Dian mengemaskan ikatan reben berwarna perak pada jam pasir yang terakhir sebelum jam-jam pasir sebanyak 20 buah itu disusun dengan kemas di dalam kotak khas.
"Saya risaulah tengok bos ni." Wawa hanya memandang sahaja tingkah laku Dian yang nampak kelam kabut sejak tadi.
"Jangan risaulah, Wawa. Kalau customer bagi kita challenges, kita kena jadikan challenges tu sebagai opportunity." Dian senyum segarit walaupun di dalam hati dia membebelkan si Mr Cheah yang cerewet itu. Sempat juga dia mencari tentang Mr Cheah yang merupakan pemilik rangkaian Lexington Hotel itu. Tidak begitu banyak maklumat yang dijumpai dan tiada gambar memandangkan dia tidak tahu nama penuh Mr Cheah yang merupakan bos Jane.
"Saya keluar sekejap hantar goodies ni ke Lexington Hotel. Kalau ada customer cari saya, Wawa minta diorang call handphone saya terus. Jaga kedai elok-elok." Dian mencapai helmet berwarna merah yang terletak di dalam bilik ofisnya.
"Bawak Red Velvet bos tu elok-elok!" Pesan Wawa. Dia risau sebenarnya. Tambahan pula banyak kemalangan jalan raya yang sering melibatkan motorsikal baru-baru ini.
Dian hanya tersenyum.
***
Vespa berkilatnya diparkirkan dengan cermat di tempat parkir yang dikhaskan untuk motorsikal. Kotak yang diikat kemas dibahagian belakang seat Vespa diambil sambil sebelah tangan menelefon Jane, memberitahu yang dia sudah sampai.
Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke ruang lobi Lexington Hotel, terus Dian ternganga. Cantik dan vintage sungguh dekorasi dalaman hotel yang bertaraf lima bintang ini. Lupa seketika tujuan dia ke situ apabila dia asyik memerhatikan dekorasi dalaman yang menambat matanya. Susun atur perabut di ruangan lobi yang menggunakan kayu jati diperhatikan dengan penuh minat sebelum anak mata beralih pada warna cat dan wallpaper yang digunakan. Ekslusif dan mewah!
"Hei, jalan tu pakai matalah!"
Suara nyaring seorang perempuan mematikan rasa teruja Dian. Hampir sahaja dia berlanggar dengan seorang wanita yang berusia awal 20-an. Nasib baik tak terlepas kotak yang berada di pegangan.
"Sorry! Saya tak perasan." Dian cuba mengukir senyum kerana cik fashionista di hadapannya ini sedang menayangkan riak wajah yang sangat masam.
"Sebab tu jalan tu pakai mata, bukannya pakai kaki!"
Automatik Dian mencebik. Eloknya budi bahasa walaupun dia sudah meminta maaf dengan elok sebentar tadi.
"Cik, kalau jalan pakai mata tu maksudnya alien. Jalan kena pakai kaki cik." Balas Dian selamba sambil tergelak kecil. Ada ke jalan pakai mata?
"Hazel!"
Kali ini ada satu lagi suara yang lebih nyaring daripada cik fashionista di hadapan Dian ini.
"Quick! Tercegat apa lagi kat situ?"
"Coming, mama." Balas Hazel sebelum anak matanya kembali tajam memandang Dian yang sedang menjungkitkan keningnya.
"Next time jalan pakai mata!" Terus Hazel berjalan laju dengan kasut tumit tinggi tiga incinya mendapatkan ibunya yang sedang menunggu.
Dian sudah tergelak-gelak. Freak fashionista! Dia terus mengatur langkah ke ruang yang menempatkan lif sebelum menekan butang lif untuk ke tingkat sepuluh.