dah pandai buat kerja macam tu?" Soal Aliff dengan suara yang sudah berubah nada.
"Apa yang aku dah buat?" Soal Dian, pura-pura tidak memahami.
"Kau nak aku kuatkan suara supaya abah kau boleh dengar?" Ugut Aliff.
"Eeee...korang ni! Sudah-sudahlah bergaduh tu. Suara korang tu sebatu jauhnya dah boleh dengar!" Sampuk Nana sambil menggelengkan kepalanya.
"Kau buat apa dekat laman rumah aku ni?" Dian sudah bercekak pinggang memandang Aliff. Memang dasar busy body suka menyibuk hal dia!
"Kau buat apa dekat Sepang hari ni?" Soalan Dian dibalas dengan soalan juga.
Dian mendengus kuat.
"Aku pergi ukur keluasan tanah dekat sana. Tak sangka, boleh tahan luasnya jugak." Jawab dia selamba.
Terus Nana gelak mengekek, masih setia dengan peranannya sebagai tukang gelak.
"Aliff? Dah sampai? Kenapa tak terus masuk?" Suara Puan Marina; ibu Dian yang sedang menegur itu mematikan perbalahan Dian dan Aliff. Terus senyap kedua-duanya.